Apa itu Tinea Pedis?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Tinea Pedis?

Tinea pedis adalah jangkitan kulat yang menjejaskan kulit pada kaki dan boleh merebak ke kuku kaki dan kadangkala juga kulit tangan. Jangkitan ini biasanya dikenali sebagai penyakit kaki atlet kerana ia biasa dilihat pada atlet. Tinea pedis biasanya membiak dalam persekitaran yang hangat dan lembap seperti kasut, stoking, kolam renang, bilik persalinan dan juga lantai bilik mandi awam.

Apakah kebarangkalian Tinea Pedis?

Tinea pedis boleh menjejaskan manusia pada sebarang usia, namun lebih cenderung berlaku pada orang dewasa berbanding pada kanak-kanak, dan lebih pada lelaki berbanding wanita. Tinea pedis juga berlaku lebih kerap pada orang yang sering memakai kasut yang ketat dan sering menggunakan bilik mandi dan kolam renang awam. Maka jangkitan ini paling lazim berlaku dalam kalangan lelaki dewasa muda yang melakukan senaman.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Tinea Pedis?

Simptom umum tinea pedis meliputi:

  • Kerengsaan seperti rasa gatal, hangat dan menyengat di kawasan antara jari kaki
  • Rasa gatal dan menyengat pada bahagian tapak kaki
  • Mempunyai lepuh yang gatal pada kaki
  • Terdapat kulit kaki yang merekah dan menggelupas, yang paling biasa di antara jari kaki dan tapak kaki
  • Kulit menjadi kering sehingga nampak daging di bahagian tapak kaki atau sisi kaki
  • Kuku jari kaki yang pucat, tebal, dan berkerut
  • Kuku jari kaki tercabut

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu berunding dengan doktor jika anda mengalami ruam pada kaki yang tidak bertambah baik dalam masa beberapa minggu selepas rawatan kendiri. Sila dapatkan nasihat perubatan lebih awal jika anda menghidap diabetes dan mengesyaki anda mempunyai jangkitan kaki; atau jika anda mengalami kemerahan berlebihan, bengkak, lelehan pada kaki atau demam.

Punca

Apakah punca Tinea Pedis?

Tinea pedis berlaku disebabkan oleh kulat mikroskopik yang hidup pada tisu mati di rambut, kuku jari kaki dan lapisan luar kulit. Terdapat sekurang-kurangnya empat jenis kulat yang diketahui berpotensi menyebabkan Tinea pedis. Antaranya:

  • Trichophyton (T.) rubrum
  • T. interdigitale, sebelum ini dipanggil T. mentagrophytes var. interdigitale
  • Epidermophyton floccosum

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Tinea Pedis?

Terdapat banyak faktor risiko untuk Tinea pedis. Anda berpotensi mudah mendapatkan jangkitan ini jika:

  • Anda berjalan tanpa alas kaki di kawasan awam di mana kulat boleh tersebar, seperti bilik persalinan, sauna, kolam renang dan bilik mandi awam.
  • Anda berkongsi stoking, kasut atau tuala dengan orang yang dijangkiti.
  • Anda kerap memakai kasut yang ketat dan tertutup rapat.
  • Anda kerap menjadikan kaki anda basah atau berpeluh untuk jangka masa yang lama.
  • Anda mempunyai kecederaan kecil pada kulit atau kuku kaki anda.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Tinea Pedis didiagnosis?

Biasanya, doktor anda boleh mendiagnosis jangkitan ini hanya dengan melihat keadaannya pada kulit. Untuk membantu mengesahkan diagnosis daripada sebarang punca lain, doktor anda mungkin:

  • Mengikis sedikit bahagian kulit atau sampel dari kawasan yang dijangkiti untuk diperiksa di bawah mikroskop
  • Melihat kaki anda di bawah cahaya hitam
  • Menghantar sebahagian kecil sampel kulit anda untuk dilaksanakan ujian makmal

Bagaimana pesakit Tinea Pedis dirawat?

Bergantung pada jenis tinea pedis dan peringkat penyakit, rawatan yang sesuai akan dilaksanakan. Anda boleh merawat tinea pedis di rumah dengan menggunakan ubat antikulat untuk membunuh kulat atau menghalang pertumbuhannya. Adalah penting bagi anda untuk melengkapkan tempoh penuh penggunaan ubat untuk mengelakkan jangkitan dari berlaku kembali. Berikut adalah beberapa ubat tanpa preskripsi dan bersama preskripsi yang mungkin perlu anda pertimbangkan:

  • Ubat antikulat bukan preskripsi biasanya digunakan dahulu. Ini termasuk clotrimazole (Lotrimin), miconazole (Micatin), terbinafine (Lamisil), dan tolnaftate (Tinactin). Ubat antikulat bukan preskripsi adalah ubatan topikal (digunakan atas kulit).
  • Sekiranya ubatan bukan preskripsi tidak berjaya atau jika jangkitan bertambah teruk, anda mungkin perlu menggunakan ubat antikulat yang ditetapkan oleh doktor. Sesetengah ubat ini adalah ubat antikulat topikal, yang diletakkan terus pada kulit. Ubat-ubatan preskripsi boleh merangkumi ubat antikulat topikal (seperti butenafine (Mentax), klotrimazole dan naftifine (Naftin)) dan ubat antikulat oral (seperti fluconazole (Diflucan), itraconazole (Sporanox) dan terbinafine (Lamisil).

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Tinea Pedis?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda dalam menangani Tinea pedis:

  • Menjadikan kaki anda bersih dan kering dengan:
    • Keringkan kawasan antara jari kaki anda selepas berenang atau mandi.
    • Pakai kasut atau selipar yang selesa
    • Apabila di dalam rumah, pakai stoking tanpa kasut.
    • Pakai stoking yang menyerap peluh. Tukar stoking anda dua kali sehari.
    • Gunakan bedak atau ubat antikulat pada kaki anda.
    • Biarkan kasut anda dijemur selama sekurang-kurangnya 24 jam sebelum anda memakainya semula.
  • Memakai selipar atau capal di kolam awam dan pancuran mandian.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 25, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Rujukan