backup og meta

Gejala Kencing Manis Yang Sering Diabaikan, Lelaki Dan Wanita Tak Sama Simptom!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 05/05/2023

    Gejala Kencing Manis Yang Sering Diabaikan, Lelaki Dan Wanita Tak Sama Simptom!

    Masih ramai yang mungkin tidak menyedari petanda diabetes yang berlaku terhadap dirinya atau keluarga sehingga mengabaikannya.

    Umumnya, penyakit diabetes atau lebih mudah dikenali sebagai kencing manis ini bukan sahaja dihidapi oleh golongan yang berusia, malah saban tahun ia semakin menular tanpa mengira usia dan jantina termasuk kanak-kanak dan remaja

    Mari ikuti artikel ini untuk mengetahui tanda dan gejala spesifik bagi penyakit kronik ini, berbeza dari segi jantina mahupun umur. Sudah baca, jangan lupa kongsikan ya!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser sila dapatkannya di sini.

    Petanda diabetes pada wanita

    Kebanyakan wanita lazimnya mengalami simptom kencing manis ini sama seperti golongan lelaki.

    Namun, tanpa disedari sebenarnya terdapat beberapa tanda-tanda unik yang berlaku pada wanita sekiranya mereka mengalami kencing manis ini.

    Mari periksa tanda-tanda diabetes pada wanita di sini!

    1. Jangkitan kulat faraj

    Pertumbuhan yis yang berlebihan disebabkan oleh spesies kulat Candida boleh menyebabkan terjadinya jangkitan yis faraj, jangkitan yis oral dan dalam kes yang lebih teruk ialah kandidiasis faraj.

    Apabila jangkitan ini berlaku di faraj, gejala yang seringkali muncul adalah seperti :

    • Rasa gatal, pedih dan hangat di kawasan faraj
    • Masalah keputihan yang berlebihan
    • Berasa sakit ketika bersenggama dengan pasangan

    Jangkitan yis mulut pula boleh dicirikan dengan mempunyai lapisan putih di lidah dan di dalam mulut.

    Tahap glukosa yang tinggi dan tidak terkawal dalam darah boleh merangsangkan pertumbuhan kulat dengan lebih teruk.

    2. Jangkitan saluran kencing, petanda diabetes

    petanda diabetes

    Risiko jangkitan saluran kencing (UTI) lazimnya lebih tinggi dalam kalangan wanita yang menghidap diabetes. Hal ini kerana tahap gula dalam darah yang tinggi boleh melemahkan sistem imun individu.

    UTI berlaku apabila terdapat jangkitan kuman, selalunya bakteria yang memasuki saluran kencing anda. Jangkitan ini boleh menyebabkan :

    • Kencing yang menyakitkan
    • Rasa sensasi terbakar semasa kencing
    • Air kencing berdarah atau keruh

    Masalah UTI ini penting untuk dirawat segera kerana ia boleh meningkatkan risiko jangkitan buah pinggang jika ia tidak diubati.

    3. Disfungsi seksual wanita

    Neuropati diabetes berlaku apabila tahap gula darah tinggi dan tidak terkawal akhirnya merosakkan saraf anda.

    Ia boleh mengakibatkan rasa kesemutan dan hilang rasa di pelbagai bahagian badan, terutama sekali bahagian tangan dan kaki.

    Selain itu, keadaan ini juga boleh mempengaruhi sensasi di kawasan faraj dan mengurangkan dorongan seks buat wanita.

    Baca juga:

    4. Sindrom ovari polisistik (PCOS), boleh menjadi punca atau petanda diabetes!

    Masalah ini berlaku apabila seseorang wanita menghasilkan hormon lelaki dalam jumlah yang lebih tinggi daripada normal dan cenderung untuk mendapat PCOS.

    PCOS juga boleh menyebabkan kerintangan insulin yang menjurus kepada peningkatan kadar gula darah dan meningkatkan risiko mendapat diabetes.

    Petanda diabetes pada lelaki

    1. Mati pucuk

    Mati pucuk adalah ketidakupayaan untuk mencapai atau mengekalkan ereksi. Menurut statistik, 20% hingga 75% daripada pesakit diabetes lelaki mempunyai masalah mati pucuk (disfungsi ereksi).

    2. Kerosakan sistem saraf autonomi

    Diabetes boleh merosakkan saraf dan membawa kepada masalah seksual. Sistem saraf ini mengawal pelebaran atau pengecutan saluran darah anda.

    Jika saluran darah dan saraf pada zakar tercedera oleh paras gula darah yang terlalu tinggi, disfungsi ereksi boleh berlaku.

    Penyakit saluran darah memperlahankan aliran darah ke dalam zakar.

    Ini merupakan satu lagi penyebab biasa mati pucuk di kalangan lelaki yang menghidap diabetes.

    petanda diabetes

    3. Ejakulasi pramatang

    Ejakulasi pramatang mempengaruhi 15% hingga 30% lelaki yang melebihi 18 tahun. Akan tetapi, pesakit diabetes mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengidapi masalah ini.

    Masalah ejakulasi pramatang ini akan menjadi lebih teruk mengikut tempoh individu tersebut mempunyai diabetes.

    Selain itu, faktor seperti kawalan tahap gula darah juga memainkan peranan penting.

    4. Ejakulasi sonsang

    Lelaki yang menghidap diabetes juga boleh menghadapi ejakulasi songsang akibat daripada air mani yang dilepaskan ke dalam pundi kencing.

    Salah satu tandanya termasuklah kekurangan air mani yang dilepaskan semasa ejakulasi.

    Petanda diabetes #5. Masalah saluran kencing

    Masalah urologi boleh berlaku terhadap lelaki menghidap diabetes disebabkan kerosakan saraf.

    Gejala diabetes buat lelaki termasuk pundi kencing terlalu aktif, pembuangan air kecil tidak terkawal, dan jangkitan saluran kencing.

    petanda diabetes

    Petanda diabetes pada kanak-kanak

    Penyakit diabetes jenis 1 disebabkan oleh pankreas yang tidak berupaya untuk menghasilkan insulin secukupnya. Diabetes jenis ini sering dihidapi oleh kanak-kanak.

    Bagi kanak-kanak, simptom diabetes adalah lebih umum.

    Apabila insulin tidak mencukupi dalam badan, paras glukosa darah akan meningkat dengan cepat dan boleh menyebabkan gejala diabetes seperti:

    • Lemah dan keletihan melampau
    • Rasa sangat dahaga
    • Kerap buang air kecil
    • Sakit perut
    • Loya atau muntah-muntah
    • Penglihatan kabur
    • Luka sukar sembuh
    • Cepat marah atau perubahan emosi yang cepat
    • Kedatangan haid yang lambat bagi perempuan

    kencing manis

    Gejala diabetes ketika hamil

    Ibu hamil yang menghidap kencing manis sepanjang tempoh kehamilan adalah perkara biasa dan ianya hanya bersifat sementara.

    Kebanyakan daripada ibu hamil yang menghidapnya tidak mempunyai apa-apa gejala diabetes.

    Namun, sesetengahnya mungkin mengalami:

    • Kekerapan membuang air kecil dalam jumlah yang besar, lebih daripada normal
    • Senang mendapat jangkitan saluran kencing dan kulit
    • Gula dalam air kencing (terdapat dalam ujian air kencing dilakukan oleh doktor)
    • Keletihan yang lain daripada biasa

    Konklusi

    Oleh kerana terdapat beberapa simptom yang berbeza mengikut umur dan jantina, maka lebih eloklah untuk kita mengenal pasti pada peringkat awal.

    Berbincanglah dengan doktor anda jika anda mempunyai petanda diabetes seperti di atas untuk mengelakkan komplikasi yang lebih teruk pada masa akan datang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Nana Muhammad · Disemak pada 05/05/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan