backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Xerostomia (Mulut Kering)

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Farizah Mohd Ikbal · Disemak pada 13/09/2019

Definisi

Apa itu Xerostomia (Mulut Kering)?

Xerostomia, juga dikenali sebagai mulut kering, merupakan keadaan di mana mulut anda selalu kering. Kebiasaannya, mulut kering adalah hasil pengurangan air liur yang dihasilkan oleh kelenjar di mulut anda (kelenjar air liur), dan ia adalah kesan sampingan pengambilan ubat. Dalam sesetengah kes, mulut kering mungkin disebabkan oleh suatu keadaan yang memberi kesan kepada kelenjar air liur secara langsung.

Air liur diperlukan untuk mengunyah, menelan, merasa, dan bercakap. Aktiviti-aktiviti ini mungkin lebih sukar dilakukan dengan mulut kering. Air liur juga membantu mencegah kerosakan gigi dengan meneutralkan asid yang dihasilkan oleh bakteria, mengehadkan pertumbuhan bakteria, dan membersihkan partikel makanan.

Sekiranya anda tidak mempunyai air liur yang mencukupi dan mulut menjadi kering, ini boleh menyebabkan:

  • Peningkatan plak, kerosakan gigi, dan penyakit gusi;
  • Sakit mulut;
  • Jangkitan kulat di mulut anda;
  • Lidah bersalut;
  • Kudis atau kulit merekah di sudut mulut anda;
  • Bibir merekah;
  • Kekurangan nutrisi kerana mengalami masalah untuk mengunyah dan menelan.

Apakah kebarangkalian Xerostomia (Mulut Kering)?

Keadaan kesihatan ini sangat biasa berlaku. Ia boleh menjejaskan pesakit tanpa mengira usia. Ianya boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Xerostomia (Mulut Kering)?

Simptom-simptom biasa xerostomia adalah:

  • Kekeringan di dalam mulut atau tekak anda;
  • Kerap haus;
  • Air liur yang kelihatan pekat dan berlendir;
  • Nafas berbau;
  • Kesukaran mengunyah, bercakap, dan menelan;
  • Perubahan pada deria rasa;
  • Kerosakan gigi yang lebih kerap;
  • Kerengsaan dan penyakit gusi.

Mungkin terdapat beberapa gejala yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang mana-mana gejala, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau gejala yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Ia adalah yang terbaik untuk membincangkan dengan doktor anda apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Xerostomia (Mulut Kering)?

Punca-punca mulut kering termasuk:

  • Kesan sampingan ubat-ubatan tertentu. Sama ada ubat yang dipreskripsi atau tanpa preskripsi boleh menyebabkan mulut kering, termasuk ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat kemurungan, sakit saraf (neuropati), dan keresahan, serta beberapa antihistamin, dekongestan, relaksan otot dan ubat sakit.
  • Kesan sampingan penyakit dan jangkitan tertentu. Mulut kering boleh berlaku disebabkan kesan sampingan terhadap keadaan perubatan, termasuk sindrom Sjögren, HIV / AIDS, penyakit Alzheimer, kencing manis, anemia, fibrosis sistik, artritis reumatoid, hipertensi, penyakit Parkinson, strok dan beguk.
  • Kesan sampingan rawatan perubatan tertentu. Ubat kemoterapi dan rawatan radiasi boleh mengubah sifat air liur dan jumlah air liur yang dihasilkan.
  • Kerosakan saraf. Kecederaan atau pembedahan yang menyebabkan kerosakan saraf pada bahagian kepala dan leher anda boleh menyebabkan mulut kering

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Xerostomia (Mulut Kering)?

Terdapat banyak faktor risiko untuk xerostomia, seperti:

  • Orang tua lebih cenderung untuk mengambil ubat yang boleh menyebabkan mulut kering, dan mereka lebih cenderung mempunyai keadaan kesihatan yang lain yang boleh menyebabkan mulut kering.
  • Merokok atau mengunyah tembakau boleh meningkatkan gejala mulut kering.
  • Dehidrasi. Keadaan yang menyebabkan dehidrasi, seperti demam, berpeluh secara berlebihan, muntah, cirit-birit, kehilangan darah, dan luka terbakar boleh menyebabkan mulut kering.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Xerostomia (Mulut Kering) didiagnosis?

Doktor atau doktor gigi anda akan memeriksa mulut anda dan meminta sejarah perubatan anda dan semua ubat yang anda ambil untuk menentukan sama ada anda mempunyai mulut kering.

Jika punca sebenarnya bukan disebabkan pengambilan ubat, anda mungkin memerlukan ujian darah, imbasan pengimejan kelenjar air liur atau ujian yang mengukur jumlah air liur yang anda hasilkan untuk mengenal pasti punca mulut kering anda. Sekiranya doktor anda mengesyaki mulut kering anda disebabkan oleh sindrom Sjogren, sampel kecil sel (biopsi) yang diambil dari kelenjar liur di bibir anda mungkin dihantar untuk ujian.

Bagaimana pesakit Xerostomia (Mulut Kering) dirawat?

Rawatan untuk mulut kering bergantung kepada punca.

  • Menukar ubat yang menyebabkan mulut kering. Sekiranya doktor anda percaya ubat menjadi penyebabnya, dia boleh menyesuaikan dos anda atau mempreskripsi ubat lain kepada anda.
  • Mengesyorkan produk untuk melembapkan mulut anda. Ini termasuk pencuci mulut preskripsi atau tanpa preskripsi, air liur tiruan atau pelembap untuk memberikan kesan pelincir di mulut anda.

Jika anda mengalami masalah mulut kering yang teruk, doktor atau doktor gigi anda mungkin:

  • Mempreskripsikan ubat yang merangsang air liur. Doktor anda boleh mempertimbangkan untuk mempreskripsikan pilocarpine (Salagen) atau cevimeline (Evoxac).
  • Lindungi gigi anda. Untuk mengelakkan kaviti (rongga), doktor gigi anda mungkin memberikan anda rawatan dulang fluorida, yang diisikan dengan fluorida dan dipakai atas gigi anda selama beberapa minit pada waktu malam. Doktor gigi anda juga boleh mengesyorkan penggunaan klorheksidina secara mingguan untuk mengawal kaviti.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Xerostomia (Mulut Kering)?

Gaya hidup dan remedi di rumah yang berikut mungkin membantu anda menangani xerostomia:

  • Minum air atau minuman tanpa gula sepanjang hari untuk melembapkan mulut anda, dan minum air semasa makan untuk membantu mengunyah dan menelan.
  • Kunyah gula-gula getah tanpa gula atau hisap gula-gula keras tanpa gula. Berhati-hati dengan xilitol, yang boleh menyebabkan cirit-birit atau kejang jika digunakan dalam jumlah yang banyak.
  • Cuba gunakan pengganti air liur tanpa preskripsi yang mengandungi karboksimetilselulosa atau hidroksiletil selulosa seperti Pengimbang Oral Biotene.
  • Bernafas melalui hidung anda, bukan melalui mulut anda.
  • Tambah kelembapan di udara pada waktu malam dengan menggunakan pelembap bilik.
  • Lembapkan bibir anda untuk melegakan kawasan yang kering atau merekah.
  • Berus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida, gunakan kumuran berfluorida dan jumpa doktor gigi anda secara tetap.
  • Elakkan pengambilan kafein, alkohol, dan makanan manis dan berasid serta gula-gula.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Farizah Mohd Ikbal · Disemak pada 13/09/2019

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan