Perang Dasar Anti Rokok vs Industri Tembakau: Sejarah dan Masa Kini

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

‘Merokok membahayakan kesihatan,’ hampir semua orang tahu akan fakta ini termasuklah golongan perokok sendiri. Tetapi tahukah anda tentang sejarah berliku penemuan risiko kesihatan disebabkan merokok dan pelaksanaan dasar anti rokok? Percayakah anda jika dikatakan pada abad ke-20, di zaman pendaratan manusia pertama ke bulan, fakta merokok membahayakan kesihatan tidak pernah terlintas dalam fikiran kebanyakan orang termasuklah pakar kesihatan sendiri?

Zaman kegemilangan rokok

rokok

Menjelang awal abad ke-20, merokok merupakan aktiviti lapang yang sangat biasa ditemui hingga dikatakan 4 daripada 5 lelaki merokok. Abad ini bahkan dikenali sebagai ‘abad rokok’ di Amerika Syarikat oleh penulis Allan Brandt disebabkan promosi berlebihan dalam media dan kebiasaan merokok dalam sosiabudaya masyarakat.

Disebabkan penggunaan produk tembakau menjadi kebiasaan yang sangat tersebar luas, kaitan antara penyakit kanser dan rokok sangat sukar dikenalpasti, sepertimana kata pakar epidemiologi Oxford, Dr Richard Peto “menjelang awal 1940-an, bertanya kaitan antara merokok dan kanser ialah seperti bertanya kaitan antara duduk dan kanser.”

Maka tidak hairanlah pada zaman tersebut, pakar bedah yang mengemukakan teknik pembedahan pneumonectomy (satu kaedah membuang bahagian paru-paru yang mempunyai kanser) sendiri memperlekehkan idea bahawa rokok mempunyai kaitan dengan kanser.

Pun begitu, bibit-bibit penemuan bahaya asap rokok semakin tumbuh melalui kajian-kajian kecil oleh pakar kesihatan yang menyedari terdapat epidemik kanser yang tidak dapat dijelaskan puncanya. Masalah penyakit kanser paru-paru dikatakan meningkat hampir 15 kali ganda dalam masa dua dekad.

Mustahil rokok menyebabkan kanser!

merokok

Terdapat banyak spekulasi berkaitan punca peningkatan kes kanser paru-paru tetapi tiada data yang tepat. Kajian kecil pula selalunya diabaikan sebagai tidak mempunyai bukti mencukupi.

Richard Doll dan Bradford Hill adalah penyelidik British yang menjalankan kajian untuk menangani masalah ini. Mereka mengenal pasti pesakit kanser paru-paru di 20 hospital London dan membandingkan dengan kumpulan pesakit biasa.

Hasilnya? Terdapat satu perbezaan konsisten yang membezakan kedua kumpulan pesakit tersebut. Sebahagian besar pesakit kanser merupakan perokok, dan mereka perokok tegar berbanding kumpulan kedua.

Walaupun kajian tersebut dilakukan dengan teliti dan sangat meyakinkan, ia menimbulkan kontroversi termasuklah dalam kalangan komuniti perubatan. Merokok sangat berleluasa, termasuklah dalam kalangan doktor, dan ramai yang tidak percaya bahawa ia boleh menjadi punca kanser. Kajian-kajian lain dijalankan untuk menguatkan penemuan ini, dan akhirnya kepentingan kajian ini diiktiraf.

Permulaan perang terhadap industri tembakau

Hasil kajian dalam bidang kesihatan awam tidak akan bermakna jika tidak diterjemahkan dalam masyarakat. Industri tembakau merupakan industri yang sangat berpengaruh, terutamanya melalui pengiklanan media dan lobi politik. Ini menyebabkan kajian Doll dan Hill  tidak cukup memberi kesan untuk menghalang penggunaan merokok.

Industri tembakau malah melaksanakan kempen sistematik menggunakan media cetak untuk melawan persepsi negatif terhadap penggunaan produk tembakau. Mereka mengaburi fakta kajian bahkan membentuk badan kajian mereka sendiri dengan melantik pakar kesihatan yang tidak bersetuju dengan hasil kajian Doll dan Hill.

Peperangan terhadap industri tembakau merupakan peperangan yang sangat sukar disebabkan kekuasaan mereka dalam melobi ahli politik dan memanipulasi mayarakat awam. Dalam 3 dekad antara 1954 hingga 1984, lebih 300 kes liabiliti produk difailkan pesakit terhadap syarikat tembakau di Amerika Syarikat, hanya 16 yang berjaya dibawa ke mahkamah dan tiada suatu pun berjaya mengalahkan syarikat tembakau.

Perang guaman dan pengharaman pengiklanan

Marc Edell, peguam daripada New Jersey yang mewakili seorang pesakit kanser wanita berjaya membawa perubahan dalam corak guaman kes pesakit vs industri tembakau. Tidak seperti plaintif lain yang mengemukakan hujah stereotaip bahawa pesakit tidak tahu bahaya rokok, Edell mengemukakan hujah baru bahawa apa yang penting bukanlah pengetahuan pesakit yang tidak dapat meninggalkan ketagihan mereka, sebaliknya apa yang diketahui industri tembakau dan sejauh mana mereka mendedahkannya kepada pengguna.

Hujah tersebut membolehkan Edell mempunyai akses kepada fail dalaman syarikat produk tembakau Philip Morris, Liggett dan Lorilland. Edell berjaya membuka rahsia besar industri tembakau yang didapati bukan sahaja tahu mengenai segala risiko kesihatan yang terkait dengan produk tembakau, malah cuba menutup kajian dalaman yang membuktikannya.

Meskipun kes beliau berakhir dengan ganti rugi yang tidak setimpal kepada pesakit, pendedahan terbuka tentang tipu muslihat industri tembakau kepada mahkamah ini membuka mata ramai pihak dan perlahan-lahan mengubah polisi kerajaan dan membangkitkan kesedaran masyarakat. Menjelang penghujung 1970, pengiklanan produk tembakau tidak lagi muncul di televisyen Amerika Syarikat, antaranya atas kejayaan usaha guaman oleh peguam John Banzhaf.

Cabaran dasar anti rokok

Kesedaran dan desakan masyarakat membuatkan negara-negara berpendapatan tinggi mempunyai kadar merokok yang kian menurun. Penubuhan FCTC, Framework Convention on Tobacco Control yang ditandatangani oleh 168 negara menunjukkan komitmen pelbagai negara dalam menangani epidemik rokok. Pun begitu, negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana masih bergelut dengan campur tangan pelobi politik dalam mengekang langkah kerajaan terhadap produk tembakau.

Sebagai contoh pada tahun 2004, syarikat tembakau di Mexico menangani perjanjian dengan Kementerian Kesihatan untuk menyumbang kepada program insurans kesihatan awam dengan syarat diberikan kelonggaran dalam penyelarasan amaran pek rokok dan iklan. Indonesia yang tidak menandatangani FCTC pula menyaksikan industri tembakau dengan terang-terangan memanipulasi fakta, meyebarkan berita palsu dan melagakan petani tembakau dengan individu tertentu. Tidak hairanlah wajah aktivis dan penggubal dasar anti tembakau dihimpun dalam poster ’10 Musuh Petani Tembakau dan Buruh Kretek’ sebagai protes.

Pek kosong menggugat kuasa industri tembakau

Cabaran mengekang produk tembakau masih berterusan hingga ke hari ini. Pek biasa (plain packaging) merupakan langkah terbaru yang ingin didesak oleh penggubal dasar. Kajian menunjukkan penggunaan gambar menakutkan pada pek rokok hanya mempunyai kesan selama beberapa tahun dan memerlukan imej baru untuk membangkitkan rasa takut.

Sementara pek biasa tanpa logo jenama dapat menyingkirkan daya tarikan dan mengurangkan pengiklanan dan promosi serta meningkatkan kebekesanan amaran kesihatan. Cabaran berkaitan pelaksanaannya dikongsikan oleh para penyampai pada sesi berkaitan ‘Pergerakan global ke arah pek biasa’ pada Kongres Kanser Dunia 2018 di Kuala Lumpur.

Kerajaan Norway, contohnya disaman oleh Swedish Match, pengeluar snus (produk tembakau serbuk) apabila menguatkuasakan undang-undang pek biasa. Kemenangan kerajaan Norway tahun lalu  merupakan kemenangan kepada ramai pengguna yang berisiko kerana produk snus dipasarkan dengan pek berwarna-warni yang menarik golongan muda.

Pengetahuan tentang sejarah dan cabaran masa kini yang dihadapi aktivis dan penggubal polisi terhadap industri tembakau serta tindak balas berani mereka sepatutnya membuka mata anda sebagai pengguna bijak. Katakan tidak pada rokok. Katakan tidak pada industri bernilai billion dollar yang sengaja mengaut keuntungan dengan memanipulasi maklumat dan golongan petani miskin tanpa memperdulikan kesan kesihatannya kepada anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Artikel yang Sama
How to Stop Smoking Successfully HelloDoktor Healthy Living First Aid
Belajar Mengenainya
Mengapa Orang Merokok?
Bantu Pesakit, Menghadapi Penyakit Ini
Merokok Dan Kanser Paru-Paru
Bantu Pesakit, Menghadapi Penyakit Ini
Bagaimana untuk Berhenti Merokok
Belajar Mengenainya
COPD: Penyakit Perokok
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut