Kedah Negeri Diabetes?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Laporan yang menyatakan bahawa Perlis merupakan negeri yang mempunyai pesakit diabetes paling ramai adalah tidak benar. Menurut kajian yang dijalankan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), seramai 33,090 individu telah mendapat diagnosis rasmi kencing manis di Perlis. Ia sekali gus meletakkan negeri tersebut di bawah negeri Kedah pada kedudukan kedua. 

Penting sangat ke kita nak tau negeri mana yang paling ramai pesakit diabetes? Ikuti artikel ini untuk penjelasan selanjutnya.

Pengambilan lebihan nutrisi makro

Semua sedia maklum bahawa Kedah merupakan negeri pengeluar beras terbesar di Malaysia. Maka, tidak hairanlah jika kebanyakan penduduk menyajikan hidangan nasi setiap kali tiba waktu makan. Nasi mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi. Pengambilannya secara kerap boleh menyebabkan lebihan kalori terutamanya buat mereka yang mengamalkan gaya hidup sedentar. Ini boleh menyumbang kepada masalah obesiti yang kian meningkat saban tahun. 

Obesiti merupakan penyakit yang boleh menyebabkan komplikasi seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan kanser. Malaysia merupakan pada kedudukan pertama di Asia Tenggara yang mempunyai jumlah pesakit obesiti paling tinggi. Ia boleh dipengaruhi oleh pelbagai jenis faktor namun antara faktor yang penting adalah gaya pemakanan tidak seimbang. Lihat sahajalah jumlah kalori makanan yang kebiasaannya dijual di gerai-gerai makan.

Kajian yang dijalankan oleh Yi Yi Lee pada tahun 2019 menunjukkan populasi orang dewasa di Malaysia (terutamanya lelaki), mengambil makro nutrisi karbohidrat, protein dan lemak melebihi apa yang dianjurkan oleh Saranan Pengambilan Nutrisi (RNI) Malaysia. Tambahan pula, mereka mengambil jumlah serat yang sedikit sekali gus meningkatkan risiko untuk mendapat obesiti dan kanser usus.

Serat dapat membantu mengurangkan kadar penyerapan glukosa ke dalam darah. Ia juga berperanan mengawal kadar kolesterol di samping memudahkan pergerakan makanan melalui sistem penghadaman. Makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, oat dan kekacang mempunyai kepekatan serat yang tinggi. Pengambilannya pada kadar yang disarankan oleh Panduan Pemakanan Malaysia (MDG) iaitu 5 hidangan sehari, boleh menghindarkan individu daripada risiko penyakit kronik termasuk obesiti dan kencing manis.

Ujian saringan kencing manis

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Kencing manis boleh dirawat dengan mudah jika ia dikesan pada peringkat awal. Secara umumnya, menurut Panduan Pengamalan Klinikal (CPG) Malaysia, mereka yang tidak mempunyai faktor risiko perlu menjalani ujian saringan bermula pada usia 30 tahun. Ujian tersebut boleh diambil di mana-mana klinik kesihatan dan jika didiagnosis, rawatan susulan akan diberikan secara berperingkat.

Mereka yang mengalami simptom kencing manis juga perlu menjalani ujian saringan kencing manis. Antaranya adalah:

  • Kencing yang banyak/kerap (polyuria)
  • Cepat haus (polydipsia)
  • Kenaikan selera makan (polyphagia)
  • Kerap terbangun untuk kencing pada waktu malam (nocturia)
  • Kelesuan
  • Hilang berat badan secara drastik

Antara faktor yang meningkatkan risiko untuk seseorang individu mendapat kencing manis adalah:

  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kencing manis
  • Sejarah penyakit jantung dalam keluarga
  • Obesiti
  • Mempunyai masalah hipertensi
  • Tinggi kolesterol
  • Wanita yang pernah melahirkan anak dengan berat melebihi 4 kg atau wanita yang pernah didiagnosis dengan penyakit diabetes gestasi
  • Wanita yang mempunyai masalah polycystic ovarian syndrome (PCOS)
  • Hidup sedentar (jarang membuat sebarang aktiviti fizikal)
  • Mereka yang mengambil ubat yang boleh menaikkan paras gula di dalam darah seperti ubat antipsikotik dan ubat antiretroviral (untuk rawatan HIV)

Cegah dan rawat

Penting ke untuk kita tahu negeri mana paling ramai pesakit diabetes? Apabila kita mempunyai maklumat berkenaan dengan gaya pemakanan penduduk di sesetengah negeri, pelan tindakan untuk menurunkan kadar kencing manis boleh diusulkan. Ini termasuklah aktiviti kempen, program kesedaran dan ceramah kesihatan bagi meningkatkan tahap pengetahuan penduduk terhadap pencegahan penyakit kencing manis. 

Negeri Kedah perlu diberikan penekanan berkaitan dengan pencegahan diabetes. Oleh sebab ia merupakan negeri yang sinonim dengan pengeluar beras, pendidikan berkenaan dengan kalori makanan perlu diberikan kepada penduduk untuk menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat. Mereka yang didiagnosis juga perlu dinasihatkan untuk mengubah gaya pemakanan dan kekerapan aktiviti fizikal bagi memberikan kebaikan kesihatan yang optimum.

Konklusi

Kencing manis merupakan antara penyakit kronik yang kerap ditemui di Malaysia. Pada sudut pandangan masyarakat ia kelihatan biasa namun komplikasinya boleh menurunkan kualiti hidup serta-merta. Kebutaan, kerosakan buah pinggang, penyakit jantung dan masalah hormon; ini adalah komplikasi kencing manis yang boleh dihindari jika anda mula mengamalkan gaya hidup sihat. Tidak kiralah negeri mana sekalipun yang mempunyai individu teramai menghidap penyakit, namun marilah sama-sama kita amalkan gaya hidup sihat agar rakyat Malaysia tidak terbelenggu dek penyakit kronik.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut