Apa itu Tumpah Darah Selepas Bersalin?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Tumpah Darah Selepas Bersalin?

Tumpah darah selepas bersalin (Postpartum Hemorrhage – PPH) adalah pendarahan berlebihan yang berlaku selepas bersalin, yang berpotensi menjadi penyebab kematian kepada para ibu.

  • PPH primer ialah apabila anda kehilangan lebih daripada 500ml (satu pain) darah dalam tempoh 24 jam pertama selepas bersalin. Ia adalah perkara biasa, menjejaskan dalam 5 per 100 wanita. Perdarahan yang teruk (lebih daripada 2 liter atau 4 liter) adalah kurang biasa, menjejaskan hanya 6 per 1000 wanita.
  • PPH sekunder berlaku apabila anda mengalami pendarahan vagina yang tidak normal atau berat di antara 24 jam hingga 12 minggu selepas bersalin. Ia dialami kurang daripada 2 per 100 wanita.

Apakah kebarangkalian Tumpah Darah Selepas Bersalin?

Masalah kesihatan ini adalah perkara biasa. Ia lazimnya memberi kesan kepada wanita yang berusia lebih dari 35 tahun. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Tumpah Darah Selepas Bersalin?

Simptom biasa bagi tumpah darah selepas bersalin adalah:

  • Kehilangan darah merah yang terang melalui faraj selepas bersalin.
  • Sakit pada bahagian bawah perut.
  • Demam.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Tumpah Darah Selepas Bersalin?

Dalam kebanyakan kes, tumpah darah awal selepas bersalin berlaku kerana rahim tidak dapat mengecut dengan cukup untuk menutup pembuluh darah di dindingnya. Ini mungkin disebabkan oleh beberapa keadaan seperti keletihan otot-otot rahim selepas proses bersalin yang lama, rahim yang terlebih tegang akibat daripada banyak kehamilan, cecair amnion yang berlebihan atau bayi bersaiz besar.

Penguncupan rahim juga boleh terjejas disebabkan oleh ketumbuhan bukan kanser pada uterus ataupun jika sebahagian atau keseluruhan plasenta kekal berada pada rahim selepas kelahiran.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Tumpah Darah Selepas Bersalin?

Terdapat banyak faktor risiko untuk tumpah darah selepas bersalin, seperti:

  • Mengalami PPH dalam kehamilan sebelum ini.
  • Mempunyai BMI (indeks jisim badan) lebih daripada 35.
  • Mempunyai empat atau lebih bayi sebelum ini.
  • Mengandung kembar dua atau tiga.
  • Etnik Asia Selatan.
  • Mempunyai plasenta yang rendah di bawah / uri bawah (placenta praevia).
  • Plasenta tercabut awal (uri lekang).
  • Pre-eklampsia dan / atau tekanan darah tinggi.
  • Anemia.
  • Kelahiran secara pembedahan caesarean.
  • Proses kelahiran yang dipaksa (induced labor).
  • Uri tertinggal di dalam rahim.
  • Episiotomi (potongan pembedahan untuk membantu kelahiran).
  • Kelahiran yang dibantu forceps atau vakum.
  • Proses kelahiran lebih daripada 12 jam.
  • Melahirkan bayi yang besar (lebih daripada 4kg).
  • Melahirkan anak pertama apabila anda berumur lebih daripada 40 tahun.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Tumpah Darah Selepas Bersalin didiagnosis?

Sekiranya anda belum berada di hospital, anda mungkin perlu dimasukkan segera. Nadi dan tekanan darah anda akan dipantau untuk mengenal pasti sebarang tanda kejutan. Sekiranya tumpah darah awal selepas bersalin berlaku, doktor anda akan merasakan bahagian bawah abdomen anda untuk melihat sama ada rahim mengecut atau tidak. Uri akan diperiksa untuk memastikan ia cukup dan tidak tertinggal. Jika rahim kelihatan mengecut tetapi pendarahan masih berterusan, serviks dan vagina anda akan diperiksa. Ini boleh dilakukan di bawah bius am atau bius epidural.

Sekiranya anda mengalami tumpah darah lewat selepas bersalin, doktor anda mungkin akan melaksanakan pemeriksaan ultrabunyi, menggunakan alat (probe) untuk dimasukkan ke dalam vagina bagi memeriksa bahagian plasenta yang tertinggal di dalam rahim. Ujian swab vagina boleh dibuat untuk memeriksa bukti terhadap jangkitan.

Bagaimana pesakit Tumpah Darah Selepas Bersalin dirawat?

Jika tumpah darah awal selepas bersalin disebabkan oleh penguncupan rahim yang lemah, anda mungkin akan diberi suntikan untuk membantu rahim mengecut. Doktor juga mungkin akan mengurut perut anda. Sekiranya langkah-langkah ini tidak berfungsi, ubat selanjutnya boleh diberikan untuk membantu rahim mengecut.

Sekiranya pendarahan masih berterusan, pembedahan mungkin diperlukan. Dalam kes yang jarang berlaku, histerektomi mungkin akan dilaksanakan. Pendarahan yang disebabkan oleh uri yang tertinggal dirawat secara manual dengan mengeluarkan bahagian uri tersebut melalui vagina.

  • Jika kehilangan darah adalah disebabkan oleh tisu terkoyak di dalam serviks atau vagina, keadaan ini akan dijahit.
  • Jika tumpah darah lewat selepas bersalin adalah disebabkan oleh jangkitan, antibiotik akan diberikan.
  • Jika pendarahan masih berterusan, pembedahan mungkin diperlukan untuk memeriksa rahim dan mengeluarkan apa-apa bahagian uri yang masih tertinggal. Darah yang hilang disebabkan oleh keadaan ini mungkin perlu diganti dengan pemindahan / transfusi darah.

Fakta yang sangat diyakini menunjukkan bahawa pengurusan yang aktif rutin pada tahap ketiga kelahiran akan mengurangkan insiden dan keterukan PPH. Pengurusan aktif adalah kombinasi rutin antara pemberian uterotonik (sebaiknya oxytocin) sejurus selepas kelahiran bayi, menyepit dan memotong tali pusat dengan awal, dan tarikan lembut pada tali pusat serta tarikan lawan oleh rahim apabila ia mengecut dengan baik.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Tumpah Darah Selepas Bersalin?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani tumpah darah selepas bersalin:

  • Suplemen zat besi. Mengambil suplemen zat besi mungkin akan mengurangkan kemungkinan memerlukan transfusi darah jika anda mempunyai PPH. Sesetengah wanita juga boleh ditawarkan suplemen zat besi sekiranya mereka berisiko mengalami anemia.
  • Buat temu janji dengan doktor anda. Sekiranya anda menjalani pembedahan caesarean dalam kehamilan sebelum ini, adalah penting untuk memastikan uri tidak melekat pada bahagian luka pembedahan.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 23, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.