Apa itu Sindrom Sjogren ?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu sindrom sjogren?

Sindrom sjogren adalah gangguan autoimun yang biasanya melibatkan kelenjar liur dan kelenjar lakrimal, yang mana membantu badan untuk menghasilkan kelembapan di dalam mata dan mulut, dalam bentuk air liur dan air mata. Bagi individu yang mempunyai sindrom sjogren, badan mereka tidak dapat berfungsi untuk menghasilkan kelembapan yang cukup.

Apakah kebarangkalian sindrom sjogren?

Walaupun sesiapa sahaja boleh mempunyai sindrom sjogren tanpa mengira umur, doktor mendapati bahawa kebanyakan pesakit sindrom ini berumur lebih daripada 40 tahun. Keadaan ini lebih biasa berlaku pada wanita.

Walau bagaimanapun, perkara ini boleh diatasi dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom sindrom sjogren?

Biasanya, terdapat dua tanda dan simptom utama bagi sindrom sjogren termasuk:

  • Mata kering

Mata anda rasa seperti terbakar, gatal atau berpasir.

  • Mulut kering

Mulut anda rasa seperti penuh dengan kapas, menjadikan anda sukar untuk menelan atau bercakap.

Tambahan pula, sesetengah individu yang mempunyai sindrom sjogren juga mengalami satu atau lebih daripada simptom berikut:

  • Sendi sakit, bengkak dan kaku
  • Kelanjar liur bengkak, terutamanya yang terletak di belakang rahang dan di hadapan telinga anda
  • Ruam kulit atau kulit kering
  • Vaginal kering
  • Batuk kering yang berterusan

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis dan rawatan awal boleh menghentikan keadaan ini daripada menjadi bertambah teruk dan mencegah kecemasan perubatan yang lain, jadi sila beritahu doktor anda secepat yang mungkin bagi mengelakkan daripada keadaan serius ini.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom di atas atau mempunyai sebarang soalan, sila rujuk doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara yang berbeza. Berbincang dengan doktor mengenai apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca sindrom sjogren?

Sindrom sjogren adalah gangguan autoimun yang mana bermakna sistem imun anda tersalah menyerang sel dan tisu badan anda sendiri.

Malangnya, para saintis tidak pasti mengapa sesetengah orang mengalami sindrom sjogren dan yang lain tidak. Gen-gen tertentu meletakkan individu dalam risiko tinggi untuk mengalami gangguan ini, tetapi mekanisme pencetus, seperti jangkitan dengan virus atau strain bakteria tertentu, juga dilihat penting.

Bagi sindrom sjogren, sistem imun anda akan memilih untuk menyerang kelenjar yang merembes kelembapan pada mata dan mulut anda terlebih dahulu. Tetapi ia juga boleh merosakkan bahagian badan anda yang lain seperti:

  • Sendi
  • Tiroid
  • Buah pinggang
  • Hati
  • Paru-paru
  • Kulit
  • Saraf

Faktor-faktor risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada sindrom sjogren?

Anda mungkin berisiko tinggi untuk mengalami keadaan ini jika anda mengalami keadaan-keadaan berikut:

  • Umur

Sindrom sjogren biasanya didiagnosis pada individu yang berusia lebih daripada 40 tahun.

  • Jantina

Wanita lebih cenderung untuk mengalami sindrom sjogren.

  • Penyakit reumatik

Biasa bagi individu yang mempunyai sindrom sjogren juga turut mempunyai penyakit reumatik, seperti artritis reumatoid atau lupus.

Diagnosis dan rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit sindrom sjogren didiagnosis?

Jika doktor anda mengesyaki bahawa anda mungkin mengalami keadaan ini, pemeriksaan fizikal akan dilakukan dan beberapa ujian juga akan disarankan oleh doktor anda.

Beberapa ujian biasa yang mungkin akan dilakukan termasuk:

Ujian darah

Doktor anda akan memesan ujian darah untuk memeriksa:

  • Paras jenis sel darah yang berbeza-beza
  • Terdapat antibodi biasa bagi Sindrom Sjogren
  • Bukti keadaan inflamatori
  • Indikasi masalah dengan hati dan buah pinggang anda

Ujian mata

Doktor anda boleh menyukat kekeringan mata anda dengan ujian yang dipanggil ujian air mata Schirmer. Dalam ujian ini, satu potongan kecil kertas tapis diletak di bawah kelopak bawah mata untuk menyukat penghasilan air mata anda.

Bergambar

Ujian-ujian bergambar tertentu bagi memeriksa fungsi kelenjar liur anda.

Biopsi

Doktor anda juga akan melakukan biopsi bagi mengesan kehadiran sekumpulan sel inflamatori, yang mana boleh menentukan sindrom sjogren.

Bagaimana pesakit sindrom sjogren dirawat?

Beberapa pilihan rawatan yang mungkin disarankan oleh doktor anda termasuk:

Ubat-ubatan

Bergantung kepada simptom-simptom anda, doktor anda akan menyarankan ubat yang:

  • Meningkatkan penghasilan air liur

Ubat seperti pilocarpine (Salagen) dan cevimeline (Evoxac) boleh meningkatkan penghasilan air liur, dan kadang-kadang air mata. Kesan sampingan mungkin termasuk berpeluh, sakit abdomen, merah panas dan kerap kencing.

  • Mengawal komplikasi-komplikasi khusus

Jika anda mengalami simptom-simptom artritis, anda mungkin mendapatkan manfaat daripada ubat antiradang tanpa steroid (NSAID) atau ubat artritis yang lain. Preskripsi ubat titik mata mungkin diperlukan jika ubat titik tanpa preskripsi tidak membantu. Jangkitan yis di dalam mulut perlu dirawat dengan ubat antifungus.

  • Merawat simptom secara menyeluruh

Hydroxychloroquine (Plaquenil), ubat yang direka untuk merawat malaria, sering membantu dalam merawat sindrom sjogren. Ubat yang boleh membantut sistem imum, seperti methotrexate, juga boleh dipreskripsi.

Pembedahan

Bagi melegakan mata yang kering, anda boleh menimbang untuk menjalani prosedur pembedahan minor untuk menutup duktus air mata yang mengalir keluar air mata daripada mata anda (oklusi punktal)

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani sindrom sjogren?

Berikut merupakan tip-tip berguna yang boleh membantu anda mengurangkan simptom-simptom keadaan ini:

  • Guna air mata palsu

Air mata palsu (dalam bentuk titik mata) dan pelincir mata (dalam bentuk titik mata, gel, atau sarap) boleh membantu melegakan ketakselesaan mata yang kering.

  • Tingkatkan kelembapan

Meningkatkan kelembapan di dalam rumah dan kurang terdedah kepada udara yang menghembus dapat membantu mengelakkan mata anda daripada menjadi kering. Contohnya, elakkan duduk di hadapan kipas atau penghawa dingin, dan pakai gogal atau kaca mata pelindungan apabila anda keluar.

  • Meningkatkan pengambilan cecair

Minum banyak air, terutamanya air, bantu untuk mengurangkan mulut kering.

  • Merangsang aliran air liur

Gula-gula getah tanpa gula atau gula-gula keras boleh meningkatkan aliran air liur. Oleh sebab sindrom sjogren boleh menambahkan risiko kaviti gigi, hadkan pengambilan gula-gula, terutamanya antara makanan. Jus lemon dalam air juga boleh merangsang aliran air liur.

  • Cuba air liur palsu

Produk pengganti air liur selalunya berfungsi lebih baik daripada air kosong kerana produk ini mengandungi pelincir yang dapat membantu mulut anda untuk kekal lembap dengan lebih lama lagi.

  • Guna penyembur hidung saline

Penyembur hidung saline dapat bantu melembapkan dan membersihkan laluan hidung agar anda dapat bernafas dengan selesa melalui hidung anda. Hidung yang kering, tersumbat akan menggalakkan pernafasan melalui mulut.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: November 12, 2019

Rujukan