Berapa Kerap Orang Malaysia Merokok?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Merokok telah terbukti menjadi faktor utama bagi kanser paru-paru. 80% dalam kalangan mereka yang mengalami kanser paru-paru adalah perokok. Meskipun begitu, jumlah perokok masih lagi merekodkan angka yang tinggi di Malaysia.

Hampir separuh daripada lelaki Malaysia adalah perokok

Menurut laporan di dalam Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2015, peratusan rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas yang merokok adalah 22.8%. Ia bersamaan kira-kira hampir 5 juta orang.

Jika dibahagikan mengikut jantina, lelaki adalah 30 kali ganda lebih banyak berbanding wanita iaitu 43.0% berbanding 1.4%. Dalam erti kata lain, hampir separuh daripada keseluruhan lelaki di negara ini. Dalam kalangan remaja pula (15-19 tahun), sebanyak 13.2% telah dilaporkan.

Beban rokok ke atas negara dan masyarakat

Tabiat merokok membunuh 20,000 rakyat Malaysia setiap tahun. Jika pola yang ditunjukkan kekal, anggaran bilangan kematian akan meningkat kepada 30,000 menjelang tahun 2020.

Penyakit utama yang disebabkan oleh merokok ialah:

  • Kanser saluran pernafasan (paru-paru, trakea, bronkus).
  • Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD).

Selain itu, ia menjadi faktor risiko dalam banyak keadaan kesihatan yang lain termasuk:

  • Penyakit jantung.
  • Strok.
  • Kanser – perut, hati, mulut, pundi kencing, usus, esofagus, pankreas, buah pinggang.
  • Asma.
  • Ulser perut (gastrik).

Sebanyak 2.92 bilion dibelanjakan setiap tahun oleh negara Malaysia untuk merawat Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD), penyakit jantung iskemik dan kanser paru-paru. Malaysia perlu mengurangkan peratusan perokok kepada 15% menjelang tahun 2025 untuk mencapai sasaran yang diletakkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menangani Penyakit-Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).

Pendidikan dan pendedahan meningkatkan kesedaran

Mungkin agak sukar untuk dipercayai, jika ada golongan yang masih mengatakan bahawa mereka tidak tahu merokok membahayakan kesihatan. Pada kotak rokok itu sendiri pun telah dituliskan amaran kesihatan.

Namun, tidak semua perokok mempunyai tekad dan motivasi yang cukup untuk berhenti sepenuhnya. Cubaan untuk berhenti itu tidak boleh dinafikan memang wujud. Berdasarkan kajian yang dijalankan, lebih separuh cuba untuk meninggalkan tabiat ini meskipun tidak semuanya berjaya.

Berdasarkan data yang ada, peratusan perokok adalah lebih rendah di kawasan bandar dan dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Ini mungkin disebabkan dua kumpulan ini lebih banyak pengetahuan dan pendedahan terhadap gaya hidup yang sihat, seterusnya meningkatkan kesedaran untuk tidak atau berhenti merokok.

Di samping itu, penguatkuasaan melalui undang-undang juga tidak boleh diketepikan sepenuhnya. Langkah seperti menghalang iklan produk tembakau, menaikkan harga serta mewujudkan bandar bebas rokok adalah wajar dalam mengurangkan peratusan sedia ada.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut