Diabetes: Adakah Terdapat Penawar?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diabetes atau kencing manis adalah antara penyakit kronik paling kerap berlaku di Malaysia dan di peringkat global. Dianggarkan sekitar 3.6 juta rakyat di negara ini menghidap kencing manis.

Adakah terdapat penawar bagi diabetes?

Ini adalah persoalan utama yang diajukan oleh ahli keluarga dan pesakit dibetes. Bukan mereka sahaja mahukan jawapan, doktor dan saintis juga telah lama cuba membuat kajian supaya jawapan yang melegakan hati pesakit dapat diberikan.

Sehingga hari ini, tiada penawar yang benar-benar berkesan bagi penyakit kronik ini. Sekali terkena, pesakit terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan seumur hidup.

Berhati-hati dengan produk di pasaran

Hari ini, ada sesetengah pihak dengan mudah mendakwa bahawa produk mereka dalam bentuk suplemen atau minuman mampu memberikan kesembuhan kepada penyakit kencing manis yang telah dialami sejak bertahun-tahun. Hanya dengan mengambil beberapa biji pil, tiada lagi ubat-ubatan atau insulin diperlukan.

Sila berhati-hati dengan produk seperti ini. Tanpa kajian dan bukti yang tepat, mereka dengan mudah memberikan solusi palsu kepada pesakit. Sama juga dengan terapi semula jadi dalam bentuk teknik pernafasan, regangan otot atau kawalan mentaliti. Semuanya tidak boleh menyembuhkan diabetes dengan sendiri. Kadangkala, kaedah dan produk ini menyebabkan keadaan bertambah buruk!

Bagaimana dengan gaya hidup sihat?

Gaya hidup sihat boleh mencegah kencing manis. Namun dalam sesetengah keadaan, ia masih tidak mampu mengelakkan diri daripada penyakit ini. Contohnya, diabetes jenis 1 berlaku sejak kecil. Begitu juga dengan diabetes jenis 2 yang mempunyai kaitan genetik.

Jika bercakap tentang penawar pula, mereka yang telah disahkan menghidap kencing manis perlu mengambil ubat, ditambah dengan perubahan pada gaya hidup. Langkah ini, meskipun tidak dapat menyembuhkan penyakit tersebut, ia adalah cara yang dipersetujui di peringkat global dan sedang dilaksanakan untuk merawat diabetes.

Kaedah ini merangkumi:

  • Mengawal bacaan gula di dalam darah melalui ubat oral dan/atau insulin.
  • Mengamalkan pemakanan yang sihat.
  • Melakukan senaman dan aktiviti fizikal secara berkala.
  • Membuat pemeriksaan berkala untuk mengesan komplikasi lebih awal.
  • Merawat komplikasi melalui ubat-ubatan dan/atau pembedahan.

Apa yang teknologi moden mampu tawarkan?

Beberapa kajian masih sedang dijalankan dalam mencari penawar dan rawatan diabetes yang lebih efektif serta mampu mencegah daripada pelbagai komplikasi.

Rawatan sel induk atau stem cell adalah antara kaedah yang sedang dikaji. Memang ada input yang baik tetapi masih belum dijadikan sebagai rawatan sejagat bagi kencing manis. Tambahan pula, kosnya sudah tentu sangat mahal.

Selain itu, rawatan lain adalah pemindahan islet cells. Ia adalah sel di dalam pankreas yang bertanggungjawab menghasilkan serta mengawal kadar insulin di dalam darah. Dengan pemindahan sel ini, badan mampu menghasilkan insulin sendiri. Rawatan pemindahan pankreas juga menjanjikan idea yang sama.

Sama seperti mana-mana penerima organ, mereka perlu mengambil ubat tertentu untuk mengelakkan kegagalan organ tersebut. Walau bagaimanapun, tidak semua pesakit diabetes mempunyai kadar insulin yang rendah. Oleh itu, mengembalikan kadar insulin semata-mata belum tentu menyelesaikan masalah.

Kesimpulannya, masih tiada penawar sehingga hari ini. Namun, rawatan yang ada mampu melambatkan kemajuan penyakit serta komplikasi yang berkaitan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut