Apakah Pilihan Rawatan Kanser Paru-Paru?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Rawatan kanser paru-paru kini semakin berkembang. Malaysia juga tidak ketinggalan dalam mengikuti arus pemodenan rawatan kanser paru-paru.

Namun, mungkin ramai dalam kalangan masyarakat tidak atau kurang mengetahui tentangnya. Ada sebahagian pesakit kanser paru-paru memilih untuk mengambil rawatan pesudosains yang belum terbukti berkesan dan tidak berasaskan kajian saintifik.

Kanser paru-paru adalah antara kanser yang paling banyak menyebabkan kematian. Dengan kebanyakan kes dikesan pada tahap yang sudah lanjut, jangka hayat pesakit adalah sangat rendah. Oleh itu, diagnosis awal dan rawatan yang tepat harus diberikan agar harapan buat pesakit menjadi lebih cerah.

Apakah pilihan rawatan kanser paru-paru?

1. Pembedahan

Pembedahan atau surgeri adalah pilihan rawatan terbaik untuk pesakit kanser paru-paru tahap awal (1 dan 2). Matlamat pembedahan adalah untuk membuang semua sel kanser dan menjadikan pesakit tersebut bebas kanser.

Terdapat beberapa prosedur yang mungkin dijalankan:

  • Wedge resection. Membuang sebahagian daripada paru-paru yang mengandungi sel kanser bersama dengan sedikit tisu sihat di sekitarnya.
  • Segmental resection. Melibatkan saiz yang lebih besar tetapi bukan keseluruhan lobe paru-paru.
  • Lobectomy. Mengeluarkan keseluruhan lobe bagi satu paru-paru.
  • Pneumonectomy. Membuang keseluruhan paru-paru di bahagian yang terbabit. Pesakit perlu hidup dengan satu paru-paru.

Selain tisu paru-paru, nod limfa di kawasan tertentu juga mungkin akan dibuang untuk mengesan jika sel-sel kanser sudah merebak.

brief-info-surgery-coronary-artery-disease
Pembedahan adalah pilihan utama kanser paru-paru tahap awal

Pilihan pertama ini adalah sesuai untuk kanser tahap awal yang hanya tertumpu di dalam paru-paru sahaja. Jika saiz kanser adalah besar, ia mungkin boleh dikecilkan dengan radioterapi atau kemoterapi sebelum pembedahan. Dua prosedur ini juga mungkin diberikan selepas pembedahan jika doktor mengesyaki risiko ada sel-sel kanser berbaki.

Teknologi moden menawarkan rawatan kurang invasif menggunakan kamera. Ia dinamakan video-assisted thoracoscopic surgery (VATS). Teknik ini hanya melibatkan luka yang kecil dan tempoh pemulihan selepas pembedahan adalah lebih singkat.

2. Radioterapi/radiosurgeri

Radioterapi adalah sejenis rawatan yang menggunakan pancaran tenaga berkuasa tinggi daripada sumber seperti X-ray untuk membunuh sel-sel kanser. Semasa prosedur ini, pesakit perlu baring dan radiasi akan diberikan di sekeliling badannya menggunakan alatan khas.

Ia oleh digunakan sebelum rawatan pembedahan untuk mengecilkan saiz tumor atau selepas pembedahan untuk membunuh baki sel-sel kanser yang tidak dapat dibuang. Selain itu, radioterapi juga mungkin digunakan untuk kes-kes tahap lanjut bagi mengurangkan rasa sakit daripada kanser yang telah merebak.

Radiation Therapy (Radiotherapy) for Liver Cancer
Radioterapi lebih berkesan jika digabungkan dengan kemoterapi

Teknik radioterapi lebih moden dan berkesan kini semakin mendapat tempat di dalam dunia perubatan, iaitu radiosurgeri atau dikenali juga sebagai stereotactic body radiotherapy (SRBT).

SRBT juga menggunakan radiasi tetapi ia lebih berfokus kepada sel-sel kanser berbeza dengan radioterapi konvensional yang memancarkan radiasi pada kawasan yang lebih luas.

Selain itu, tenaga radiasi yang digunakan dalam SBRT juga adalah lebih tinggi. Jadi, sesi yang diperlukan adalah lebih sedikit berbanding radioterapi biasa. Ia mungkin menjadi pilihan pesakit kanser paru-paru tahap awal yang tidak boleh menjalani pembedahan.

3. Kemoterapi

Rawatan kemoterapi menggunakan ubat-ubatan untuk membunuh sel-sel kanser. Ubat-ubatan ini mungkin diberikan melalui vena atau diambil melalui mulut. Kebiasaannya, gabungan beberapa ubat akan diberikan dalam beberapa sesi selama beberapa minggu atau bulan dengan tempoh rehat antara sesi untuk membolehkan pesakit pulih.

Ia mungkin juga digabungkan dengan rawatan radioterapi sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz tumor atau membunuh sel-sel kanser kecil (microscopic cancer) yang tidak dapat dikesan selepas pembedahan dijalankan.

The Complications of Chemotherapy
Kemoterapi membunuh sel-sel kanser

Setiap ubat kemoterapi mempunyai fungsi-fungsi yang berbeza. Sesetengah ubat meningkatkan kesan radioterapi ke atas sel kanser. Ada juga ubat yang membuatkan sel-sel kanser gagal memulihkan dirinya semasa rawatan radioterapi.

Bagi tahap lanjut, kemoterapi boleh diberikan untuk mengurangkan rasa sakit dan simptom-simptom lain.

4. Imunoterapi

Rawatan imunoterapi kebiasaannya digunakan untuk kanser tahap lanjut.

Ia berfungsi dengan merangsang sistem imun pesakit sendiri untuk melawan sel-sel kanser.

Bagi pesakit kanser, sistem imun mereka mungkin tidak menyerang kanser kerana sel-sel kanser menghasilkan sejenis protein yang menghalang sistem imun daripada mengesan kanser tersebut.

Imunoterapi membolehkan sistem imun mengesan sel-sel kanser paru-paru

Imunoterapi bekerja dengan menghalang proses tersebut dan membolehkan sistem imun mengesan sel-sel kanser, seterusnya menyerangnya.

5. Terapi bersasar (targeted therapy)

Terapi bersasar adalah sejenis rawatan menggunakan ubat-ubatan tertentu mengikut keadaan sel-sel kanser di dalam setiap pesakit.

Sel kanser adalah tidak sama di dalam semua pesakit kanser paru-paru. Sesetengah sel mempunyai mutasi tertentu dan ia di boleh digunakan untuk memandu jenis ubat yang boleh digunakan kerana mutasi tertentu memberikan tindak balas lebih baik terhadap ubat tertentu.

Mutasi ini akan ditentukan dengan mengesan biomarkers iaitu sejenis penanda yang diekspres oleh sel-sel kanser tersebut. Ia dikesan melalui ujian darah atau sampel tisu. Antara biomarkers yang ada adalah ALK, EGFR, ROS-1 dan PD-C1.

Jika ujian biomarkers ini positif (wujud), ubat yang lebih khusus dan terbukti berkesan boleh digunakan. Teknik terapi bersasar ini telah terbukti memberikan keputusan yang lebih baik berbanding kemoterapi konvensional.

Dato’ Dr Ibrahim, seorang Pengarah Perubatan dan Pakar Perunding Kanser di Beacon International Specialist Centre di Petaling Jaya mengatakan bahawa pesakitnya mampu hidup sehingga 8 tahun selepas menjalani terapi bersasar walaupun kanser telah merebak ke dalam otak. Kebiasaannya, pesakit kanser yang telah merebak hanya hidup antara 3 hingga 6 bulan sahaja.

Ini adalah pilihan rawatan kanser paru-paru yang ada pada masa ini. Semua rawatan ini ada di Malaysia dan boleh didapatkan di hospital-hospital tertentu. Seperti yang disebutkan di atas, kemajuan teknologi perubatan dalam rawatan kanser paru-paru kini telah memberikan harapan baru terhadap pesakit. Diagnosis kanser paru-paru kini mungkin bukan lagi pengakhiran hidup seperti yang dialami oleh pesakit 10 tahun dahulu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel berikut:

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut