Genetik dan Gaya Hidup: 2 Faktor Utama Diabetes

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diabetes adalah satu penyakit yang kompleks. Tiada satu sebab khusus yang menjadi punca kepada penyakit kronik ini. Apa yang pasti adalah ia berlaku disebabkan kekurangan insulin atau kegagalan sel-sel di dalam badan untuk menggunakan insulin yang ada.

Namun, bagaimana ia boleh berlaku dan puncanya adalah berkaitan dengan banyak faktor. Genetik dan gaya hidup adalah kunci utama dalam memahami punca diabetes.

Genetik

Jika anda sedang menghidap diabetes, tentu ada dalam kalangan ahli keluarga anda yang mengalami perkara yang sama. Keterlibatan faktor genetik dalam diabetes telah lama dikenal pasti. Menurut Persatuan Diabetes Amerika, risiko menghidap diabetes jenis 2 adalah:

  • 1 daripada 7 jika salah seorang daripada ibu bapa disahkan diabetes sebelum umur 50 tahun.
  • 1 daripada 13 jika salah seorang daripada ibu bapa disahkan diabetes selepas umur 50 tahun.
  • 1 daripada 2, atau 50% jika kedua-dua ibu dan bapa disahkan diabetes.

Kekuatan pengaruh genetik adalah berbeza mengikut setiap orang. Ada yang sangat kuat, ada juga yang sederhana dan kurang. Pengaruh ini menjejaskan gen yang mengawal penghasilan glukosa, pengawalan insulin serta bagaimana glukosa dikesan oleh sel-sel badan.

Gaya hidup

Tidak adil untuk sepenuhnya menyalahkan genetik kerana ia tidak menyebabkan diabetes dengan sendiri tetapi berlaku dengan pengaruh persekitaran serta gaya hidup. Interaksi antara faktor-faktor ini akan meningkatkan risiko menghidap kencing manis.

Di Malaysia, khususnya, makanan adalah cabaran utama dalam menjalani gaya hidup sihat. Kepelbagaian makanan mungkin boleh menjadi alternatif yang baik, namun sebaliknya membuatkan pertambahan kalori secara berlebihan. Jangan terkejut jika membaca statistik obesiti di Malaysia. 3 daripada 10 rakyat negara ini adalah obes.

Berat badan berlebihan meningkatkan risiko diabetes. Ia menyebabkan insulin gagal digunakan dengan baik oleh sel badan, satu keadaan yang dinamakan sebagai rintangan insulin (insulin resistance).

Selain pemakanan, aktiviti fizikal juga merupakan faktor yang penting. Kehidupan tidak aktif yang menguasai masyarakat membuatkan jumlah kalori yang dibakar kurang daripada jumlah pengambilan. Sudah la kerja pun hanya duduk di hadapan komputer selama 8 jam. Di rumah pula tiada sebarang aktiviti fizikal dilakukan.

Gaya hidup seperti ini bukan sahaja mengundang kencing manis, malah penyakit-penyakit lain juga termasuk sakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi.

Sila berwaspada dengan dua faktor ini: genetik dan gaya hidup.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut