Apa itu Ujian Glukosa (Gula) Dalam Darah Di Rumah?

Oleh

Definisi

Apakah itu ujian glukosa dalam darah di rumah?

Ujian ini bertujuan mengukur kepekatan sejenis gula, yang dinamakan sebagai glukosa, dalam darah anda semasa ujian dijalankan. Ujian ini boleh dilakukan di rumah atau di mana-mana, menggunakan alat kecil mudah alih yang dinamakan glukometer.

Ujian ini juga boleh digunakan untuk memantau kandungan gula dalam darah. Sila berbincang dengan doktor anda tentang kekerapan untuk mengukur gula dalam darah anda. Kekerapannya bergantung kepada rawatan diabetes, seberapa baik diabetes terkawal dan kesihatan anda secara menyeluruh. Mereka yang mengambil insulin untuk mengawal diabetes mereka perlu mengukur gula mereka dengan kerap. Mengukur kandungan gula dalam darah sering disebut sebagai pemantauan atau ujian diri gula dalam darah di rumah.

Jika anda jarang atau tidak menggunakan insulin langsung, ujian gula dalam darah boleh menjadi sangat berguna untuk mengetahui bagaimana badan anda bertindakbalas dengan makanan, penyakit, tekanan, senaman, ubat-ubatan dan aktiviti lain. Sila uji sebelum dan selepas makan untuk mengatur makanan anda.

Sebahagian jenis glukometer boleh menyimpan berates bacaan gukosa. Ini membolehkan anda menyemak semula bacan-bacaan yang pernah dibuat dari masa ke semasa untuk menjangkakan kadar glukosa pada waktu tertentu dalam satu hari. Ia juga membolehkan anda untuk mengenal pasti sebarang perubahan major pada kadar glukosa anda. Sebahagian sistem ini juga membolehkan maklumat disimpan di dalam komputer dimana ia boleh ditukar mejadi graf atau bentuk lain yang memudahkan analisa dibuat.

Sesetengah model glukometer yang lebih baru boleh berkomunikasi dengan pam insulin. Pam insulin adalah mesin yang melepaskan insulin sepanjang hari. Glukometer tersebut membantu menentukan banyak mana insulin yang anda perlukan untuk mengekalkan kadar gula dalam darah anda pada julat yang disasarkan.

Mengapa ini ujian dijalankan?

Doktor akan menasihatkan tentang berapa kerap anda perlu mengukur kadar gula dalam darah anda. Secara umumnya, kekerapan bergantung kepada jenis diabetes dan pelan rawatan anda.

  • Diabetes jenis 1. Doktor mungkin mengesyorkan ujian gula dalam darah 4 ke 8 kali sehari. Anda perlu mengukur sebelum makan berat dan snek, sebelum dan selepas senaman, sebelum tidur, dan kadangkala di waktu malam. Anda juga perlu mengukur lebih kerap jika anda sakit, mengubah rutin harian atau menggunakan ubat baru.
  • Diabetes jenis 2. Jika anda menggunakan insulin, doktor mungkin mengesyorkan anda mengukur kadar gula dalam darah 2 kali atau lebih sehari bergantung kepada jenis dan kuantiti insulin yang anda perlukan. Kebiasaannya sebelum makan berat, dan kadangkala sebelum tidur. Jika anda tidak menggunakan insulin untuk mengawal diabetes jenis 2, anda mungkin tidak perlu mengukur kadar gula anda secara harian.

Perkara yang perlu anda tahu sebelum ujian

Apa yang anda perlu tahu sebelum menjalani ujian ini?

Jika anda merasakan bacaan dari glukometer anda berbeza dari apa yang anda jangkakan, sila lakukannya sekali lagi.

Kunjungan prenatal rutin dan pemantauan kadar glukosa dalam darah di rumah secara berkala adalah sangat penting untuk perempuan mengandung yang mengalami diabetes. Perempuan yang mengekalkan kadar glukosa mereka dalam julat yang disyorkan akan meningkatkan peluang mendapat anak yang lebih sihat dan mengurangkan peluang mendapat komplikasi dari diabetes.

Ujian air kencing boleh digunakan untuk memeriksa satu keadaan serius yang dinamakan ketoasidosis diabetic. Darah juga boleh diuji untuk mengesan ketones.

Ketahui apa yang berlaku

Apakah persediaan ujian ini?

Ujian gula dalam darah memerlukan penggunaan alat elektronik kecil yang dinamakan glukometer. Ia membaca kuantiti gula dalam sampel darah yang kecil, kebiasaannya dari hujung jari, yang anda letakkan pada strip ujian pakai buang. Anda harus berbincang dengan doktor atau penasihat diabetes untuk mendapatkan nasihat yang sepatutnya.

Anda juga harus bertanya tentang cara penggunaan glukometer tersebut.

Apa yang berlaku ketika ujian ini?

Arahan untuk ujian ini sedikit berbeza untuk setiap model glukometer. Untuk mendapatkan bacaan yang tepat, sila ikut arahan yang diberikan dengan cermat. Ketika mengukur kadar gula:

  • Basuh tangan anda menggunakan air suam bersabun. Keringkan dengan baik menggunakan tuala bersih.
  • Masukkan jarum bersih (lancet) ke dalam alatan lancet. Alatan lancet ialah alat pemegang lancet bersaiz pen. Ia memegang, memposisi dan mengawal sedalam mana lancet masuk ke dalam kulit.
  • Alihkan strip ujian untuk mengelakkan kelembapan dari mengesani strip lain. Strip ujian kadangkala disimpan di dalam glukometer.
  • Sediakan glukometer. Ikut arahan yang disediakan bersama alat anda.
  • Gunakan alat lancet untuk mencucuk bahagian tepi hujung jari anda menggunakan lancet. Jangan cucuk hujung jari anda; ia lebih menyakitkan dan anda mungkin tidak mendapat darah yang cukup untuk membuat bacaan dengan tepat. Sesetengah glukometer menggunakan alat lancet yang boleh mendapatkan sampel darah dari tempat lain seperti tapak tangan atau lengan.
  • Letakkan setitik darah di tempat yang betul pada strip.
  • Gunakan bebola kapas yang bersih untuk meletakkan tekanan di tempat jari (atau tempat lain) dicucuk bagi menghentikan pendarahan.
  • Ikut arahan yang disediakan bersama glukometer anda untuk mendapatkan bacaan. Sesetengah alat mengambil masa hanya beberapa saat untuk memberikan bacaan.

Apa yang berlaku selepas ujian ini?

Anda boleh mencatat bacaan dan masa anda melakukan ujian. Tetapi kebanyakan glukometer akan menyimpan bacaan selama beberapa hari atau minggu. Jadi anda sentiasa boleh merujuk kembali bacaan tersebut. Anda dan doktor akan menggunakan rekod ini untuk melihat sejauh mana kadar gula dalam darah anda berada dalam kadar yang disyorkan. Doktor anda akan menggunakan bacaan ini untuk menentukan jika perubahan pada ubat (insulin atau pil) untuk diabetes diperlukan.

Sila buang lancet yang dengan selamat selepas menggunakannya. Jangan membuangnya ke dalam tong sampah rumah. Lancet yang telah digunakan boleh mencucuk seseorang tanpa sengaja. Letakkan lancet yang telah digunakan di dalam bekas plastik seperti botol pencuci yang kosong. Tutup bekas tersebut apabila sudah tiga per empat penuh. Sila periksa dengan agensi pembuangan sampah tempatan anda tentang cara pembuangan lancet yang betul. Sesetengah agensi mempunyai arahan khusus tentang pembuangan buangan perubatan. Kadangkala, pejabat doktor anda akan membuangnya untuk anda.

Memahami keputusan

Apa maksud keputusan saya?

Julat di bawah memberikan anda idea tentang di mana kadar gula dalam darah anda seharusnya ada sepanjang hari. Julat kadar gula yang ideal mungkin berbeza dari induvidu ke individu yang lain dan akan berubah sepanjang hari.

Diabetes bagi orang bukan mengandung:

  • 70 mg/dL (3.9 mmol/L) ke 130 mg/dL (7.2 mmol/L) sebelum makan
  • Kurang dari 180 mg/dL (10 mmol/L) 1 ke 2 jam selepas makan

Diabetes bagi perempuan yang terkait dengan mengandung (diabetes gestasional):

  • 95 mg/dL (5.3 mmol/L) atau kurang, sebelum sarapan
  • 140 mg/dL (7.8 mmol/L) atau kurang, 1 jam selepas makan atau 120 mg/dL (6.7 mmol/L) atau kurang 2 jam selepas makan

Banyak keadaan yang boleh mengubah kadar gula dalam darah. Doktor anda akan berbincang denagn anda sebarang bacaan abnormal terkait dengan simptom dan kesihatan anda yang lalu.

Tanyakan doktor tentang sasaran julat kadar gula dalam darah anda dan buat pelan bagaimana mahu mengawal bacaan gula dalam darah yang terlalu tinggi atau terlalu rendah dan bila perlu menghubungi doktor.

Julat normal bagi ujian ini mungkin berbeza bergantung kepada makmal dan hospital. Sila berbincang dengan doktor anda tentang apa-apa persoalan yang anda ada berkenaan keputusan ujian anda.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

 

Tarikh Reviu: Mac 28, 2018 | Kali terakhir kemaskini: November 12, 2019

Rujukan