Apa itu Variks Esofageal?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Variks Esofageal?

Variks esofageal adalah keadaan abnormal di mana vena anda membengkak di dalam esofagus – tiub yang menghubungkan antara kerongkong dan perut. Keadaan ini biasanya berlaku pada individu yang menghidapi penyakit hati yang serius.

Variks esofageal berlaku apabila aliran darah normal ke hati disekat oleh darah beku atau tisu berparut di dalam hati. Bagi mengatasi sekatan ini, darah akan mengalir ke dalam saluran darah yang lebih kecil di mana saluran ini tidak direka untuk membawa kuantiti darah yang banyak. Saluran darah ini boleh bocor ataupun pecah menyebabkan pendarahan yang boleh membawa maut.

Jika anda pernah mengalami episod pendarahan, anda berisiko tinggi untuk mengalami episod pendarahan sekali lagi. Jika anda kehilangan banyak darah, anda boleh mengalami renjatan yang mana boleh membawa maut.

Apakah kebarangkalian Variks Esofageal?

Keadaan ini sangat biasa berlaku dan boleh terjadi pada mana-mana pesakit tanpa mengira umur. Hal ini dapat diatasi dengan mengurangkan faktor risiko anda. Rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Variks Esofageal?

Variks esofageal selalunya tidak menyebabkan tanda dan simptom melainkan variks berdarah. Simptom-simptom pendarahan variks esofageal termasuk:

  • Muntah dan terdapat jumlah darah yang ketara pada muntah anda.
  • Najis yang hitam, bertar dan berdarah.
  • Pening.
  • Tidak sedar diri (dalam kes yang teruk).
  • Simptom-simptom penyakit hati kronik seperti kulit dan mata anda berwarna kuning (jaundis), mudah untuk berdarah dan lebam, cecair terkumpul dalam abdomen anda (asites).

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang tidak di senaraikan di atas atau ada sebarang soalan, rujuk doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara berbeza. Berbincang dengan doktor mengenai apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca Variks Esofageal?

Punca biasa variks esofageal adalah disebabkan oleh jaringan parut di hati, dikenali sebagai sirosis. Parut-parut ini menyebabkan darah terkumpul dalam laluan urat (portal vein) utama yang mengalirkan darah dari perut dan usus ke hati. Darah yang terkumpul ini mengakibatkan tekanan darah tinggi dalam laluan urat serta urat-urat lain yang berdekatan, dipanggil laluan hipertensi. Oleh itu, aliran darah perlu mencari jalan lain dengan memasuki urat yang lebih kecil, seperti urat yang ada pada bahagian paling bawah esofagus. Urat yang berdinding nipis ini akan kembung dengan aliran darah tambahan. Kadang-kala urat ini boleh pecah dan berdarah.

Punca-punca variks esofageal termasuk:

  • Jaringan parut hati yang teruk (sirosis). Beberapa penyakit hati – termasuk jangkitan hepatitis, penyakit hati alkoholik, penyakit hati berlemak, dan gangguan hempedu duktus (sirosis biliari primer) – boleh mengakibatkan sirosis.
  • Darah beku (trombosis). Darah beku pada laluan urat atau pada urat yang berhubung dengannya (vena limpa) boleh menyebabkan variks esofageal.
  • Jangkitan parasit. Skistosomiasis adalah jangkitan parasit yang dijumpai di bahagian Afrika, selatan Amerika, Caribbean, Timur Tengah, dan Asia Tenggara. Parasit ini boleh merosakkan hati, paru-paru, usus, dan pundi kencing.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Variks Esofageal?

Terdapat banyak faktor risiko bagi variks esofageal, seperti:

  • Tekanan tinggi pada laluan urat;
  • Variks besar;
  • Tanda merah pada variks;
  • Sirosis yang teruk atau kegagalan hati;
  • Penggunaan alkohol yang berterusan.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Variks Esofageal didiagnosis?

Jika anda mempunyai sirosis, doktor perlu mengawasi kemungkinan variks esofageal apabila anda didiagnosis. Beberapa ujian yang dilakukan bagi mengenalpasti variks esofageal adalah:

  • Ujian endoskop.
  • Ujian gambar.
  • Endoskopi kapsul.

Bagaimana pesakit Variks Esofageal dirawat?

Rawatan bagi merendahkan tekanan darah pada laluan urat boleh mengurangkan risiko pendarahan varik esofageal. Rawatan tersebut termasuklah:

  • Ubat bagi mengurangkan tekanan dalam laluan urat. Sejenis ubat tekanan darah dipanggil penyekat beta boleh digunakan untuk kes ini. Ubat ini termasuklah propranolol (Inderal, Innopran) dan nadolol (Corgard).
  • Menggunakan gelang elastik untuk mengikat urat yang berdarah. Jika variks esofagus anda dilihat berisiko tinggi untuk berdarah, doktor mungkin mencadangkan prosedur dipanggil ikatan gelang (band ligation)
  • Menggunakan endoskop, doktor akan menangkap dan mengikat variks menggunakan gelang elastik, di mana urat diikat supaya tidak berdarah. ¬†Ikatan gelang esofagus menyebabkan risiko komplikasi kecil seperti parut pada esofagus.

Jika anda berdarah, fokus utama rawatan adalah menghentikan pendarahan mendadak secepat yang mungkin. Pendarahan harus dikawal dengan cepat bagi mengelakkan renjatan dan kematian.

  • Menggunakan gelang elastik untuk mengikat urat yang berdarah.
  • Ubat yang memperlahankan aliran darah ke dalam laluan urat. Ubat yang dipanggil octreotide (Sandostatin) sering digunakan bersama terapi endoskopik untuk memperlahankan aliran darah dari organ dalaman ke laluan urat. Ubat ini selalunya digunakan selama 5 hari selepas episod pendarahan.
  • Mengubah alirah darah jauh daripada vena portal. Doktor anda mungkin mensyorkan prosedur yang dipanggil pintas transjugular intrahepatik portosystemik (TIPS) bagi mengelakkan pelanggaran.

TIPS selalunya digunakan apabila rawatan lain gagal atau sebagai langkah sementara bagi individu yang menunggu pemindahan hati.

  • Mengembalikan semula kuantiti darah. Anda mungkin akan diberikan pemindahan darah bagi menggantikan darah yang hilang dan menghentikan pendarahan.
  • Mengelakkan jangkitan. Risiko jangkitan meningkat dengan pendarahan, oleh itu anda mungkin akan diberi antibiotik bagi mengelakkan jangkitan.
  • Menukar hati yang berpenyakit dengan hati yang sihat. Pemindahan hati adalah pilihan bagi individu yang mempunyai penyakit hati yang teruk atau pernah mengalami pendarahan variks esofageal berulang kali. Walaupun pemindahan hati selalunya berjaya, bilangan orang yang menunggu prosedur itu melebihi organ yang tersedia.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Variks Esofageal?

Gaya hidup dan kaedah rawatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi variks esofageal:

  • Jangan minum alkohol.
  • Amalkan diet sihat dengan buah-buahan dan sayur-sayuran. Pilih bijirin penuh dan sumber protein tanpa lemak. Kurangkan kuantiti lemak dan makanan bergoreng.
  • Kekalkan berat badan yang sihat kerana obesiti dikaitkan dengan risiko komplikasi sirosis. Turun berat badan jika anda obes atau berat badan berlebihan.
  • Guna bahan kimia dengan cermat dan berhati-hati. Ikut arahan pada barangan kimia rumah, seperti barangan mencuci dan penyembur serangga. Jika anda berkerja dengan bahan kimia, ikut semua langkah keselamatan. Hati anda ¬†berfungsi untuk membuang toksik daripada badan anda, jadi rehatkan hati dengan mengurangkan kuantiti toksik yang perlu diproses.
  • Kurangkan risiko anda terhadap hepatitis. Lindungi diri anda dengan mengelakkan hubungan kelamin atau menggunakan kondom jika anda memilih untuk melakukan hubungan kelamin. Tanya doktor jika anda harus divaksin untuk hepatitis B dan hepatitis A.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: April 20, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 20, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.