backup og meta

Hipertensi: Apakah Faktor Risikonya?

Disemak secara perubatan oleh Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin · Kardiologi · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 27/09/2021

    Hipertensi: Apakah Faktor Risikonya?

    4 daripada 10 rakyat Malaysia menghidap tekanan darah tinggi. Angka yang hampir sama juga didapati di peringkat global. Apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan orang tidak tahu bahawa mereka sedang menghidap tekanan darah tinggi kerana penyakit ini tidak menunjukkan sebarang tanda dan simptom. Jika tidak membuat pemeriksaan, memang tidak akan tahu.

    Hanya kurang daripada 10% sahaja daripada kes hipertensi mempunyai sebab yang jelas termasuk masalah buah pinggang dan hormon. Selebihnya tidak ada punca yang khusus.

    Namun, masih terdapat beberapa faktor risiko yang dipercayai menyumbang kepada peningkatan tekanan darah. Mari lihat apakah faktor risiko tersebut.

    1. Umur

    Semakin berumur, tekanan darah cenderung untuk naik. Menurut laporan National Health & Morbidity Survey 2015, terdapat pola peningkatan terhadap bilangan kes hipertensi. Bermula 0.7% dalam kalangan umur antara 18-19 tahun, sehingga 50% bagi umur 70-74 tahun.

    2. Bangsa

    Hipertensi secara khususnya lebih kerap didapati dalam kalangan orang Afrika berbanding bangsa lain. Di Malaysia pula, India mencatatkan angka paling tinggi (17%), diikuti dengan Bumiputera lain (15.7%), Cina (15.2%) dan Melayu (12.5%).

    3. Sejarah keluarga

    Tanpa pengetahuan yang jelas bagaimana ia boleh berlaku, hipertensi cenderung berlaku di dalam keluarga. Jika ada ahli keluarga yang menghidapnya, ahli yang lain juga berisiko. Sama seperti kanser dan diabetes.

    4. Obes atau terlebih berat badan

    Seseorang dikira sebagai terlebih berat badan apabila indeks jisim badan (BMI) melebihi 25, manakala obes pula bermula pada angka 30. Berat badan berlebihan menambahkan permintaan oksigen memandangkan jumlah sel-sel lemak adalah lebih banyak. Kerja lebih yang terpaksa dijalankan oleh jantung meningkatkan tekanan darah.

    5. Tidak aktif secara fizikal

    Degupan jantung biasanya lebih tinggi apabila seseorang makin tidak aktif. Semakin tinggi degupan jantung, semakin kuat kerja yang harus dilakukan dalam setiap degupan, seterusnya meningkatkan tekanan ke atas salur darah. Tambahan pula, mereka yang mengamalkan gaya hidup seperti ini cenderung untuk mengalami lebih berat badan.

    6. Merokok

    Tidak kira rokok biasa, elektronik, shisha atau cerut, semuanya berpotensi meningkatkan tekanan darah. Bahan kimia di dalam asap rokok bukan sahaja boleh membuatkan tekanan darah meningkat secara terus, ia juga menyebabkan kecederaan pada dinding salur darah arteri. Ini membuatkan salur darah menjadi sempit, seterusnya menjadikan tekanan darah tinggi.

    7. Pengambilan garam yang tinggi

    Rakyat Malaysia mengambil garam lebih daripada saranan yang diletakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Garam yang terlalu banyak memberi isyarat kepada buah pinggang untuk mengurangkan penghasilan air kencing. Lebih banyak cecair akan terkumpul di dalam badan, lebih tinggi tekanan darah.

    8. Terlalu banyak alkohol

    Dalam jangka masa panjang, alkohol merosakkan jantung. Ia menyebabkan alkoholisme, darah tinggi, strok, bunuh diri dan juga kemalangan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin

    Kardiologi · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 27/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan