Kencing Manis Ada Dua Jenis? Betul Ke?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Mesti anda tahu sedikit sebanyak tentang kencing manis, kan? Ia merupakan penyakit kronik yang kerap didiagnos di Malaysia. Kencing manis boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi seperti sakit jantung, masalah buah pinggang, jangkitan kuman dan kebutaan. Namun, tahukah anda bahawa kencing manis ada dua jenis? Ikuti artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

Insulin dan diabetes

Insulin merupakan hormon yang penting dalam mengawal tahap gula di dalam darah. Disebabkan gula adalah sumber tenaga utama tubuh badan, ia perlu masuk ke dalam sel. Insulin bertindak sebagai kunci yang akan membuka laluan untuk gula masuk. Tanpa insulin, tahap gula di dalam darah akan kekal tinggi. Ini akan menyebabkan simptom seperti kencing yang banyak (polyuria), kehausan (polydipsia), kelesuan dan kabur penglihatan.

Kencing manis jenis 1 (Diabetes type I) adalah disebabkan oleh ketidakupayaan individu tersebut untuk menghasilkan hormon insulin. Individu ini tidak mempunyai “kunci’ untuk membuka laluan sel, akibatnya gula akan berkumpul di dalam darah.  Ia disebabkan oleh proses autoimun yang menyebabkan sistem pertahanan tubuh menyerang sel beta di dalam pankreas. Sel beta merupakan sel yang menghasilkan insulin, justeru, tanpanya, insulin tidak boleh dihasilkan.

Kencing manis jenis 2 (Diabetes type II) pula disebabkan oleh kerintangan insulin. Badan masih menghasilkan hormon tersebut, namun ia tidak dapat digunakan dengan berkesan. Mekanisme terhadap kerintangan tersebut masih tidak diketahui namun terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan terjadinya kencing manis jenis 2 seperti obesiti dan mengamalkan hidup sedentar.

Peranan insulin dalam rawatan diabetes

Setakat ini, tiada ubat yang dapat menyembuhkan kencing manis jenis 1 secara menyeluruh. Disebabkan oleh ketidakupayaan individu tersebut dalam menghasilkan insulin, mereka perlu mengambil suntikan hormon tersebut seumur hidup. Terdapat beberapa lokasi penyuntikan yang boleh digunakan oleh individu ini, namun adalah digalakkan untuk mereka menggunakan abdomen sebagai tempat suntikan utama.

Ini kerana, kadar penyerapan insulin adalah lebih cepat pada lokasi tersebut. Pemeriksaan gula dalam darah juga perlu dilakukan secara kerap kerana mereka berisiko untuk mendapat hypoglycaemia. Ia merupakan komplikasi yang menyebabkan tahap gula dalam darah rendah melebihi paras normal.

Bagi individu yang didiagnosis dengan kencing manis jenis 2 pula, perubahan gaya hidup perlu dilakukan. Walaupun hakikatnya penyakit ini boleh dikawal dengan pemakanan seimbang dan senaman yang kerap namun, sebahagian besar individu memerlukan bantuan farmakologikal.

Jika perubahan gaya hidup tidak dapat memberikan pengawalan gula dalam darah yang optimum, doktor anda mungkin akan mempreskripsikan ubat untuk membantu fungsi insulin anda. Tahap gula dalam darah perlu dipantau dan jika ia berterusan tinggi walaupun anda mengambil ubat mengikut saranan doktor, anda mungkin perlu mengambil insulin.

Konklusi

Rawatan bagi kencing manis berbeza mengikut jenisnya. Mereka yang mempunyai penyakit ini perlu mengikut saranan yang diberikan oleh doktor kerana komplikasinya mempengaruhi kualiti hidup. Jika anda mempunyai faktor risiko kencing manis atau mengalami simptom yang berkaitan dengannya, berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan susulan dan rawatan jika perlu.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Oktober 29, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut