Masih Mahu Merokok? Ketahui Penyakit Kanser Utama Penyebab Kematian

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Satu daripada 5 lelaki dan satu daripada 6 wanita di seluruh dunia akan menghidap penyakit kanser suatu masa dalam hidup mereka. Daripada jumlah populasi manusia yang menghidap kanser tersebut, satu daripada 8 lelaki dan satu daripada 11 wanita akan mati disebabkan penyakit kanser. Mengejutkan? Demikianlah dapatan kajian The International Agency for Research on Cancer (IARC) melalui pangkalan data GLOBOCAN 2018. Dapatan kajian ini menunjukkan betapa hampir semua keluarga pada zaman moden ini akan ‘merasai’ penyakit kanser tanpa mengira jantina dan usia.

GLOBOCAN 2018: statistik baharu kanser

Perkiraan GLOBOCAN (2018) memperlihatkan bahawa kadar kes baharu dan kadar kematian disebabkan semua penyakit kanser terus meningkat di setiap rantau di dunia. Walau bagaimanapun, corak kanser berbeza mengikut rantau dengan 13 jenis kanser yang berbeza didapati paling kerap berlaku.

Kepelbagaian dalam jenis penyakit kanser yang ditemui mengikut rantau mungkin mencerminkan perbezaan faktor-faktor sosial, ekonomi, dan gaya hidup terhadap jenis kanser.

Penyakit kanser dijangka akan meragut nyawa hampir 9.6 juta manusia pada tahun 2018 dan sebanyak 18.1 juta kes kanser baharu dijangka berlaku tahun ini. Kadar ini berbeza daripada jumlah kes baru kanser sebanyak 14.1 juta dan 8.2 juta kematian pada tahun 2012, kali terakhir kaji selidik kanser diterbitkan.

Penambahan populasi dan penuaan serta jangka hayat manusia yang lebih panjang juga mungkin menjadi punca peningkatan tersebut.

Penyakit kanser di Asia

Disebabkan 60% populasi dunia terletak di Asia, kadar kematian disebabkan kanser paling tinggi dilaporkan di Asia dengan punca kematian dalam kalangan lelaki disebabkan kanser paru-paru (18%), kanser usus (12%) dan kanser perut (11% )

Manakala 3 kanser utama yang dilaporkan dalam kalangan wanita Asia ialah kanser payudara (22%), kanser usus (10%), dan kanser paru-paru. Perbandingan antara kes-kes baru kanser yang dilaporkan di setiap kawasan mengikut jantina boleh didapati daripada infografik tersebut:

kematian disebabkan kanser

infografik ihsan WHO

Berdasarkan statistik yang dibentangkan GLOBOCAN juga, kanser paru-paru merupakan punca utama kematian disebabkan kanser dengan peratusan sebanyak (18.4%) berbanding kanser usus (9.2%), diikuti kanser-kanser lain.

Pencegahan kanser paru-paru

Memahami kesan asap rokok secara langsung dan secondhand dalam pembentukan kanser paru-paru, sebarang langkah pencegahan daripada pendedahan kepada karsinogen ini patut disokong semua lapisan masyarakat. Lebih-lebih lagi kerana kadar merokok di Malaysia berada di tangga ke-7 di Asia, dengan hampir separuh lelaki Malaysia (43%) merupakan perokok.

Mulai Disember ini, semua restoran terbuka di Malaysia akan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok. Langkah yang dilihat sebagai inisia­tif kementerian bagi memperluaskan lagi kawasan larangan mero­kok ini menunjukkan komitmen Malaysia sebagai negara anggota kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau dan mematuhi panduan di bawah Artikel 8 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ia juga merupakan salah satu inisiatif kementerian untuk melindungi orang awam daripada bahaya asap rokok.

Jika anda seorang perokok, terdapat pelbagai inisiatif program berhenti merokok yang boleh anda dapati daripada mana-mana cawangan klinik kesihatan kerajaan.  Tetapi jika anda masih memilih untuk merokok, sedarilah bahawa anda sedang membantu meningkatkan statistik kematian disebabkan kanser dalam kalangan ahli keluarga anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut