Kebas Kaki dan Kencing Manis

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mungkin anda selalu mendengar perkara ini ketika berbual dengan saudara-mara di kampung; apabila ada seseorang mengeluh atau mengadu kerap rasa kebas kaki, keluhan mereka lazimnya disambut dengan jawapan yang mencadangkan mungkin rasa kebas kaki tersebut adalah simptom kepada penyakit kencing manis. Tentu sekali, ini merupakan satu jawapan yang popular sama ada diberikan sebagai gurauan antara golongan yang berumur, mahupun sebagai jawapan yang serius. Namun yang demikian, pernahkah anda terfikir bagaimana penyakit kencing manis yang membabitkan masalah kawalan paras gula dalam darah ini, boleh menyebabkan simptom seperti rasa kebas kaki? Ikuti perbincangan dalam artikel ini yang akan mengupas tajuk kencing manis dengan lebih teliti sambil menyentuh aspek-aspek berkaitan kencing manis yang mungkin ramai tidak tahu.

Memahami penyakit kencing manis

Kencing Manis atau lebih dikenali dengan terma perubatannya ‘Diabetes Mellitus’, adalah sekumpulan penyakit metabolisma yang dicirikan dengan kandungan gula dalam darah yang tinggi dalam jangka masa yang panjang (kronik). Dengan masa, peningkatan paras gula dalam darah yang kronik ini akan menghasilkan tanda-tanda kencing manis pada seseorang dan juga boleh membawa kepada beberapa komplikasi seperti tekanan darah tinggi (hipertensi), gangguan saraf, katarak dan juga kegagalan buah pinggang. Selain itu, Diabetes Mellitus (DM) juga berupaya untuk menyebabkan komplikasi yang boleh membawa maut seperti serangan jantung dan pendarahan dalam otak. Perkataan Diabetes Mellitus ini mempunyai terjemahan yang menarik ke dalam bahasa Malaysia kerana perkataan ‘Diabetes’ sebenarnya berasal daripada perkataan Yunani ‘diabainein’ yang bermaksud ‘untuk mengalir’, merujuk kepada perbuatan membuang air kecil; manakala perkataan ‘Mellitus’ pula merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud ‘dimaniskan dengan madu’, merujuk kepada sifat manis atau kemanisan. Apabila digabungkan kedua-dua perkataan tersebut, maksud kencing manis selari dengan terma perubatan penyakit ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), terdapat sekitar 422 juta penghidap penyakit kencing manis di seluruh dunia setakat tahun 2014. Peningkatan ini adalah satu peningkatan yang mendadak jika dibandingkan dengan jumlah penghidap pada tahun 1980 iaitu sebanyak 108 juta pesakit. Dalam perbandingan tahun yang sama, prevalens penyakit Diabetes Mellitus dalam kalangan mereka yang berusia 18 tahun ke atas telah meningkat daripada 4.7% pada tahun 1980, kepada 8.5% pada tahun 2014. Beban terbesar adalah terhadap negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Di seluruh dunia, ia merupakan punca kebutaan, serangan jantung, kegagalan buah pinggang dan juga angin ahmar (strok) nombor satu di dunia. Menurut WHO lagi, terdapat sebanyak 1.6 juta kematian yang diakibatkan oleh kencing manis secara terus pada tahun 2016. Selain itu, pada tahun yang sama juga, WHO menganggarkan bahawa diabetes merupakan punca kematian nombor tujuh di seluruh dunia. Diabetes cukup terkenal sebagai penyakit kronik utama yang menyebabkan kematian pramatang. Tambah WHO lagi, hampir separuh daripada kesemua kes kematian yang dikaitkan dengan keadaan gula yang tinggi dalam darah, berlaku di bawah usia 70 tahun.

Mengenali jenis-jenis penyakit kencing manis

Terdapat beberapa jenis penyakit kencing manis yang boleh berlaku seperti variasi Diabetes Mellitus gestasi dan juga Diabetes Insipidus. Namun yang demikian, dua jenis penyakit kencing manis yang mempunyai kepentingan klinikal yang utama dalam sektor kesihatan awam adalah Diabetes Mellitus jenis satu (T1DM) dan juga Diabetes Mellitus jenis 2 (T2DM). Walaupun tampak hampir sama, kedua-dua jenis Diabetes ini mempunyai beberapa perbezaan penting yang menyebabkan aspek pengurusan dan rawatan mereka berbeza. 

Diabetes Mellitus Jenis 1

Diabetes jenis ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan juga remaja. Oleh sebab itu, Diabetes jenis ini disebut sebagai Diabetes Mellitus juvana (Juvenille Diabetes Mellitus). Selain itu, Diabetes Mellitus yang bergantung kepada hormon insulin (IDDM) juga turut diguna pakai untuk mencirikan Diabetes jenis ini. Ini kerana T1DM adalah diabetes yang disebabkan oleh kerosakan pada sel-sel β di dalam organ pankreas. Kerosakan yang kronik dan teruk ini menyebabkan paras insulin dalam badan penghidap menjadi sangat rendah ataupun tidak dapat dikesan. Insulin adalah hormon penting kerana ia memainkan peranan menurunkan paras gula dalam darah. Hormon insulin ini dihasilkan oleh sejenis sel yang khusus iaitu sel-sel β yang terletak pada kepulauan-kepulauan tisu dalam organ pankreas yang disebut sebagai Islets of Langerhans. Justeru, tanpa hormon insulin, seseorang itu tidak mampu untuk mengawal paras gula dalam darah mereka. Kerosakan organ pankreas ini boleh berlaku akibat daripada proses autoimun di mana sistem imun badan menyerang tisu badan sendiri. Tanda atau markers yang digunakan untuk mengesan kerosakan sel-sel β akibat daripada proses autoimun ini termasuklah:

  1. Glutamic acid decarboxylase (GAD) Antibody
  2. Antibody, insulin autoantibodies (IAA) 
  3. Anti-islet antibody (ICA) 
  4. Thyrosine phosphatase antibody (ICA512 atau IA2A) 
  5. Zinc transporter 8 (ZnT8)

Dianggarkan lebih daripada 90% pesakit yang baru didiagnos dengan T1DM mempunyai satu atau lebih autoantibodi yang disebut di atas. 

Diabetes Mellitus jenis 2

Diabetes jenis inilah yang kerap dirujuk apabila topik pencegahan Diabetes dibincangkan. Ini kerana berbeza dengan Diabetes Mellitus jenis 1, T2DM banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor persekitaran individu tersebut (seperti diet, aktiviti fizikal dan juga tabiat seperti merokok atau kerap minum arak) di samping faktor kecenderungan genetik seseorang itu. Diabetes ini menjadi beban yang besar kepada sektor kesihatan awam kerana pengaruhnya ke atas penyakit kronik yang lain. Dari segi demografik, T2DM adalah jenis kencing manis yang kerap berlaku dalam kalangan orang dewasa. Ia merupakan penyakit kronik yang cukup lazim dan semakin meningkat insidennya di seluruh dunia. Lazimnya, T2DM dizahirkan melalui keadaan paras gula dalam darah yang tinggi (hyperglycaemic state) yang kronik bersertakan gangguan metabolik yang lain. Kencing manis jenis ini membawa risiko penyakit-penyakit kronik yang lain (seperti kegagalan jantung, tekanan darah tinggi, obesiti) dan juga komplikasi-komplikasi yang boleh membawa kepada morbiditi yang berlarutan dan juga kematian. Menurut Laporan Bancian Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) 2011, prevalens penyakit kencing manis jenis 2 berada pada 15.2% untuk orang dewasa berusia 18 dan 20.8% untuk orang dewasa yang berusia 30 tahun. Daripada orang dewasa berusia 18 tahun ini, kadar prevalens paling tinggi adalah dalam kalangan kaum India iaitu sebanyak 24.9%, diikuti kaum Melayu (16.9%) dan Cina (13.8%). Apa yang membimbangkan adalah sekitar 52% daripada mereka yang menghidap kencing manis dan berusia 18 tahun ke atas tidak menyedari atau mengetahui tentang diagnosis mereka. Peratusan penghidap diabetes yang tidak didiagnos adalah paling tinggi dalam kalangan kaum Melayu (53%) diikuti kaum Cina (49%) dan juga kaum India (42%).

Berbeza dengan T1DM, T2DM secara asasnya disebabkan oleh kerintangan badan terhadap insulin dan boleh juga ada kekurangan penghasilan insulin. Kerintangan badan terhadap insulin ini bermaksud walaupun insulin dirembeskan mengikut kitaran fisiologi, ia tidak dapat bertindak balas dengan reseptor pada permukaan sel-sel dalam badan untuk membuka laluan bagi mereka untuk menggunakan glukosa bagi fungsi metabolisma. Jadi, walaupun paras gula dalam darah menjadi tinggi, sel-sel badan tidak dapat memanfaatkan kandungan gula dalam darah ini. Badan kita pula akan tersalah tafsir ketandusan gula dalam sel-sel badan ini sebagai berpunca daripada kurangnya kandungan gula dalam darah. Ini menyebabkan penghasilan glukosa daripada hati meningkat demi memenuhi ‘kekurangan gula dalam darah’ yang disangkakan. , Selain itu, akan berlaku juga peningkatan penyerapan semula glukosa oleh buah pinggang dan juga pengurangan penghasilan hormon incretin demi menampung ‘kekurangan paras gula dalam darah’ yang ditafsir oleh otak kita. Kesemua tindak balas ini terus menerus menyebabkan paras gula dalam darah kekal tinggi.

Kaitan rasa kebas kaki dan penyakit kencing manis

Rasa kebas kaki ini bukan sahaja dikira sebagai simptom untuk penyakit kencing manis, bahkan ia juga merupakan sejenis komplikasi yang membabitkan saraf dan tergolong dalam kumpulan besar komplikasi neuropati diabetes. Neuropati diabetes adalah salah satu daripada komplikasi jangka panjang yang paling kerap berlaku dalam penyakit kencing manis, mempengaruhi sehingga 50% daripada kesemua pesakit. Daripada jumlah ini, 90% daripada kesemua jenis neuropati diabetes adalah jenis polineuropati simetri distal (DSPN). Berikut merupakan pembahagian jenis-jenis neuropati yang ada:

Neuropati fokal dan juga neuropati multifokal:

  1. Mononeuropati
  2. Amyotropi, Radikulopati
  3. Mononeuritis multiplex
  4. Sekatan saraf (entrapment)

Neuropati bersifat simetri:

  1. Membabitkan deria dan bersifat akut (acute sensory)
  2. Autonomik
  3. Polineuropati simetri distal (DSPN)

Kebas kaki, khususnya yang membabitkan kedua-dua belah kaki, tergolong dalam neuropati jenis DSPN. Secara amnya, DSPN melibatkan bahagian ibu jari kaki dan juga bahagian distal kaki. Namun yang demikian, neuropati ini boleh perlahan-lahan merebak ke bahagian yang lebih proksimal sehingga membabitkan kawasan kaki dan tangan yang lebih luas. Luasnya kawasan tangan dan kaki yang terlibat ini ibarat bahagian tangan dan kaki yang akan diliputi jika seseorang itu memakai sarung tangan dan stoking, menyebabkan gangguan saraf ini dinamakan sebagai ‘glove and stocking distribution’. Selain rasa kebas, rasa nyilu, rasa panas terbakar, rasa tajam, rasa sakit menjalar dan juga rasa sesemut seperti renjatan elektrik adalah antara ciri-ciri gangguan saraf yang berlaku dalam DSPN.

Gangguan deria rasa pada bahagian kaki ini biasanya akan bertambah teruk pada waktu malam sehingga mampu untuk mengganggu tidur seseorang itu. Rasa sakit dan tidak selesa ini berupaya untuk menyebabkan gangguan pada aktiviti harian seseorang itu sehinggakan mereka akan mengelakkan diri daripada menyertai aktiviti rekreasi dan juga aktiviti kemasyarakatan. Gangguan kualiti kehidupan mereka ini juga boleh mempengaruhi emosi mereka sehingga mereka cenderung untuk menghidap kemurungan. 

Bagaimana ia berlaku?

Walaupun banyak kemajuan telah dibuat dalam memahami pembentukan komplikasi akibat daripada kencing manis, mekanisma yang tepat dan lengkap dalam menjelaskan bagaimana neuropati diabetes berlaku masih lagi dalam proses untuk disempurnakan berdasarkan dapatan daripada kajian-kajian yang dilakukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori yang diguna pakai untuk cuba menjelaskan bagaimana seseorang yang menghidap kencing manis boleh merasa sakit atau kebas kaki. Berikut merupakan teori-teori tersebut:

Mikroangiopati (Perubahan mikrovaskular)

Masalah vaskular dan saraf adalah sangat berkait rapat – salur darah bergantung kepada fungsi saraf yang normal dan saraf memerlukan bekalan darah yang mencukupi untuk berfungsi dengan baik. Oleh yang demikian, disfungsi saraf akan dipengaruhi oleh darjah kerosakan atau abnormaliti salur darah. Rasa sakit, tajam dan kebas kaki yang dirasai oleh pesakit diabetes adalah disebabkan gangguan salur darah pada skala mirkro (gangguan mikrovaskular). Hiperglisemia (keadaan gula yang tinggi dalam darah) yang berlanjutan berupaya untuk menyebabkan kecederaan dan perubahan seperti penebalan dinding salur darah kapilari dan juga hiperplasia endotelial. Perubahan-perubahan ini menyumbang kepada pengurangan aliran darah sehingga berlakunya keadaan hipoksia. Hipoksia yang berlanjutan dalam salur darah yang membekalkan tisu saraf akan menyebabkan berlakunya iskemia saraf. Iskemia saraf ini akan menyebabkan kerosakan dan kematian saraf yang progresif pada segmen proksimal dan juga distal, sekali gus mengurangkan ketumpatan saraf dalam kulit (intra-epidermal nerve). Hipoksia saraf, khususnya saraf deria (sensory nerve) akan mengganggu kestabilan elektrikal saraf-saraf tersebut dan juga fungsinya. Ini akan menyebabkan gangguan deria seperti rasa tajam, sesemut dan juga rasa kebas kaki.

Penting juga untuk diketahui bahawa fungsi endotelial dalam pesakit DSNP ini juga turut terganggu. Keupayaan perkembangan salur darah (vasodilatasi) yang dicetuskan oleh acetylcholine dalam kulit pesakit diabetes menjadi kurang berbanding dalam orang yang sihat. Tambahan lagi, keupayaan pengecutan salur darah  (vasokonstriksi) oleh sistem simpatetik juga turut terjejas, menyumbang kepada gangguan neuropati diabetes.

Hiperaktiviti dalam laluan Polyol

Hiperglisemia menyebabkan peningkatan dalam aktiviti laluan Polyol. Dalam proses laluan Polyol ini, kompaun Sorbitol akan dihasilkan dan berlakunya peningkatan dalam pembentukan NADP+ dan juga NADPH. Sorbitol adalah kompaun yang tidak boleh melepasi membran sel. Justeru, pengumpulannya dalam sel akan menyebabkan peningkatan kemasukan air ke dalam sel dan terjadinya stres osmotik yang berupaya untuk merosakan sel. Selain itu, peningkatan jumlah ko-faktor seperti NADP+ dan juga NADPH menyebabkan penurunan dalam penghasilan unsur glutathione. Pengurangan glutathione ini akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan dalam jumlah antioksidan dan juga oksidan. Kurangnya antioksidan seperti glutathione ini menyebabkan berlakunya dominasi Spesies Reaktif Oksigen (ROS) dan juga Produk akhir glikasi tahap maju (Advanced glycated end products) yang menyebabkan stres oksidatif kepada sel-sel badan, termasuk sel-sel saraf. 

Apakah kesan daripada Neuropati Diabetes?

Neuropati Diabetes bukanlah hanya rasa kebas kaki dan tangan sahaja, ia adalah komplikasi penyakit kencing manis yang berupaya untuk menyebabkan pelbagai kesan buruk yang tidak diingini. Kecederaan saraf ini tidak terhad kepada bahagian saraf di bahagian kaki dan tangan sahaja; saraf-saraf di bahagian lain seperti dalam sistem gastrousus dan juga saraf di bahagian otak dan mata turut boleh terjejas. Khusus kepada bahagian kaki, kecederaan kepada saraf motor menyebabkan ketidakseimbangan komponen fleksi dan ekstensi yang akhirnya akan menyebabkan kecacatan anatomi. Kecederaan kepada saraf autonomik juga akan menyebabkan gangguan kepada fungsi kelenjar peluh sekali gus mengurangkan keupayaan semula jadi kulit untuk melembapkan dirinya. Ini menyumbang kepada pecahan pada permukaan kulit dan kerosakan integriti kulit, memudahkan patogen berbahaya untuk masuk. Dengan kerosakan saraf sensasi yang menyebabkan rasa kebas kaki yang beransur-ansur menjadi teruk, seseorang itu mungkin tidak perasan jika berlakunya luka pada kaki mereka. Tambahan lagi, memandangkan bekalan darah lebih banyak diperlukan untuk menyembuhkan luka atau ulser berbanding dalam keadaan biasa, ulser kronik akan terbentuk. 

Bahaya ulser kronik ini adalah ia menjadi titik masuk jangkitan daripada luar kepada salur darah. Kerosakan saraf dan iskemia pada bahagian kaki akan menyebabkan tisu-tisu pada kawasan kaki mati dan dicerna oleh bakteria (gangren). Untuk mengelakkan jangkitan bakteria dalam darah yang boleh merebak ke pelbagai organ dan bahagian badan yang lain, bahagian kaki tersebut lazimnya akan dipotong.

Jika anda mengalami simptom kebas kaki dan mempunyai faktor-faktor risiko untuk menghidap kencing manis, pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan rapi dan ujian yang betul. Diagnosis dan rawatan awal akan mencegah komplikasi yang tidak diingini. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut