backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Monospot (Ujian)

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Firdaus Rahim · Disemak pada 27/11/2019

Definisi

Apa itu Ujian Monospot?

Ujian mononukleosis ialah ujian darah yang mencari antibodi yang menunjukkan mononukleosis (mono), yang kebiasaannya disebabkan oleh virus Epstein-Barr (Epstein-Barr virus, EBV). Antibodi tersebut dihasilkan oleh sistem imun untuk melawan jangkitan.

Ujian monospot (ujian heterophil) ialah ujian saringan pantas yang mengesan sejenis antibodi (antibodi heterophil) yang dihasilkan ketika jangkitan tertentu. Sampel darah diletakkan di atas kaca mikroskop dan dicampurkan dengan bahan-bahan lain. Jika ada antibodi heterophil, darah akan menghasilkan gumpalan. Keputusan ini kebiasaannya menunjukkan jangkitan mono. Ujian monospot boleh mengesan antibodi 2 ke 9 minggu selepas seseorang dijangkiti virus terbabit. Ia kebiasaannya tidak digunakan untuk mendiagnosis mono yang telah bermula lebih 6 bulan sebelumnya.

Mengapa ujian ini dijalankan?

Ujian mono terutamanya dipesan apabila seseorang, khususnya remaja atau dewasa muda, mengalami simptom-simptom yang disyaki oleh doktor disebabkan oleh mononukleosis berjangkit. Simptom kadangkala terkeliru dengan demam. Simptom-simptom mono yang kerap berlaku ialah:

  • Demam
  • Sakit kepala
  • Sakit tekak
  • Kelenjar bengkak di leher dan/atau ketiak
  • Lemah atau penat yang berterusan

Sebahagian orang mungkin mengalami simptom-simptom tambahan seperti:

  • Sakit perut
  • Hati dan/atau limpa bengkak
  • Ruam

Ujian tersebut mungkin diulang apabila ia menunjukkan keputusan negatif sedangkan kecurigaan terhadap mono masih tinggi.

Perkara yang perlu anda tahu sebelum ujian

Apa yang anda perlu tahu sebelum menjalani ujian ini?

Ujian ini pantas dan mudah dilakukan tetapi ia adalah spesifik untuk antibodi heterophil, bukan EBV. Ia boleh juga menjadi positif dalam mereka yang menghidapi limfoma, lupus eritematosus sistemik (systemic lupus erythematosus, SLE) dan sesetengah kanser gastrointestinal walaupun ia tidak digunakan sebagai alat diagnosis atau saringan bagi keadaan-keadaan ini.

Apabila ujian mono negatif dan/atau doktor ingin mendapatkan lebih banyak maklumat tentang kehadiran dan status jangkitan EBV, doktor mungkin memesan satu atau lebih kombinasi antibodi EBV. Ujian-ujian ini boleh menunjukkan jika seseorang itu terdedah kepada EBV, mengalami jangkitan terkini, jangkitan yang lalu atau jangkitan EBV yang teraktif semula.

Antibodi heterophil berkurang selepas 4 minggu penyakit dan menjadi negatif apabila sembuh dari jangkitan.

Ketahui apa yang berlaku

Apakah persediaan ujian ini?

Tiada persediaan khusus. Sila berbincang dengan doktor tentang sebarang kebimbangan yang anda ada berkenaan keperluan, risiko, bagaimana ia dijalankan dan apa makna keputusannya.

Apa yang berlaku ketika ujian ini?

Ujian monospot dilakukan pada sampel darah yang kecil diambil dari hujung jari anda atau vena.

Untuk sampel hujung jari, profesional kesihatan yang mengambil sampel tersebut akan:

  • Membersihkan tangan anda dengan sabun dan air suam atau swab alkohol.
  • Mengurut tangan anda tanpa menyentuh kawasan suntikan.
  • Menyuntik kulit di bahagian tepi jari tengah atau jari manis dengan alat kecil yang dinamakan lancet.
  • Menyapu titisan darah pertama.
  • Meletakkan tiub kecil yang dinamakan tiub kapilari di kawasan suntikan dan mengumpul kuantiti kecil darah.
  • Meletakkan pad kain kasa atau bola kapas di kawasan suntikan selepas tiub tersebut dialihkan.
  • Menekan kawasan terbabit dan meletakkan balutan.

Apa yang berlaku selepas ujian ini?

Anda boleh mengalihkan balutan dan kapas dalam tempoh 20 ke 30 minit. Anda akan dijadualkan untuk mendapatkan keputusan ujian. Doktor anda akan menjelaskan makna keputusan ujian. Sila ikut sebaiknya arahan doktor anda.

Memahami keputusan

Apa maksud keputusan saya?

Keputusan ujian monospot kebiasaannya tersedia dalam tempoh 1 jam.

Ujian monospot

Normal (negatif): Sampel darah tidak menghasilkan gumpalan (tiada antibodi heterophil dikesan)

Abnormal (positif): Sampel darah menghasilkan gumpalan (antibodi heterophil dikesan). Jika sampel darah bergumpal, anda berkemungkinan menghidapi mono.

Monospot pada minggu ke-2 atau 3 penyakit membuatkan diagnosis penyakit mononukleosis berjangkit kurang berkemungkinan tetapi ujian semasa minggu pertama penyakit mungkin memberikan keputusan negatif palsu dalam sekitar separuh dari kes. Jika perlu, ujian lanjut ke atas antibodi melawan EBV yang lain–serologi EBV–boleh dilakukan. Komponen serologi EBV termasuk EBV IgM (kebiasaannya menunjukkan jangkitan terkini) dan EBV IgG (kebiasaannya menunjukkan jangkitan lalu).

Julat normal bagi ujian ini mungkin berbeza bergantung kepada makmal dan hospital. Sila berbincang dengan doktor anda tentang apa-apa persoalan yang anda ada berkenaan keputusan ujian anda.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan ujian ini, sila berunding dengan doktor anda untuk memahami dengan lebih baik.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Firdaus Rahim · Disemak pada 27/11/2019

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan