backup og meta

Terapi Gantian Nikotin vs Vape: Yang Mana Lebih Baik untuk Hentikan Ketagihan Nikotin

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 05/07/2022

    Terapi Gantian Nikotin vs Vape: Yang Mana Lebih Baik untuk Hentikan Ketagihan Nikotin

    Dengan anggaran 8 juta kematian setiap tahun, merokok merupakan punca kematian boleh dicegah nombor satu di dunia. Tambahan pula, kira-kira 1.2 juta kematian tahunan disebabkan bahan tembakau dicatatkan yang melibatkan golongan perokok pasif. Ini jelas menunjukkan bahawa amalan merokok turut membahayakan orang lain yang berada di sekeliling mereka. Ancaman dan juga bahaya produk tembakau ini menjadikannya salah satu fokus utama kesihatan awam di setiap negara. Di Malaysia, kerajaan telah berjaya untuk mengorak langkah yang besar dalam menentang penggunaan produk tembakau – daripada meluaskan servis klinik mQuit ke seluruh negara, sehinggalah melaksanakan larangan merokok dalam radius 3 meter daripada restoran dan ruang makan awam yang lain. Dalam usaha untuk membasmi ketagihan nikotin, satu alat baru telah mencetuskan trend dan menjadi cukup popular baik di dalam mahupun di luar negara – vape. Pengguna vape mengatakan bahawa penggunaan alat ini membantu membebaskan diri mereka daripada belenggu nikotin, tetapi selain dakwaan berasaskan anekdot ini, sejauh manakah kebenarannya? Bagaimana pula jika dibandingkan dengan terapi gantian nikotin dalam membantu perokok membebaskan diri mereka daripada belenggu ketagihan nikotin? 

    Mekanisma tindakan

    Vape

    Juga disebut sebagai rokok elektronik, vape adalah sejenis alat atau sistem pembekalan nikotin elektronik (ENDS) yang menghasilkan aerosol nikotina (wap) tanpa pembakaran produk tembakau. Ia lazimnya terdiri daripada tiga bahagian asas: bateri, elemen pemanas (atomiser) dan juga katrij berisi cecair nikotina yang selalunya dilarutkan dalam propilen glikol, gliserin atau kedua-duanya. Apabila disedut, bateri akan memberi kuasa kepada elemen pemanas yang kemudiannya akan memanaskan cecair nikotina sehingga ia menjadi wap.

    Terapi gantian nikotin 

    Secara asasnya, terapi gantian nikotin (NRT) membantu perokok untuk berhenti dengan cara menguruskan gian ataupun sindrom putus ubat (withdrawal) mereka. NRT berupaya untuk menghasilkan kesan tersebut dengan membekalkan nikotin pada dos yang rendah ke dalam badan perokok yang ingin berhenti. Pada dos rendah, ia membantu untuk mengatasi kesan gian fisiologi akibat ketagihan nikotin. Pengurusan gian atau simptom putus ubat yang baik akan mengurangkan motivasi untuk merokok dan meningkatkan kemungkinan perokok untuk mencapai pemberhentian penuh. Terapi gantian nikotin ini wujud dalam pelbagai bentuk dan dos, dengan setiap daripadanya mempunyai kelebihan tersendiri. Antara contoh bentuk NRT berbeza adalah tampalan kulit nikotin, gula-gula getah, lozenges, tablet bawah lidah (sublingual), alat sedut dan juga semburan. 

    Kandungan nikotin tulen?

    Kedua-dua NRT dan juga vape mengandungi nikotin. Walau bagaimanapun, kandungan nikotin dalam vape boleh diubahsuai mengikut citarasa pengguna, menyebabkan jumlah nikotin tidak dapat ditentukan. Tambahan lagi, ia juga boleh mengandungi pelbagai bahan kimia lain; satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Tobacco Control pada tahun 2013 mendapati vape juga mengandungi beberapa bahan kimia yang berbahaya seperti yang terdapat dalam rokok tradisional, namun pada kadar 9 hingga 450 kali ganda lebih rendah. Satu lagi kajian oleh Badan Pentadbir Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA) mendapati ENDS seperti vape sebenarnya mengandungi bahan karsinogen dan bahan kimia toksik yang berpotensi untuk mempengaruhi kesihatan pengguna. Gabungan bahan perasa dan juga propilen glikol (PG) dalam ENDS menghasilkan kompaun asetal yang telah terbukti mampu untuk mengaktifkan reseptor kerengsaan, menyebabkan pengguna cenderung mengalami kesan kesihatan yang sama seperti rokok biasa. Wap yang dihasilkan juga tidak semestinya bersih – menurut penilaian bancian Florida Youth Tobacco 2016 yang membabitkan lebih 11,830 kanak-kanak penghidap asma, pendedahan kepada wap secara pasif meningkatkan kemungkinan serangan akut asma sebanyak 27%. Kesan ini tidak dilihat dalam penggunaan NRT kerana ia tidak menyebabkan pelepasan sebarang bahan yang boleh disedut oleh orang sekeliling.

    Menghasilkan generasi penagih nikotin yang baru

    Di Malaysia, vape telah menjadi satu trend yang cukup popular sehingga gerai-gerai vape tumbuh ibarat cendawan selepas hujan. Ini didorong oleh kurangnya kawalan ke atas urusan jual beli produk vape. Salah satu punca ini berlaku adalah kerana tidak semua orang berkongsi pendapat bahawa vape ini sesuatu yang bahaya untuk kesihatan khususnya dengan ketiadaan kaitan yang jelas terhadap penggunaan vape dengan penyakit tertentu ataupun punca kematian, walaupun telah berada di pasaran sekian lama. Malahan, seperti yang dicanangkan oleh penghasil alat ini, ramai yang melihatnya sebagai alat rekreasi yang membekalkan nikotina pada paras rendah tanpa bahan kimia berbahaya seperti yang terdapat dalam tembakau. Ia juga mudah untuk diubah suai dengan pelbagai perisa dan campuran mengikut citarasa pengguna. Persepsi dan normalisasi sebegini membuatkan golongan belia tertarik khususnya mereka yang tidak pernah merokok. Pada tahun 2015, Laporan Pakar Bedah Amerika Syarikat melaporkan peningkatan sebanyak 900% penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah menengah, dan 40% daripada jumlah ini terdiri daripada mereka yang tidak pernah menggunakan rokok tembakau sebelum ini. Berbeza dengan vape, tidak wujud statistik yang menunjukkan NRT sebagai punca permulaan kepada ketagihan nikotin.

    Keselamatan dan pengawalan 

    Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan adalah perbezaan dari sudut kawalan penggunaan kedua-dua produk ini. NRT dikawal dengan ketat dari sudut pendispensan dan juga penggunaannya oleh Kementerian Kesihatan namun perkara yang sama tidak berlaku untuk vape. Ini bermakna penggunaannya bukanlah sesuatu yang telah dikaji oleh pihak kementerian, menyebabkan setiap sedutan menjadi risiko peribadi kepada diri anda. 

    Tuntasnya, vape bukanlah satu solusi yang praktikal kepada masalah ketagihan produk tembakau yang sedang melanda dunia. Sistem penghantaran nikotina yang dijual tidaklah setulen yang dikhabarkan, dan ia juga bertindak sebagai produk nikotina yang cukup menarik kepada golongan belia walaupun kerajaan sedang bertungkus lumus dalam membanteras penggunaan rokok. Tambahan lagi, ia bukanlah sesuatu yang mempunyai profil keselamatan atau dikawal selia oleh pihak Kementerian Kesihatan. Oleh yang demikian, dapatkan nasihat doktor berkaitan dengan pilihan mana yang terbaik untuk anda membebaskan diri daripada belenggu ketagihan.

    Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan ataupun rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 05/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan