Buli di Tempat Kerja Boleh Menjejaskan Kesihatan Jantung

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Menurut kajian, kesihatan jantung anda mungkin boleh terjejas jika anda dibuli oleh bos atau rakan sekerja. Mangsa buli atau keganasan di tempat kerja didapati mempunyai risiko lebih tinggi mendapat penyakit jantung dan strok.

Kajian tersebut yang melibatkan lebih 79,000 pekerja di Eropah tidak dapat membuktikan punca dan kesan tetapi jika terdapat kaitan antara buli dan punca penyakit jantung, mengatasi buli di tempat kerja boleh mengurangkan sebanyak 5 peratus daripada keseluruhan kes penyakit jantung, menurut pengarah kajian, Tianwei Xu ketika mengemukakan teori beliau. Xu ialah seorang pelajar Doktor Falsafah di University of Copenhagen, Denmark.

Pakar di Amerika Syarikat turut bersetuju bahawa buli di tempat kerja ialah satu budaya yang tidak sihat.

Meskipun masalah di tempat kerja mungkin tidak menyebabkan penyakit jantung, ia boleh membuatkan penyakit jantung menjadi lebih teruk, menurut Curtis Reisinger, seorang pakar psikiatri di Long Island Jewish Medical Center, New York.

Dalam kajian terbabit, Xu dan kumpulannya mengikuti data jangka masa panjang lebih 79,000 pekerja dewasa di Denmark dan Sweden berumur antara 18 hingga 65 tahun yang tidak mempunyai sejarah penyakit jantung. 9 peratus daripada mereka melaporkan dibuli di tempat kerja, manakala 13 peratus menghadapi keganasan atau ancaman dalam tempoh setahun lalu.

Selepas melihat kepada beberapa faktor, pengkaji mendapati bahawa mereka yang dibuli di tempat kerja adalah 59 peratus lebih berisiko mendapat penyakit jantung. Mereka yang menghadapi keganasan atau ancaman pula 25 peratus lebih berisiko berbanding orang lain.

Risiko dilihat bertambah mengikut tahap keganasan dan kekerapan buli. Mereka yang dibuli dengan kerap (hampir setiap hari) dalam tempoh 12 bulan adalah 120 peratus lebih berisiko mendapat penyakit jantung berbanding orang lain yang tidak dibuli.

Manusia boleh mengalami tekanan apabila dibuli dan jika ia berlaku secara berterusan, tekanan tersebut boleh mendatangkan kesan terhadap jantung. Ketua atau bos ialah punca tekanan paling kerap di tempat kerja. Dalam beberapa laporan, pekerja dikatakan meninggalkan bos, bukannya kerja mereka.

Walau bagaimanapun, pekerja juga harus mencari jalan untuk menghadapi tekanan tersebut sebelum membuat keputusan untuk berhenti kerja. Jika tiada jalan lain, beralih kerja mungkin pilihan terbaik buat masa itu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut