Bagaimana untuk Berhenti Merokok

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Merokok mengakibatkan pelbagai jenis kerosakan dan bahaya bukan sahaja kepada manusia, malah persekitaran – dari mencemarkan laut dan udara yang kita hirup, hinggalah mengakibatkan bahaya secara terus kepada penghisap rokok dan juga mereka yang berada berdekatan mereka (perokok pasif). Perbuatan merokok cukup sinonim dengan kanser paru-paru di samping meningkatkan risiko anda untuk keadaan-keadaan kesihatan dan kanser-kanser yang lain. Rentetan itu, merawat keadaan-keadaan kesihatan berkaitan merokok adalah satu beban kewangan yang kronik kepada sistem kesihatan negara. Strategi yang digunakan dalam mengawal kegiatan merokok adalah dengan membendung lebih ramai orang menjadi perokok dan membantu perokok sedia ada untuk berhenti merokok.

Malaysia dan Merokok

Menurut Bancian Morbiditi dan Kesihatan Nasional 2015, 22.8% daripada orang dewasa di Malaysia (ditakrifkan sebagai usia 15 tahun dan ke atas) adalah perokok tegar. Dari sudut jantina, kaum lelaki jelas mendominasi, dengan 43% kaum lelaki merupakan perokok berbanding hanya 1.9% perokok daripada kaum wanita. Di sudut yang bertentangan pula, 74.8% daripada golongan dewasa di Malaysia tidak pernah merokok sepanjang hidup mereka. Di pertengahan antara dua statistik ini adalah rakyat Malaysia yang bukan perokok harian (1.7%) dan juga mereka yang berjaya berhenti merokok (0.7%)

Dalam era kerajaan baru, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, telah mengetuai gerakan yang lebih agresif dan lantang dalam menentang kegiatan merokok. Antara tindakan beliau yang paling diingati adalah dengan menguatkuasakan larangan merokok dalam radius 3 meter daripada restoran-restoran dan tempat makan awam. Kebanyakan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dilihat berfokuskan kepada perlindungan majoriti rakyat yang tidak merokok (larangan penjualan bahan tembakau kepada golongan bawah 18 tahun, larangan iklan bahan tembakau dan juga larangan merokok dalam radius 3 meter yang terbaru). Pun begitu, bagaimana pula dengan perokok tegar sedia ada? Apakah inisiatif bagi membantu mereka untuk berhenti merokok dengan jayanya? 

Langkah-Langkah Berhenti Merokok yang Berkesan 

Keinginan untuk berubah
Asas utama dalam usaha untuk berhenti merokok adalah dengan menerima hakikat dan mengakui bahawa anda sedang mengalami masalah ketagihan – masalah yang bukan sahaja bahaya untuk kesihatan anda, malah memakan perbelanjaan kewangan yang banyak. Dari situ, akan lahirnya motivasi untuk berhenti dan untuk mendapatkan bantuan. Motivasi dalam melawan perkara seperti ketagihan ini boleh datang dari pelbagai sumber. Jadi, ambillah masa untuk menilai semula diri sendiri, masa depan, insan tersayang di sekeliling anda dan apakah yang menyebabkan anda menghargai kehidupan.

Dapatkan bantuan pakar kesihatan
Apabila anda telah memperoleh motivasi yang kukuh untuk berhenti merokok, langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan bantuan pakar kesihatan seperti doktor atau pegawai farmasi. Kebanyakan klinik pesakit luar dan juga farmasi di seluruh negara kini menawarkan servis berhenti merokok. Walaupun pakar kesihatan bersedia untuk membantu anda dalam perjalanan anda untuk berhenti merokok, hakikat sebenar kembara ini adalah sebuah usaha sama antara mereka dan diri anda. Pendekatan komprehensif yang menggabungkan penggunaan terapi gantian nikotin, ubat-ubatan (farmakoterapi) dan juga kaunseling tingkah laku mungkin digunakan untuk meningkatkan keberkesanan program ini.

Persediaan
Pembekal rawatan akan membantu anda untuk membuat persediaan rapi dalam usaha anda untuk berhenti, di samping memberi rawatan kepada anda apabila perlu. Langkah-langkah persediaan termasuk: 

  1. Menetapkan tarikh untuk berhenti – tarikh yang ideal untuk berhenti adalah dalam masa 2 minggu daripada tarikh mula rawatan. Strateginya adalah untuk mengurangkan bilangan rokok yang dihisap secara ansuran sebelum tarikh yang ditetapkan. Selepas tarikh yang ditetapkan tiba, anda perlu berhenti dengan sepenuhnya dan tidak boleh untuk menghisap rokok walaupun satu sedutan. 
  2. Beritahu keluarga, kawan dan juga rakan sekerja tentang keinginan anda untuk berhenti dan mohon bantuan dan sokongan daripada mereka. Pakar kesihatan mungkin berupaya untuk membantu mendapatkan kumpulan bantuan. Jika terdapat perokok lain dalam kediaman anda, anda perlu menasihatkan mereka untuk sertai anda dalam usaha untuk berhenti atau sekurang-kurangnya, minta mereka untuk tidak merokok di sekeliling anda. Ini penting bagi memastikan risiko kegagalan usaha anda dapat dikurangkan dan juga bagi mengelak daripada pendedahan asap rokok secara pasif.
  3. Bersiap-sedia untuk cabaran dan dugaan khususnya dalam beberapa mingu pertama anda. Apa yang boleh disahkan oleh sesiapa sahaja yang sudah berhenti merokok adalah dalam perjalanan anda untuk berhenti, fahaman dan motivasi anda akan ada pasang dan surutnya, bahkan boleh bercanggah antara satu sama lain dari semasa ke semasa – Anda akan melalui fasa di mana kekuatan anda untuk berhenti menjadi lemah dan mudah untuk anda tergelincir semula. Ini termasuklah dugaan simptom putus ubat (withdrawal symptoms). Mujurlah, pakar kesihatan sentiasa ada untuk anda temui bagi berbincang bagaimana untuk menangani dugaan-dugaan tersebut dengan jayanya. Doktor boleh melatih dan mengajar anda kaedah menangani cabaran ketika ingin berhenti serta memberi terapi gantian nikotin untuk mencegah dan mengawal simptom putus ubat.
  4. Pakar kesihatan juga berupaya untuk membantu untuk mengubahsuai faktor persekitaran dan juga gaya hidup anda bagi mengurangkan pendedahan terhadap rangsangan yang boleh menyebabkan anda terjerumus kembali ke tabiat merokok. Ini termasuklah mengalihkan bahan tembakau daripada persekitaran anda dan juga untuk mengurangkan/mengelakkan daripada mengambil minuman beralkohol kerana ianya juga mampu untuk menyumbangkan kepada kegagalan proses berhenti.

Rawatan
Farmakoterapi membantu untuk mengurangkan simptom putus ubat. Terdapat tiga jenis farmakoterapi utama yang digunakan dan ianya diberikan berdasarkan faktor keberkesanan, keselamatan, kesesuaian terhadap pesakit dan juga kos. Tiga ubat tersebut adalah:  

  • Terapi gantian nikotin (NRT) – NRT membantu untuk mengurangkan simptom putus ubat yang berlaku apabila anda berhenti daripada membekalkan nikotin kepada sistem badan anda. Ianya dilakukan dengan membekalkan kandungan nikotin rendah, dan di Malaysia, jenis NRT yang disediakan adalah dalam bentuk gula-gula getah, tampalan pada kulit, inhalan, semburan oral dan juga semburan hidung. 
  • Bupropion (sejenis ubat antimurung) – Walaupun ianya sejenis ubat antimurung, ianya berupaya untuk meningkatkan keberkesanan proses berhenti merokok tanpa menggunakan kesan antimurungnya. 
  • Varenicline – Membantu perokok untuk berhenti dengan cara mengekalkan paras dopamin yang sederhana (neurotransmitter yang berkait rapat dengan ketagihan) demi melawan simptom putus ubat, dan juga dengan mengurangkan rasa puas ketika merokok. 

Janji Temu Susulan
Risiko untuk terjerumus semula ke tabiat merokok berada paling tinggi dalam tempoh 8 hari pertama setelah berhenti. Justeru, janji temu susulan yang kerap dengan doktor anda selepas tarikh berhenti adalah penting bagi memastikan ianya kekal. Mencapai tempoh berhenti selama 12 bulan adalah indikator yang bagus dalam meramal kejayaan penghentian jangka panjang. Ketika janji temu bersama doktor, doktor akan membantu untuk mengekalkan motivasi anda dengan memberi ucapan tahniah dan sokongan di samping mengekalkan motivasi yang ada pada diri anda. Janji temu juga adalah penting bagi menilai keberkesanan farmakoterapi dan masalah berkaitannya. Jika berlaku kegiatan merokok semula, doktor mampu untuk berbincang dan menilai faktor-faktor yang mendorong anda untuk melakukan perbuatan tersebut. Dari situ, mereka mampu untuk membantu menyelesaikan masalah anda bersama dan cuba untuk mencapai semula matlamat untuk berhenti.

Perjalanan berhenti merokok ini adalah satu pengalaman yang mengubah kehidupan anda kerana ianya membebaskan anda daripada ikatan ketagihan. Walaupun ianya bukan mudah, pakar kesihatan sentiasa berada di samping anda untuk membantu anda melaluinya dengan jayanya. Katakan ‘TIDAK’ kepada merokok.

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

enEnglish

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut