Adakah Selamat Mengambil Suntikan Insulin Semasa Hamil?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pesakit diabetes tertentu akan mendapatkan suntikan insulin bagi membantu mereka mengendalikan penyakit tersebut. Namun, bagaimana dengan keadaan pesakit diabetes yang sedang hamil? Adakah mereka masih perlu terus mendapatkan suntikan insulin? Anda juga mungkin tertanya-tanya mengenai kesan pengambilan insulin kepada bayi dalam kandungan. Bagi mengetahuinya, teruskan membaca artikel di bawah.

Kenali jenis diabetes pada ibu hamil

Jika pesakit diabetes biasa mengalami sama ada diabetes jenis 1 atau diabetes jenis 2, wanita hamil yang mengalami diabetes juga terbahagi kepada dua jenis diabetes; pregestational diabetes dan gestational diabetes.  

Pregestational diabetes adalah keadaan di mana wanita sudah mengalami diabetes sebelum mereka disahkan hamil, sementara gestational diabetes adalah masalah kencing manis yang berlaku pada seseorang wanita semasa tempoh dia hamil. Ibu hamil yang menghidap diabetes berisiko untuk mengalami pelbagai komplikasi semasa hamil termasuklah risiko kecacatan bayi. 

Periksa glukosa darah

Ibu hamil yang menghidap diabetes akan mengalami perubahan yang menjejaskan paras glukosa darah mereka. Malah, kehamilan juga akan membuatkan simptom glukosa darah rendah sukar untuk dikesan. Lantaran itu, kawalan diabetes semasa hamil adalah penting. Ibu hamil perlu mengambil langkah-langkah bagi memastikan paras glukosa darah sentiasa berada pada paras normal. Antara langkah yang perlu dilakukan adalah mengikuti pelan pemakanan yang baik dan  melakukan aktiviti fizikal supaya paras glukosa darah yang tinggi dapat dikurangkan.

Selain itu, ibu juga perlu kerap memantau paras glukosa darah iaitu dengan melakukan pemeriksaan glukosa darah di rumah. Ini dibuat bagi membantu anda meminimakan risiko kecacatan kelahiran, keguguran dan mengelakkan bayi yang lahir besar. Anda mungkin perlu memeriksa paras glukosa darah sehingga lapan kali ujian sehari, dan ia termasuklah pemeriksaan selepas makan. Sesetengah wanita hamil juga mungkin memerlukan suntikan insulin.

Langkah yang anda perlu lakukan:

  1. Tulis keputusan ujian anda.
  2. Catatkan pelan pemakanan dan aktiviti fizikal anda.
  3. Lakukan perubahan pada pelan pemakanan anda dan pengambilan insulin hanya perlu dengan saranan daripada doktor anda.

Kesan suntikan insulin kepada bayi dalam kandungan

Insulin adalah hormon yang dihasilkan oleh pankreas dan berfungsi untuk menghantar gula ke dalam sel bagi memberikan tenaga pada tubuh. Kekurangan insulin atau rintangan insulin menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel tubuh untuk memberikan tenaga. Suntikan insulin perlu diberikan kepada pesakit diabetes tertentu untuk mengawal glukosa darah semasa hamil. Suntikan insulin adalah langkah paling efektif untuk pelarasan halus glukosa darah dan ia tidak akan memasuki plasenta.

Jadi, suntikan insulin semasa hamil adalah selamat untuk bayi dalam kandungan. Insulin boleh disuntik menggunakan picagari, pen insulin, ataupun melalui pam insulin. Ketiga-tiga kaedah ini adalah selamat untuk wanita hamil.

Keperluan insulin bagi ibu hamil yang mengalami diabetes jenis 1 akan meningkat kerana kehamilan menjejaskan pelan rawatan insulin anda. Ini berikutan disebabkan hormon yang dibina pada plasenta. Sementara itu, ibu hamil yang menghidap diabetes jenis 2 pula mungkin perlu berhenti mengambil pil diabetes yang mengawal glukosa darah mereka. Ini kerana pengambilan pil tersebut masih belum disahkan selamat jika diambil semasa hamil. Oleh itu, doktor akan menyarankan anda untuk bertukar kepada pengambilan insulin.

Ibu yang mengalami gestational diabetes lazimnya hanya perlu mengawal paras glukosa darah dengan cara mengikuti pelan pemakanan dan kerap bersenam. Walau bagaimanapun, jika paras glukosa darah mereka masih tinggi, doktor mungkin akan menyuruh anda untuk mula mengambil insulin.

Berbeza dengan pengambilan insulin, American Diabetes Association tidak menyarankan pengambilan ubat melalui oral semasa hamil kerana dikhuatiri ia akan menembusi plasenta. Walau bagaimanapun, kesannya kepada bayi masih belum diketahui. Berbincanglah dengan doktor anda jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang penyakit anda dan dos insluin yang diperlukan semasa hamil.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut