Kanser Paru-paru dan Perokok Pasif

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kanser paru-paru, bronkus dan trakea merupakan antara jenis penyakit kanser kedua yang paling biasa berlaku dalam kalangan individu lelaki dan jenis penyakit kanser kelima dalam kalangan individu wanita di Malaysia. Kebanyakan kes kanser dikesan pada peringkat yang lebih serius seperti peringkat III dan peringkat IV, kanser paru-paru merupakan kanser yang paling membawa maut di seluruh dunia yang melibatkan lebih daripada 1.8 juta nyawa pada tahun 2018. Ini adalah kanser yang paling banyak jika dibandingkan dengan kanser lain. 

Kanser paru-paru, rokok dan perokok pasif

Individu yang merokok merupakan majoriti daripada mereka yang didiagnosis dengan penyakit kanser paru-paru. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana di dalam tembakau mengandungi 7,000 bahan kimia, dengan hampir 70 daripada bahan kimia terbabit diketahui sebagai punca yang menyebabkan kanser, iaitu bahan karsinogenik. Walau bagaimanapun, terdapat juga kumpulan populasi yang dikenali sebagai perokok pasif atau perokok kedua. Mereka ini adalah individu yang sebenarnya tidak merokok tetapi terdedah kepada bahan kimia berbahaya yang terkandung di dalam asap rokok tembakau. Ini kerana mereka berada di sekitar perokok aktif.

Kebiasaannya perokok pasif merupakan pasangan, ahli keluarga atau individu yang tinggal sebumbung dengan seseorang yang aktif merokok. Dipercayai bahawa individu yang tidak pernah merokok tetapi tinggal bersama dengan mereka yang merokok adalah 26% berisiko untuk mendapat penyakit kanser paru-paru berbanding mereka yang tidak tinggal bersama individu yang merokok. Tambahan lagi, produk rokok lain, termasuk tobacco-specific nitrosamines (TSNAs) seperti 4-(methylnitrosamino)-1-(3-pyridyl)-1-butanone (NNK) – merupakan penyebab utama adenorkasinoma – yang dikesan dalam air kencing perokok pasif yang terdedah kepada asap rokok. Ini sekali gus menguatkan lagi hubung kait antara perokok pasif dan penyakit kanser paru-paru.

Berdasarkan Surgeon General’s Report, sejak 1964, seramai 2.5 juta individu dewasa yang tidak merokok mati kerana menjadi perokok pasif. Selain itu, tiada tahap bebas risiko kepada perokok pasif. Pendedahan kepada asap rokok, walaupun untuk tempoh yang singkat, tetap cenderung mendatangkan risiko kerosakan sel-sel dengan mengaktifkan proses pergerakan sel kanser. 

Menjadi perokok pasif bukan sahaja cenderung meningkatkan risiko seseorang individu untuk menghidapi kanser paru-paru, tetapi ia juga membawa risiko kepada masalah kesihatan lain. Malahan, dalam masa yang sama ia turut akan memburukkan lagi sebarang masalah kesihatan sedia ada yang dialami individu perokok pasif ini. 

Bagi bayi dan kanak-kanak yang tergolong dalam kumpulan perokok kedua ini, mereka berdepan risiko serangan asma dengan lebih kerap dan kronik, jangkitan pernafasan, jangkitan telinga dan sindrom kematian bayi secara mengejut (SIDS). Manakala bagi perokok pasif dewasa pula, pendedahan kepada asap rokok memberikan efek sampingan segera ke atas darah dan saluran darah, sekali gus cenderung untuk meningkatkan risiko berdepan serangan jantung atau strok. 

Bagaimana melindungi diri dan keluarga daripada menjadi perokok pasif?

Perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk melindungi diri anda dan keluarga daripada menjadi perokok kedua atau perokok pasif adalah dengan menghentikan terus tabiat merokok. Ia akan menyingkirkan kemungkinan kepada perokok pasif untuk terdedah kepada asap tembakau dan bau asap di rumah, pakaian mahupun kereta.  

Di Malaysia, terdapat ratusan klinik mQuit dibangunkan untuk memberikan bantuan yang tepat dan sewajarnya kepada perokok yang mempunyai keinginan untuk berhenti merokok. Terapi Penggantian Nikotin (NRT) yang merupakan pelekat nikotin atau gula-gula getah juga dipercayai dapat membantu anda untuk mengatasi keinginan untuk merokok. Langkah-langkah lain yang boleh anda lakukan adalah termasuk:

  • Memastikan rumah dan kereta anda adalah kawasan bebas asap rokok. Perokok pasif cenderung bernafas sebagai perokok kedua di rumah berbanding di tempat lain. 
  • Pastikan penjaga anak anda seperti pengasuh, dan kakitangan pusat jagaan harian tidak merokok di sekitar anda dan keluarga anda. 
  • Makan di restoran dan tempat makan bebas rokok. Hindari tempat awam tertutup yang memberi kebenaran untuk merokok. 
  • Ajari anak anda untuk menjauhkan diri daripada menjadi perokok kedua atau menutup mulut dan hidung semasa berjalan melalui sekumpulan perokok. Cara yang lebih baik adalah dengan memaklumkan kepada perokok yang merokok di sekitar anda bahawa anda tidak selesa dengan asap tembakau. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

enEnglish

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut
Belajar Mengenainya, Bantu Pesakit, Menghadapi Penyakit Ini
Mengapa Anda Perlu Berhenti Merokok Sekarang?
Bantu Pesakit, Menghadapi Penyakit Ini
Merokok Dan Kanser Paru-Paru