Apa itu Ujian Hepatitis A?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Definisi

Apa itu Ujian Hepatitis A?

Ujian virus hepatitis A (HAV) ialah sejenis ujian darah untuk mengesan protein (antibodi) yang dihasilkan oleh badan sebagai respon kepada virus yang menyebabkan hepatitis A. Protein ini akan dijumpai di dalam darah jika anda sedang mengalami jangkitan hepatitis A atau pernah mengalaminya sebelum ini. Adalah sangat penting untuk mengenal pasti jenis virus hepatitis yang menyebabkan jangkitan untuk mencegahnya daripada merebak dan untuk memulakan rawatan yang sepatutnya.

Jangkitan HAV tersebar melalui makanan atau minuman yang telah dicemari najis orang yang mengalami jangkitan virus ini.

  • Antibodi IgM anti-HAV bermaksud jangkitan virus hepatitis A terkini. Antibodi IgM anti-HAV secara umumnya boleh dikesan di dalam darah seawal 2 minggu selepas permulaan jangkitan HAV. Antibodi ini hilang dari darah selepas 3 ke 12 bulan dari tempoh jangkitan.
  • Antibodi IgG anti-HAV bermaksud anda pernah dijangkiti virus hepatitis A. Antibodi IgG anti-HAV muncul sekitar 8 ke 12 minggu selepas permulaan jangkitan dan kekal di dalam darah sebagai perlindungan (imuniti) ke atas HAV seumur hidup.

Vaksin hepatitis A tersedia untuk mencegah jangkitan HAV. Jika anda telah mengambil vaksin ini dan anda mempunyai antibodi anti-HAV, ia bermakna vaksin tersebut efektif.

Mengapa ini ujian dijalankan?

Doktor mungkin menjalankan ujian ini jika kamu ada tanda-tanda hepatitis. Ia digunakan untuk:

  • Mengesan jangkitan terkini atau yang lalu
  • Menentukan sejauh mana pesakit hepatitis boleh menjangkiti orang lain
  • Memantau pesakit hepatitis yang sedang dirawat

Keadaan lain dimana ujian ini mungkin dijalankan:

  • Hepatitis kronik dan berkekalan
  • Agen Delta (hepatitis D)
  • Sindrom nefrotik

Perkara yang perlu anda tahu sebelum ujian

Apa yang anda perlu tahu sebelum menjalani ujian ini?

Hepatitis A boleh dicegah melalui vaksin. Anda juga mungkin boleh mencegah jangkitan hepatitis A walaupun selepas anda sudah terdedah kepada virus tersebut jika anda mendapatkan vaksin atau satu dos imunoglobulin.

Antibodi hepatitis boleh mengambil masa berminggu atau bertahun untuk berkembang. Jadi, keputusan anda mungkin menjadi negatif walaupun anda mengalami tahap awal jangkitan (palsu negatif).

Ujian-ujian lain yang menunjukkan sejauh mana hati berfungsi kebiasaannya dibuat jika doktor anda mengesyaki anda mengalami hepatitis. Ujian-ujian ini termasuk kadar bilirubin, alkaline phosphatase, alanine aminotransferase dan aspartate aminotransferase.

Virus hepatitis A tidak menyebabkan penyakit jangka masa panjang. Jadi, tiada ujian susulan diperlukan sebaik sahaja jangkitan hilang.

Ketahui apa yang berlaku

Apakah persediaan ujian ini?

Tiada persediaan khusus diperlukan sebelum menjalani ujian ini. Sila berbincang dengan doktor anda tentang sebarang kebimbangan yang anda ada berkenaan keperluan ujian, risiko-risikonya, bagaimana ia dijalankan atau apakah maksud keputusannya.

Apa yang berlaku ketika ujian ini?

  • Doktor akan membersihkan kawasan kecil di lengan atau siku anda menggunakan pengelap antiseptik atau pad alcohol. Dalam sesetengah kes, pembalut elastik akan dililit mengelilingi bahagian atas lengan anda untuk meningkatkan aliran darah. Ini akan membuatkan lebih mudah untuk mengambil darah dari vena anda.
  • Kemudian, lengan anda akan dicucuk dengan jarum ke dalam vena. Satu tiub akan dilekatkan pada jarum untuk mengumpul darah.
  • Apabila darah telah diambil, doktor akan mengalihkan jarum tersebut. Kemudian, doktor akan meletakkan swab kapas dan pembalut untuk menghentikan sebarang pendarahan di kawasan jarum dicucukkan.

Apa yang berlaku selepas ujian ini?

Anda mungkin tidak merasakan apa-apa dari suntikan jarum tersebut atau mungkin anda ada rasa sedikit sengatan atau cubitan.

Anda boleh pulang ke rumah dan kembali kepada aktiviti normal sejurus selepas prosedur tersebut. Doktor akan menghubungi anda dan memberikan tarikh untuk membincangkan keputusan ujian. Keputusan kebiasaannya tersedia dalam 5 ke 7 hari.

Memahami keputusan

Apa maksud keputusan saya?

Keputusan negatif virus hepatitis beerti tiada antibodi melawan virus hepatitis yang dijumpai. Keputusan positif beerti antibodi melawan hepatitis A dijumpai.

Ujian hepatitis A

Negatif: Tiada antibodi hepatitis A (HAV) dijumpai.

Positif: Antibodi hepatitis A (HAV) dijumpai. Anda mungkin memerlukan ujian lagi untuk menentukan jika anda mempunyai jangkitan terkini, aktif atau jangkitan lalu.

  • Antibodi IgM anti-HAV dijumpai jika anda mengalami jangkitan aktif atau terkini. Antibodi IgM kebiasaannya keluar di dalam darah seawal 2 minggu selepas anda dijangkiti HAV, apabila ada simptom-simptom hepatitis A dan berkekalan sehingga beberapa bulan selepas simptom-simptomnya hilang.
  • Hanya antibodi IgG anti-HAV dijumpai jika anda mengalami jangkitan pada masa lalu atau menerima vaksin. Ini beerti anda terlindung dari jangkitan.

Julat normal bagi ujian ini mungkin berbeza bergantung kepada makmal dan hospital. Sila berbincang dengan doktor anda tentang apa-apa persoalan yang anda ada berkenaan keputusan ujian anda.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan ujian ini, sila berunding dengan doktor anda untuk memahami dengan lebih baik.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mac 30, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Jun 14, 2018

Rujukan