Tertelan Objek

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi Tertelan Objek

Apakah itu tertelan objek?

Sesiapa sahaja boleh menelan sebarang objek asing. Dalam kebanyakan kes, saluran pencernaan akan memproses objek yang ditelan dan akan dikeluarkan dari badan secara semula jadi. Dalam sesetengah kes, objek tersebut berkemungkinan tersangkut atau boleh menyebabkan kecederaan apabila saluran dalam badan. Jika ini berlaku, anda perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Pembedahan mungkin diperlukan bergantung kepada keadaan.

Adakah tertelan objek sesuatu yang biasa berlaku?

Keadaan ini adalah sesuatu yang biasa dan boleh menjejaskan pesakit pada sebarang usia. Namun, untuk bayi dan kanak-kanak yang secara semula jadi mempunyai perasaan ingin tahu, dan cenderung memasukkan benda ke dalam mulut, menjadikan mereka lebih berisiko berbanding individu dewasa. Sila berbincang dengan doktor untuk mendapatkan lebih maklumat.

Simptom

Apakah simptom tertelan objek?

Simptom yang biasa berlaku apabila sesuatu objek asing ditelan adalah:

  • Tercekik
  • Kesukaran untuk bernafas
  • Batuk
  • Berdehit (wheezing)

Jika kanak-kanak menelan objek dan ia tidak tersangkut pada tekak, tidak akan berlaku sebarang simptom segera. Ini kerana objek sudah memasuki saluran pencernaan. Ia akan melaluinya secara semula jadi atau akan muncul simptom kerana wujud masalah apabila objek tersebut tidak boleh melepasi saluran dalam badan.

Antara simptom yang berkemungkinan akan muncul apabila objek tersebut tersekat pada esofagus atau usus, termasuk:

  • Muntah
  • Air liur meleleh
  • Kesakitan pada bahagian dada atau tekak
  • Keengganan untuk makan
  • Sakit perut
  • Demam

Sebarang objek yang tersekat atau tersangkut dalam badan untuk tempoh yang lama tanpa sebarang rawatan boleh menyebabkan jangkitan, seperti pneumonia aspirasi berulang. Ini boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian dada, batuk berkahak, dan berdehit. Ada masanya, demam turut akan berlaku.

Mungkin terdapat simptom yang tidak dinyatakan di atas. Sekiranya anda mempunyai keraguan atau sebarang pertanyaan mengenai simptom lain yang mungkin berlaku, sila berjumpa dengan doktor.

Bilakah saya patut berjumpa doktor?

Apabila sesuatu objek yang ditelan itu bukan makanan, hubungi doktor. Penerangan tentang objek perlu diberikan.

  • Jika tiada sebarang simptom yang muncul dan doktor yakin dengan keadaan pesakit, rutin pemeriksaan mungkin memadai
  • Jika wujud sebarang simptom, atau objek yang ditelan itu mendatangkan kebimbangan kepada doktor, pesakit mungkin akan dirujuk kepada jabatan kecemasan.

Jika simptom berterusan dan tidak hilang walaupun selepas menelan objek atau makanan bersaiz besar, sila pergi ke jabatan kecemasan berdekatan. Jika pesakit mempunyai objek yang hampir sama dengan objek yang ditelan, bawa sekali untuk membantu doktor menentukan objek yang menyebabkan sekatan.

Jika anak anda mempunyai tanda atau simptom yang tidak dinyatakan di atas atau mempunyai sebarang masalah, sila berbincang dengan doktor. Setiap badan mempunyai tindak balas yang berbeza. Ia adalah sesuatu yang terbaik untuk berbincang dengan doktor untuk mendapatkan penyelesaian terbaik buat anda.

Menelan objek magnetik adalah kecemasan perubatan. Dapatkan rawatan perubatan segera jika anak anda menelan objek magnetik.

Punca

Apakah punca objek tertelan?

  • Bayi dan kanak-kanak yang mempunyai sifat ingin tahu semula jadi dan keinginan untuk menelan, kerap memasuk sesuatu ke dalam mulut. Kanak-kanak dalam kumpulan ini juga tidak berkeupayaan untuk mengunyah makanan seperti kacang dan sosej.
  • Kanak-kanak dan individu dewasa mungkin menelan sesuatu yang tidak boleh dimakan sebagai untuk perhatian atau sebagai sebahagian daripada keadaan psikiatri.
  • Keadaan perubatan yang menyebabkan saluran esofagus mengecil, yang menyebabkan makanan tersekat pada esofogus.

Faktor risiko

Apa yang meningkatkan risiko untuk tertelan sesuatu objek?

Bayi dan kanak-kanak akan kerap meneroka dan belajar tentang sesuatu perkara dengan memasukkannya ke dalam mulut. Kebanyakan individu yang tertelan objek asing adalah di bawah usia 3 tahun.

Risiko untuk kanak-kanak menelan sesuatu yang berpotensi sebagai bahaya meningkat apabila mereka dibiarkan bersendirian tanpa sebarang pengawasan. Risiko ini juga meningkat apabila jenis objek berikut berada dalam jangkauan mereka:

  • Duit syiling
  • Bateri kecil
  • Butang
  • Marmar
  • Batu
  • Kuku
  • Skru
  • Pin
  • Magnet kecil

Sebarang objek yang boleh dimuatkan ke dalam mulut kanak-kanak mungkin akan dimasukkan ke dalam mulut jika tiada individu yang mengawasi. Sentiasa memastikan kawasan anak anda bermain terhindar dari capaian barang atau objek berbahaya ini.

Diagnosis & rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SENTIASA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana objek yang ditelan didiagnosis?

Doktor akan mencatatkan sejarah lengkap dan secara khusus ingin mengetahui apa yang telah ditelan, bila ia ditelan dan sebarang simptom yang dihadapi pesakit. Pemeriksaan fizikal akan memfokus pada bahagian mulut, tekak dan paru-paru. Doktor boleh melakukan satu atau lebih pemeriksaan seperti di bawah:

  • Pemeriksaan sinar-X pada bahagian leher, dada dan perut mungkin dilakukan untuk membantu mencari sebarang objek yang mungkin dapat dilihat menerusi pemeriksaan ini seperti duit syiling, bateri, mainan logam dan tulang.
  • Pemeriksaan sinar-X lebih terperinci dengan barium mungkin digunakan untuk membantu mencari objek yang tersekat yang tidak dapat dilihat sinar-X biasa.
  • Doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan langsung pada kotak suara dengan cahaya optik khas atau pemeriksaan dengan cermin gigi (dental mirror). Prosedur ini memerlukan kerjasama daripada pesakit.
  • Visualisasi langsung dengan skop optik (endoscopy) mungkin diperlukan untuk melihat objek pada bahagian esofagus. Prosedur ini biasanya dilakukan dalam unit prosedur singkat atau di dalam bilik pembedahan.

Bagaimanakah rawatan untuk tertelan objek?

Jika objek yang tertelan menyebabkan tercekik, bantuan pertolongan asas adalah penting. Jika seseorang individu tercekik dan boleh mengeluarkan bunyi atau bercakap, jangan cuba untuk membuat rawatan kejutan abdomen. Beri peluang kepada mangsa untuk mengeluarkan objek. Jika saluran pernafasan tiada gangguan, tidak banyak perkara yang boleh dilakukan, melainkan untuk menyakinkan kanak-kanak atau individu dewasa yang sedang cemas.

Rawatan tertelan objek

  • Doktor mungkin akan menyimpulkan bahawa objek yang tertelan itu hanya menyebabkan trauma kecil kepada tekak atau esofagus dan akan meminta pesakit untuk meminum sesuatu. Jika ia boleh dilakukan tanpa sebarang kesukaran atau kesakitan, pesakit akan dibenarkan pulang dengan arahan termasuk sebarang simptom komplikasi.
  • Jika objek kelihatan pada belakang tekak ketika pemeriksaan visual, doktor mungkin akan cuba untuk mengeluarkannya. Anestetik boleh disembur untuk menjadikan proses pengeluaran lebih menyelesakan. Doktor akan mengambil objek tersebut dengan forsep dan mengeluarkannya.
  • Jika objek dilihat sekitar kawasan kotak suara, penyingkiran segera akan dilakukan. Prosedur ini jarang dilakukan di jabatan kecemasan. Biasanya, pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) akan mengeluarkan objek dalam unit prosedur singkat atau bilik pembedahan.
  • Objek, termasuk makanan, yang tersekat pada esofagus perlu dikeluarkan. Pakar gastroenterologi akan melakukan proses ini menggunakan skop serat optik. Tiada pembedahan diperlukan.
  • Untuk sesuatu objek, terutamanya makanan, yang terlekat pada esofagus, terapi ubatan mungkin diperlukan. Ubatan seperti nitrogliserin akan diletakan di bawah lidah dan glucagon akan diberikan melalui IV (saluran darah) untuk menenangkan bahagian esofagus dan membenarkan makanan melalui bahagian perut. Namun, kadar kejayaan melalui proses ini amatlah sedikit.
  • Objek yang tertelan yang dapat melepasi perut kebiasaannya akan dapat melepasi proses penghasilan najis tanpa sebarang masalah. Pertimbangan khusus harus diberikan jika objek tersebut adalah seperti bateri dan objek tajam seperti pin dan tulang. Ada masanya, ia akan berjaya melalui saluran dalam badan tanpa sebarang masalah. Tetapi biasanya ia akan tersangkut pada bahagian tertentu saluran pencernaan.

Pembedahan tertelan objek

Objek yang tersangkut untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan hakisan pada esofagus. Ini akan menyebabkan pesakit menjadi sangat sakit. Apabila hakisan berlaku, pembedahan diperlukan untuk mengeluarkan objek dan memperbaiki sebarang kerosakan dan mencegah hakisan dan jangkitan.

Pemeriksaan susulan tertelan objek

Pemeriksaan susulan dengan doktor atau pakar adalah digalakkan. Sesetengah objek kekal dalam badan perlu dipantau dengan sinar-X berkala untuk memastikan ia keluar. Penilaian penuh ke atas esofagus penting selepas pengeluaran objek pada bahagian tersebut. Ini untuk memastikan anatomi esofagus dalam keadaan normal. Secara amnya, rutin pemeriksaan lanjut adalah apa yang diperlukan.

Perubahan gaya hidup & rawatan rumah

Apakah perubahan gaya hidup atau rawatan rumah yang boleh membantu mengatasi masalah tertelan objek ini?

Gaya hidup dan rawatan rumah yang mungkin dapat membantu mengatasi masalah objek yang tertelan:

 

  • Simpan objek kecil seperti duit syiling, bahagian mainan dan bateri butang, jauh dari jangkauan kanak-kanak kecil.
  • Potong makanan kepada bahagian kecil yang bersesuaian dengan kanak-kanak dan individu dewasa.
  • Jika seorang individu dewasa mengalami kesukaran untuk menelan objek pejal, puri atau diet cecair akan membantu menangani simptom ini sehingga perhatian perubatan diperolehi.

Jika anda mempunyai sebarang persoalan, sila berunding dengan doktor untuk mendapatkan lebih pemahaman tentang penyelesaian terbaik buat anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: April 8, 2019 | Kali terakhir kemaskini: April 8, 2019

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.