Penyakit Takayasu: Kisah Penyakit Tanpa Nadi

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pada tahun 1830, Rokushu Yamamoto merekodkan satu kes dalam laporan amalan perubatan beliau, memperincikan tentang seorang pesakit lelaki berusia 45 tahun dengan tanda dan simptom yang cukup aneh. Lelaki tersebut mulanya datang dengan masalah demam panas berpanjangan. Setahun kemudian, ketika memeriksa lelaki ini, Yamamoto mendapati bahawa dia tidak mempunyai sebarang nadi yang dapat dikesan bukan sahaja pada kedua-dua tangan, bahkan pada bahagian karotidnya juga. Lama-kelamaan, pesakit lelaki ini mengalami susut berat badan yang banyak sebelum menghidapi masalah sukar bernafas yang bertambah teruk dari hari ke hari dan akhirnya meninggal dunia.

Hampir seabad kemudian, ketika pertemuan tahunan ke-12 badan Oftalmologi Jepun, Professor Mikito Takayasu, membentangkan satu kes tentang seorang wanita berusia 21 tahun yang mempunyai anastomosis salur vena dan arteri koronari (cantuman struktur salur darah vena dan arteri koronari) yang aneh di bahagian retina. Kebetulan, dua doktor yang berada pertemuan yang sama, Dr. Onisihi dan Dr. Kagosha, turut membentangkan penemuan anastomosis yang sama dalam mata pesakit mereka, dengan tambahan bahawa pesakit mereka tidak mempunyai nadi yang dapat dirasai di bahagian pergelangan tangan.

Autopsi yang membawa kepada penemuan baru

Penyakit misteri yang menyebabkan penghidapnya tidak mempunyai nadi ini semakin dekat kepada pembongkarannya apabila pada tahun 1920, bedah siasat pertama membabitkan pesakit penyakit ini berjaya dilakukan. Apa yang mereka temui? Mereka mengenalpasti majoriti salur darah arteri si mati mengalami keradangan yang membabitkan setiap lapisan salur darah arteri yang akhirnya, mengakibatkan pengecilan diameter semua salur darah arteri yang terjejas. Akibat pengecilan ini, bekalan darah yang kaya dengan oksigen bawaan arteri menjadi terhad dan tersekat. Apabila salur darah di peringkat vertebra serviks di leher terjejas, bekalan darah ke kepala terkesan dan bahagian kepala tidak mendapat bekalan darah yang cukup.

Kesannya, seperti apa yang dilihat Takayasu, berlakulah percantuman dan pertumbuhan salur darah baru yang dilihat dalam retina pesakit, sejenis tindak balas adaptasi dalam usaha untuk meningkatkan bekalan darah beroksigen di kawasan tersebut. Akhirnya, pada tahun 1951, Dr Shimizu dan Dr Sano merumuskan penyakit Takayasu ini dalam laporan berbahasa Inggeris yang bertajuk “Pulseless Disease” (Penyakit tanpa nadi). Nama Takayasu diabadikan asbab sumbangan beliau dalam mengkaji dan membina pemahaman terhadap entiti penyakit tidak bernadi ini.

Pemahaman terkini Penyakit Takayasu

Kini, penyakit ini diberikan beberapa nama seperti Penyakit Takayasu, Keradangan Arteri Takayasu, Sindrom Arkus Aorta dan juga nama misterinya, Penyakit Tanpa Nadi. Apapun nama yang dipilih, penyakit ini bercirikan keradangan yang merebak kepada berbilang salur darah arteri dengan penekanan kepada salur yang besar seperti aorta, arkus aorta, arteri pulmonary dan arteri subclavian.

Dari sudut epidemiologi, penyakit ini adalah sangat jarang berlaku dan insidennya dilihat tertumpu kepada negara-negara asia tenggara, Jepun, India dan Mexico. Menurut kajian yang dilakukan dalam kalangan penduduk Amerika Utara, insiden penyakit Takayasu adalah hanya 2.6 per sejuta penduduk setiap tahun. Keradangan Arteri Takayasu ini lazimnya berlaku dalam kalangan orang yang muda (lingkungan usia 20 hingga 40 tahun) dan kecenderungan terhadap wanita berbanding lelaki, sebanyak 8 hingga 9 kali ganda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Rujukan
Artikel yang Sama
Menghadapi Penyakit Ini
Serangan Jantung: Apa yang Perlu Dilakukan Selepasnya?
Belajar Mengenainya
Obesiti dan Penyakit Jantung
protein c-reaktif
Belajar Mengenainya
CRP dan Jantung Anda
kesan kurang tidur
Menghadapi Penyakit Ini
Penuaan Jantung Kesan Kurang Tidur
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut