Apa itu Ujian Hemoglobin Elektroforesis?

Oleh

Ketahui asas-asasnya

Apa itu Ujian Hemoglobin Elektroforesis?

Ujian elektroforesis hemoglobin ialah sejenis ujian darah untuk mengesan jenis-jenis hemoglobin yang berbeza di dalam darah. Hemoglobin ialah bahan di dalam sel darah merah yang berfungsi membawa oksigen.

Jenis hemoglobin yang biasa ialah:

  • Hemoglobin A. Ini adalah jenis hemoglobin yang paling banyak dijumpai di dalam orang dewasa sihat. Sesetengah penyakit seperti jenis talasemia yang teruk boleh menyebabkan kadar hemoglobin A di dalam darah menjadi rendah dan kadar hemoglobin F meningkat.
  • Hemoglobin F (hemoglobin janin/fetal). Jenis ini secara normalnya dijumpai di dalam janin dan bayi baru lahir. Hemoglobin F diganti oleh hemoglobin A (hemoglobin dewasa/adult) tak lama selepas lahir. Sesetengah penyakit seperti penyakit sel sabit (sickle cell disease), anemia aplastik, dan leukemia mempunyai jenis hemoglobin yang abnormal dan kadar hemoglobin F yang tinggi.
  • Hemoglobin A2. Ini adalah jenis hemoglobin normal yang dijumpai wujud pada kadar yang rendah di dalam orang dewasa.

Terdapat lebih 350 jenis hemoglobin tidak normal. Jenis-jenis yang paling kerap ialah:

  • Hemoglobin S. Jenis ini dijumpai dalam penyakit sel sabit.
  • Hemoglobin C. Jenis ini tidak membawa oksigen dengan baik.
  • Hemoglobin E. Jenis ini dijumpai dalam keturunan orang di Asia Tenggara.
  • Hemoglobin D. Jenis ini dijumpai dalam sebahagian pesakit sel sabit.
  • Hemoglobin S dan hemoglobin C adalah jenis hemoglobin abnormal yang paling kerap dijumpai dalam ujian elektroforesis.

Elektroforesis menggunakan arus elektrik untuk memisahkan hemoglobin normal dan abnormal di dalam darah. Setiap hemoglobin jenis berbeza mempunyai caj elektrik yang berbeza dan bergerak pada kelajuan yang berbeza. Kuantiti setiap jenis hemoglobin di dalam arus tersebut disukat.

Kuantiti yang abnormal bagi hemoglobin normal atau hemoglobin abnormal mungkin beerti bahawa wujudnya sesuatu penyakit. Jenis hemoglobin abnormal boleh wujud tanpa simptom-simptom lain, menyebabkan penyakit yang ringan atau penyakit yang boleh mengancam nyawa. Contohnya, hemoglobin S yang dijumpai dalam penyakit sel sabit yang merupakan satu perkara yang serius dan boleh mendatangkan masalah yang besar.

Mengapa ini ujian dijalankan?

Anda mungkin menjalani ujian ini jika doktor mengesyaki bahawa anda mempunyai penyakit yang disebabkan oleh jenis hemoglobin yang abnormal (hemoglobinpathy).

Perkara yang perlu anda tahu sebelum ujian

Apa yang anda perlu tahu sebelum menjalani ujian ini?

Jika anda merancang untuk memiliki anak dan didapati memiliki jenis hemoglobin yang abnormal di dalam darah, anda mungkin perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan kaunseling genetik. Ini dapat membantu anda dan pasangan anda melihat kemungkinan untuk anda memiliki anak yang menghidapi sesetengah jenis anemia warisan (seperti penyakit sel sabit atau talasemia).

Ketahui apa yang berlaku?

Apakah persediaan ujian ini?

Tiada persediaan khusus yang diperlukan melainkan anda hendaklah memberitahu doktor anda jika anda mengmbil terapi zat besi untuk anemia kurang zat besi (iron deficiency anemia).

Apa yang berlaku ketika ujian ini?

Doktor akan membersihkan kawasan kecil di lengan atau siku anda menggunakan pengelap antiseptik atau pad alcohol. Dalam sesetengah kes, pembalut elastik akan dililit mengelilingi bahagian atas lengan anda untuk meningkatkan aliran darah. Ini akan membuatkan lebih mudah untuk mengambil darah dari vena anda.

Kemudian, lengan anda akan dicucuk dengan jarum ke dalam vena. Satu tiub akan dilekatkan pada jarum untuk mengumpul darah.

Apabila darah telah diambil, doktor akan mengalihkan jarum tersebut. Kemudian, doktor akan meletakkan swab kapas dan pembalut untuk menghentikan sebarang pendarahan di kawasan jarum dicucukkan.

Apa yang berlaku selepas ujian ini?

Anda akan dijadualkan untuk mendapatkan keputusan ujian. Doktor anda akan menjelaskan makna keputusan ujian. Sila ikut sebaiknya arahan doktor anda.

Memahami keputusan

Apa maksud keputusan saya?

Normal

Untuk bayi bawah setahun dan kanak-kanak, kadar hemoglobin yang sihat ialah:

  • Hb F (bayi baru lahir): 50% ke 80%
  • Hb F (6 bulan): 8%
  • Hb F (di atas 6 bulan): 1% ke 2%

Untuk dewasa, kadar yang sihat ialah:

  • Hb A: 95% ke 98%
  • Hb A2: 2% ke 3%
  • Hb F: 0.8% ke 2%
  • Hb S: 0%
  • Hb C: 0%

Julat nilai normal mungkin sedikit berbeza antara makmal. Sesetengah makmal menggunakan sukatan berbeza atau menguji sampel-sampel berbeza. Sila berbincang dengan doktor anda berkenaan maksud khusus keputusan ujian anda.

Abnormal

Jika keputusan anda menunjukkan kadar hemoglobin yang abnormal, ini mungkin disebabkan oleh:

  • Penyakit hemoglobin C (penyakit genetik yang menyebabkan anemia yang teruk)
  • Hemoglobinopathy yang jarang (kumpulan penyakit genetik yang menyebabkan penghasilan atau struktur sel darah merah yang abnormal)
  • Anemia sel sabit
  • Talasemia

Jika anda mempunyai kadar hemoglobin yang abnormal, rawatan bergantung kepada penyakit berkenaan. Penyakit hemoglobin C kebiasaannya dirawat menggunakan suplemen asid folik untuk membantu badan anda menghasilkan sel darah merah dengan normal. Anemia sel sabit mungkin boleh dirawat dengan pemindahan sumsum tulang. Jika tidak, doktor akan membantu anda menguruskan penyakit ini dengan mencegah krisis kesihatan. Jika anda menghidapi talasemia, rawatan yang disyorkan oleh doktor anda bergantung kepada sifat dan keterukan penyakit tersebut.

Julat normal bagi ujian ini mungkin berbeza bergantung kepada makmal dan hospital. Sila berbincang dengan doktor anda tentang apa-apa persoalan yang anda ada berkenaan keputusan ujian anda.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mac 28, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 15, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.