Apa itu Ujian Kolestrol HDL?

Oleh

Definisi

Apakah itu ujian kolestrol HDL?

Ujian ini menyukat kadar kolestrol “baik” di dalam darah anda.

HDL ialah kolestrol lipoprotein berdensiti tinggi (high density lipoprotein). Lipoprotein terdiri daripada protein dan lemat (fat). HDL dikenali sebagai kolestrol baik kerana ia membawa kolestrol “jahat” LDL, trigliserida dan lemak berbahaya kembali ke hati untuk diproses. Apabila HDL sampai ke hati, hati akan memecahkan LDL dan menukarkannya kepada hempedu seterusnya membuangnya dari badan anda.

Kajian menunjukkan bahawa orang yang mempunyai kolestrol sihat HDL berisiko rendah untuk mendapat penyakit arteri koronari.

Mengapa ujian kolestrol HDL dijalankan?

Ujian kolestrol HDL mungkin dijalankan sebagai ujian susulan kepada keputusan ujian saringan kolestrol yang tinggi. Kolestrol HDL kebiasaannya tidak dijalankan secara sendirian tetapi bersama ujian-ujian yang lain termasuk kolestrol LDL (LDL-C) dan trigliserida sebagai sebahagian dari profil lipid semasa pemeriksaan kesihatan. Ia disyorkan ke atas semua orang dewasa untuk menjalani ujian ini sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 5 tahun.

Ujian kolestrol HDL, sebagai sebahagian daripada profil lipid, mungkin dijalankan dengan lebih kerap bagi mereka yang ada satu atau lebih faktor risiko bagi penyakit jantung. Antara faktor risiko major adalah:

  • Merokok
  • Umur (lelaki 45 tahun dan ke atas atau perempuan 55 tahun dan ke atas)
  • Tekanan darah tinggi (tekanan darah 140/90 dan ke atas atau mengambil ubat tekanan darah tinggi)
  • Mempunyai sejarah penyakit jantung pramatang dalam keluarga (penyakit jantung di dalam keluarga terdekat–ahli keluarga lelaki di bawah umur 55 atau perempuan di bawah umur 65)
  • Penyakit jantung yang sedia ada atau pernah mengalami serangan jantung
  • Kencing manis

Saringan profil lipid disyorkan untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Kanak-kanak harus diuji sekurang-kurangnya sekali antara umur 9 dan 11 tahun dan sekali lagi antara umur 17 dan 21 tahun. Bagi orang dewasa, ujian tambahan mungkin diperlukan untuk orang muda yang berisiko atau jika saringan menunjukkan kadar yang lebih tinggi dari yang dibenarkan. Antara faktor risikonya ialah mempunyai sejarah penyakit jantung atau masalah kesihatan seperti kencing manis, tekanan darah tinggi atau terlebih berat badan dalam keluarga. Doktor mungkin memesan saringan profil lipid untuk kanak-kanak di bawah umur 9 tahun jika ibubapanya mempunyai kadar kolestrol yang tinggi.

Ujian kolestrol HDL juga boleh dipesan secara berkala untuk menilai kejayaan perubahan gaya hidup seperti pemakanan, senaman dan berhenti merokok yang bertujuan meningkatkan kadar kolestrol HDL seseorang.

Perkara yang perlu anda tahu sebelum ujian

Apa yang anda perlu tahu sebelum menjalani ujian kolestrol HDL?

Kolestrol HDL harus disukat ketika seseorang tidak sakit. Kadar kolestrol akan menjadi rendah buat sementara waktu ketika sakit akut, serta merta selepas serangan jantung atau dalam tekanan (seperti pembedahan atau kemalangan). Anda harus menunggu sekurang-kurangnya 6 minggu selepas apa-apa penyakit untuk menyukat kadar kolestrol.

Bagi perempuan, kadar kolestrol HDL boleh berubah ketika mengandung. Mereka harus menunggu sekurang-kurangnya 6 minggu selepas bersalin untuk menyukar kadar kolestrol HDL.

Ketahui apa yang berlaku

Apakah persediaan ujian kolestrol HDL?

Doktor akan memberikan anda arahan yang lengkap tentang bagaimana kamu perlu bersedia untuk ujian ini. Ini termasuk tidak mengambil sesetengah ubat untuk jangka masa pendek atau berpuasa sehingga 12 jam sebelum ujian.

Apa yang berlaku ketika ujian kolestrol HDL?

Ujian ini tidak mengambil masa yang lama dan secara relatifnya tidak menyakitkan. Ia memerlukan sampel darah yang diambil menggunakan jarum. Anda akan merasakan sengatan jarum dimana sampel darah diambil. Sesetengah ujian, seperti ujian di rumah, hanya memerlukan setitik darah yang diambil menggunakan jarum kecil yang dinamakan lancet.

Apabila darah yang mencukup telah diambil di dalam botol kedap udara yang dilekatkan pada jarum, sampel tersebut akan dibungkus dan dihantar ke makmal untuk diuji.

Apa yang berlaku selepas ujian kolestrol HDL?

Anda akan dijadualkan untuk mendapatkan keputusan ujian. Doktor anda akan menjelaskan makna keputusan ujian. Sila ikut sebaiknya arahan doktor anda.

Memahami keputusan

Apa maksud keputusan saya?

Kadar optimum bagi kolestrol HDL ialah melebihi 40mg/dL bagi lelaki dan melebihi 50 mg/dL bagi perempuan.

Kadar kebiasaan bagi wanita (50 ke 59 mg/dL) dan lelaki (40 ke 50 mg/dL) meletakkan mereka pada risiko sederhana untuk penyakit jantung. Kadar yang semakin rendah akan meningkatkan lagi risiko.

Julat normal bagi ujian kolestrol HDL mungkin berbeza bergantung kepada makmal dan hospital. Sila berbincang dengan doktor anda tentang apa-apa persoalan yang anda ada berkenaan keputusan ujian anda.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan ujian kolestrol HDL, sila berunding dengan doktor anda untuk memahami dengan lebih baik.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mac 28, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 13, 2018

Rujukan