backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Sirosis

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 25/04/2022

Sirosis

Sirosis hati merupakan kesan dan komplikasi penyakit hati tahap akhir. Namun, penghidap penyakit ini mungkin tidak mengalami sebarang simptom pada awalnya.

Antara penyebab sirosis hati ialah ketagihan alkohol, atau penyakit seperti hepatitis dan penyakit hati berlemak bukan alkohol. Rawatan yang diberikan pula bergantung kepada punca sirosis dan tahap kecederaan yang telah dialami oleh pesakit. Salah satu opsyen yang ada untuk pesakit yang mengalami kegagalan hati ialah melalui pemindahan organ.

Definisi

Apa itu Sirosis?

Sirosis hati ialah keadaan tisu hati berparut, lalu menyekat sebahagian pengaliran darah dalam hati disebabkan keradangan. Penyakit ini akan menyebabkan kerosakan hati dan kegagalan hati berfungsi dengan baik

Hati adalah organ dalaman paling besar dalam badan yang bertanggungjawab untuk pelbagai fungsi badan yang penting. Fungsi utama hati ialah:

  • Menyerap dan menyimpan nutrisi penting daripada makanan sewaktu pencernaan dan menghantar nutrisi ini ke seluruh badan seperti protein, gula dan lemak.
  • Menghasilkan protein baru untuk membuat faktor penggumpal darah (clotting factors) dan faktor imun untuk membantu badan merawat tisu yang rosak.
  • Menghasilkan hempedu yang memecahkan lemak dalam makanan untuk pencernaan supaya badan dapat menyerap lemak, kolesterol dan vitamin larut lemak.
  • Menapis darah untuk membuang bahan kumuh seperti toksik, lemak dan kolesterol. Bahan kumuh ini membentuk najis dan dikeluarkan daripada badan.

Tubuh manusia kebiasaannya berupaya menyembuhkan dan merawat tisu hati yang rosak. Namun apabila kerosakan itu terlalu teruk dan sangat lama, tisu hati bertukar menjadi tisu parut, dan dipanggil fibrosis.

Pengumpulan parut dalam hati yang bertambah akhirnya membawa kepada sirosis. Sewaktu tahap awal sirosis, hati anda mungkin masih berfungsi tetapi pada tahap akhir, kegagalan fungsi hati mungkin berlaku. Penting bagi anda mendapatkan perhatian doktor untuk mengelakkan kegagalan hati.

Apakah kebarangkaliannya?

Sirosis kerap dijumpai dan berpunca daripada penyakit-penyakit hati yang kronik. Dianggarkan 50 juta orang di dunia menghidap penyakit hati yang kronik. Sirosis boleh berlaku pada lelaki dan wanita, namun kajian terkini menunjukkan lebih banyak kematian disebabkan sirosis berlaku dalam kalangan lelaki berbanding wanita.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom sirosis hati?

Sirosis

Tanda dan simptom bergantung kepada tahap penyakit. Kebanyakan pesakit dengan sirosis di peringkat awal tidak mempunyai sebarang tanda atau simptom. Simptom yang mungkin anda alami, jika ada ialah:

  • Rasa penat
  • Lemah
  • Kurang atau tiada selera
  • Loya
  • Turun berat badan
  • Hati membesar
  • Tapak tangan yang merah

Sewaktu tahap akhir sirosis, anda mungkin mengalami simptom berikut:

  • Kekuningan pada mata dan kulit
  • Air kencing berwarna coklat atau kuning gelap
  • Rambut gugur
  • Perubahan pada saluran darah di kulit dan sekeliling pusat
  • Pertumbuhan payudara pada lelaki
  • Mudah lebam dan berdarah
  • Cirit-birit
  • Kekeliruan mental
  • Perut dan kaki membengkak disebabkan pengumpulan cecair
  • Limpa membesar
  • Buasir
  • Koma.

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda patut berjumpa doktor jika anda mempunyai tanda dan simptom yang disebutkan di atas. Sirosis perlu dirawat pada peringkat awal untuk mengelakkan kerosakan hati yang lebih teruk. Jika anda dapat mengesan sirosis seawalnya, anda mungkin berupaya memulihkan kerosakan hati dengan pembaikian sel tisu hati.

Punca

Apakah Punca Sirosis?

Terdapat banyak punca sirosis. Punca utama termasuklah:

  • Hepatitis C Kronik. Ini adalah keadaan kronik dengan keradangan hati disebabkan jangkitan virus. Ia selalunya berjangkit melalui darah sama ada melalui perkongsian jarum atau pemindahan darah. Jarang sekali hepatitis C merebak melalui hubungan seksual atau kelahiran.
  • Penyakit hati disebabkan alkohol: Keadaan ini disebabkan pengambilan alkohol secara berlebihan. Minum 2 hingga 3 kali sehari selama 10 hingga 12 tahun, meningkatkan risiko menghidap sirosis hati.
  • Penyakit hati berlemak bukan disebabkan alkohol (NAFLD). Juga dikenali sebagai steatohepatitis bukan alkoholik berlaku apabila terdapat lemak berlebihan dalam hati yang bukan disebabkan alkohol. Antara sebabnya ialah obesiti, diabetes yang tidak terkawal, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan trigliserida tinggi.
  • Hepatitis B Kronik. Sama seperti Hepatitis C, Hepatitis B berlaku disebabkan jangkitan virus, menyebabkan keradangan hati, fibrosis dan sirosis. Hepatitis B berjangkit melalui  perkongsian jarum, pemindahan darah, hubungan seksual dan kelahiran. Hepatitis B adalah penyakit yang boleh dicegah menggunakan vaksin.

Terdapat punca yang jarang menyebabkan sirosis seperti: Hepatitis autoimun (apabila badan menyerang sel hati), kerosakan dan sumbatan pada saluran hempedu, penyakit hati yang diwarisi (penyakit Wilson’s, Hemochromatosis) dan jangkitan lain yang jarang berlaku (hepatitis D).

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Sirosis?

Sirosis

Terdapat faktor yang meningkatkan risiko anda mengalami sirosis. Ini termasuklah::

  • Pengambilan alkohol berlebihan pada waktu yang lama. Ini bermakna anda minum lebih daripada 2 hingga 4 kali setiap hari selama lebih daripada 10 tahun.
  • Mengadakan hubungan kelamin tanpa perlindungan dapat meningkatkan risiko anda dijangkiti dengan hepatitis B dan juga hepatitis C.
  • Berkongsi jarum atau pemindahan darah boleh meningkatkan risiko mendapat hepatitis B dan hepatitis C.
  • Penyakit hati yang diwarisi, seperti penyakit Wilson’s atau hemochromatosis, dapat meningkatkan risiko sirosis.
  • Terlebih berat badan dan obes boleh menyebabkan hati berlemak, seterusnya menyebabkan keradangan dan sirosis.

Anda patut berbincang dengan doktor anda tentang cara menangani faktor risiko. Dengan mengelakkan faktor risiko tersebut anda dapat mengelakkan sirosis dan mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit didiagnosis?

Doktor akan mendiagnosis sirosis hati dengan memeriksa keadaan kesihatan anda dan melakukan pelbagai ujian kesihatan dan prosuder termasuklah:

  • Rekod kesihatan keluarga. Maklumat penyakit hati ahli keluarga perlu diketahui doktor untuk menentukan diagnosis.
  • Pemeriksaan fizikal. Doktor perlu memeriksa tubuh badan anda, termasuklah abdomen. Adalah penting untuk doktor memeriksa jika hati membesar atau jika terdapat bahagian yang mengeras.
  • Ujian darah. Ujian darah boleh menunjukkan tahap enzim hati yang tidak normal, sel darah dan platelet. Tiga ujian ini menentukan tahap kerosakan hati termasuklah ujian bilirubin (mengukur kadar hempedu dalam darah), ujian kreatinin (mengukur fungsi buah pinggang) dan ujian International normalized ratio test (mengukur kemampuan badan untuk membekukan darah)
  • Ujian pengimejan. Ujian ini dilakukan untuk mengenal pasti komplikasi kerosakan hati, seperti ascites (bengkak abdomen disebabkan penghimpuanan cecair) dan kanser hati.
  • Biopsi hati. Ujian ini mengukur kerosakan hati dengan mengambil sampel tisu hati dan memeriksanya di bawah mikroskop.

Bagaimana pesakit dirawat?

Rawatan sirosis bergantung kepada punca dan sebarang komplikasi yang wujud. Anda patut merawat dahulu punca sirosis tersebut. Ini termasuklah mengurangkan kadar pengambilan alkohol dan sebarang ubat yang menyebabkan kerosakan hati.

Merawat hepatitis B dan hepatitis C dengan ubat anti-virus dapat menangani keradangan dalam hati, mengurangkan kerosakan hati yang membawa kepada sirosis. Jika puncanya ialah saluran hempedu yang tersekat, doktor anda mungkin akan menyarankan ubat dipanggil ursodiol, ubat non-toksik untuk menggantikan asid hempedu yang dihasilkan hati.

Anda juga mungkin akan perlu merawat komplikasi berkaitan sirosis. Komplikasi ini termasuklah sakit abdomen atau gatal-gatal, penghimpunan cecair dalam perut (ascites), tekanan darah tinggi dalam vena portal di bahagian abdomen (portal hypertension), saluran darah yang membesar (varices), kanser hati, penurunan ketumpatan tulang (osteoporosis), batu karang dan kekurangan fungsi otak disebabkan pengumpulan toksik (hepatic encephalopathy).

Pilihan rawatan lain termasuklah pembedahan, menukar arah saluran darah (portacaval shunt), dan pemindahan hati.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menanganinya?

Sirosis

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani sirosis hati:

  • Berhenti minum alkohol.
  • Amalkan diet yang seimbang. Anda mungkin perlu menghadkan pengambilan protein disebabkan hati anda tidak dapat menggunakannya.
  • Mengubah aktiviti berdasarkan simptom.
  • Hubungi doktor jika sewaktu rawatan, berlaku muntah darah, najis berwarna hitam, terdapat darah merah dalam najis, cecair dalam perut atau kaki, demam.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 25/04/2022

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan