Sindrom Patah Hati

Oleh

enEnglish

Definisi

Apakah itu Sindrom Patah Hati?

Sindrom patah hati adalah keadaan jantung yang berlaku sementara yang sering disebabkan oleh situasi tertekan, seperti kematian orang yang disayangi. Keadaan ini juga boleh dicetuskan oleh penyakit fizikal atau pembedahan yang serius. Orang yang mengalami sindrom patah hati mungkin mengalami sakit dada secara tiba-tiba atau berfikir bahawa mereka mengalami serangan jantung.

Dalam sindrom patah hati, berlaku gangguan sementara pada fungsi pengepaman jantung anda di satu kawasan di jantung. Selebihnya jantung berfungsi dengan biasa atau dengan kontraksi (pengecutan) yang lebih kuat. Sindrom patah hati mungkin disebabkan oleh tindak balas jantung terhadap peningkatan hormon tekanan.

Keadaan ini juga boleh dipanggil takotsubo kardiomiopati, sindrom penggelembungan apeks atau kardiomiopati tekanan oleh doktor. Simptom-simptom sindrom patah hati boleh dirawat, dan keadaan tersebut biasanya boleh membalik dengan sendiri beberapa hari atau minggu.

Adakah sindrom patah hati biasa berlaku?

Sindrom patah hati adalah keadaan yang jarang berlaku, yang mempengaruhi hanya dua peratus daripada orang yang mengalami masalah jantung. Kebanyakan orang yang mengalami kardiomiopati tekanan adalah wanita berumur 50 tahun ke atas. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom sindrom patah hati?

Simptom-simptom sindrom patah hati adalah:

  • Sakit dada
  • Sesak nafas

Apa-apa sakit dada yang dialami untuk tempoh yang lama atau berterusan boleh menjadi tanda serangan jantung, jadi adalah penting untuk anda memberi perhatian serius dan hubungi 911 jika anda mengalami sakit dada.

Mungkin terdapat beberapa gejala yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang sebarang gejala, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bilakah saya perlu berjumpa dengan doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau gejala yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Langkah yang terbaik adalah untuk membincangkan dengan doktor anda apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Sekiranya anda mengalami sakit dada, denyutan jantung yang sangat cepat atau tidak teratur, atau sesak nafas selepas mengalami tekanan, hubungi bantuan perubatan kecemasan dengan serta-merta.

Punca-punca

Apakah yang menyebabkan sindrom patah hati?

Penyebab sebenar sindrom patah hati tidak jelas. Adalah disangka bahawa peningkatan hormon stres, seperti adrenalin, mungkin merosakkan jantung sesetengah orang buat sementara waktu.

Bagaimana hormon ini mungkin menyakitkan jantung atau sama ada perkara lain yang menyebabkan ini berlaku masih tidak jelas sepenuhnya. Penyempitan sementara arteri besar atau kecil di dalam jantung disyaki memainkan peranan dalam keadaan ini.

Sindrom patah hati sering didahului oleh kejadian fizikal atau kejadian beremosi. Beberapa pencetus berpotensi sindrom patah hati ialah:

  • Berita tidak diingini tentang kematian orang yang disayangi
  • Satu diagnosis perubatan yang menakutkan
  • Penyalahgunaan dadah
  • Kehilangan – atau menang – wang yang banyak
  • Pertelingkahan yang kuat
  • Kejutan jamuan
  • Perlu untuk membuat persembahan di khalayak ramai
  • Kehilangan pekerjaan
  • Perceraian
  • Stresor (tekanan) fizikal, seperti serangan asma, kemalangan kereta atau pembedahan major

Ada juga kemungkinan walaupun jarang bahawa beberapa ubat boleh menyebabkan sindrom patah hati dengan menyebabkan peningkatan hormon tekanan. Ubat yang boleh menyumbang kepada sindrom patah hati termasuk:

  • Epinephrine (EpiPen, EpiPen Jr.), yang digunakan untuk merawat reaksi alahan yang teruk atau serangan asma yang teruk
  • Duloxetine (Cymbalta), ubat yang diberikan untuk merawat masalah saraf pada pesakit diabetes, atau sebagai rawatan untuk kemurungan
  • Venlafaxine (Effexor XR), yang merupakan rawatan untuk kemurungan
  • Levothyroxine (Synthroid, Levoxyl), ubat yang diberikan kepada orang yang kelenjar tiroidnya tidak berfungsi dengan baik

Apakah perbezaan di antara sindrom patah hati dengan serangan jantung?

Serangan jantung umumnya disebabkan oleh penyumbatan lengkap atau hampir lengkap di arteri jantung. Penyumbatan ini disebabkan oleh pembentukan darah beku di kawasan yang menyempit hasil dari mendapan lemak (aterosklerosis) di dinding arteri. Dalam sindrom patah jantung, arteri jantung tidak disekat, walaupun terdapat kemungkinan aliran darah dalam arteri jantung berkurang.

Faktor-faktor risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya untuk mengalami sindrom patah hati?

Terdapat banyak faktor risiko untuk sindrom patah hati, seperti:

  • Keadaan ini lebih kerap menjejaskan wanita berbanding lelaki
  • Kebanyakan orang yang mengalami sindrom patah hati dilihat merupakan orang yang berusia lebih 50 tahun
  • Sejarah keadaan neurologi. Orang yang mempunyai gangguan neurologi, seperti kecederaan kepala atau gangguan sawan (epilepsi) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami sindrom patah hati
  • Sedang atau pernah mengalami gangguan psikiatri. Sekiranya anda mengalami gangguan, seperti kebimbangan atau kemurungan, anda mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami sindrom patah hati

Diagnosis & rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SENTIASA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimanakah sindrom patah hati didiagnosis?

Sekiranya doktor anda mengesyaki anda mengalami sindrom patah hati, doktor akan menjalankan pemeriksaan dan ujian untuk membuat diagnosis:

  • Sejarah peribadi dan pemeriksaan fizikal. Selain pemeriksaan fizikal yang standard, doktor anda akan bertanyakan sejarah perubatan anda, terutamanya sama ada anda pernah mengalami simptom sakit jantung. Orang yang mengalami sindrom patah hati biasanya tidak mempunyai sebarang simptom penyakit jantung sebelum mereka didiagnosis dengan sindrom patah hati. Selain itu, doktor akan bertanyakan jika anda mengalami sebarang tekanan utama baru-baru ini, seperti kematian orang yang disayangi
  • Elektrokardiogram (ECG). Dalam ujian tidak invasif ini, seorang juruteknik akan meletakkan wayar di dada anda yang mencatatkan impuls elektrik yang membuat jantung anda berdenyut. ECG merekodkan isyarat elektrik ini dan boleh membantu doktor mengesan sebarang ketidaknormalan dalam ritma dan struktur jantung anda
  • Doktor anda juga boleh memesan ekokardiogram untuk melihat jika jantung anda kelihatan lebih besar atau mempunyai bentuk yang tidak normal, yang merupakan tanda sindrom patah hati. Ujian tidak invasif ini, yang termasuk menjalankan ultra-bunyi di dada anda, menunjukkan imej terperinci struktur dan fungsi jantung anda. Gelombang ultra-bunyi dihantar dan gema gelombang tersebut direkodkan dengan alat yang dipanggil transduser yang diletakkan di luar badan anda. Komputer menggunakan maklumat dari transduser untuk menghasilkan imej-imej yang bergerak pada monitor video
  • Ujian darah. Kebanyakan orang yang mengalami sindrom patah hati mempunyai peningkatan jumlah enzim tertentu dalam darah mereka. Doktor anda boleh mengarahkan ujian darah untuk memeriksa enzim ini untuk membantu mendiagnosis sindrom patah hati
  • Sinar-X dada. Doktor anda mungkin akan mengarahkan sinar-X dada untuk melihat jika jantung anda kelihatan membesar atau mempunyai bentuk yang tipikal sindrom patah hati atau untuk melihat jika ada masalah di paru-paru anda yang boleh menyebabkan simptom yang anda alami
  • Pengimejan resonans magnetik jantung (MRI). Untuk ujian ini, anda perlu berbaring di atas meja di dalam mesin seperti tiub panjang yang menghasilkan medan magnet. Medan magnet menghasilkan gambar terperinci untuk membantu doktor anda menganalisis jantung anda
  • Angiogram koronari. Semasa angiogram koronari, sejenis pewarna yang dapat dilihat oleh mesin sinar-X disuntik ke dalam saluran darah jantung anda. Kemudian, mesin sinar-X dengan pantas mengambil satu siri gambar (angiogram) yang memberikan pandangan terperinci salur darah anda kepada doktor

Kerana sindrom patah hati sering menyerupai tanda-tanda dan seperti simptom serangan jantung, angiogram koronari dapat dilakukan dengan cepat untuk menyingkirkan serangan jantung. Orang yang mengalami sindrom patah hati biasanya tidak mempunyai sebarang sumbatan dalam saluran darah, sedangkan orang yang mengalami serangan jantung biasanya mempunyai penyumbatan yang boleh dilihat pada angiogram.

Sebaik sahaja jelas bahawa anda tidak mengalami serangan jantung, doktor anda akan memeriksa sama ada tanda-tanda dan gejala anda disebabkan oleh sindrom patah hati

Bagaimanakah sindrom patah hati dirawat?

Tidak ada rawatan standard untuk sindrom patah hati. Rawatannya serupa dengan rawatan untuk serangan jantung sehingga diagnosisnya jelas. Kebanyakan orang akan tinggal di hospital semasa mereka sembuh.

Setelah jelas bahawa sindrom patah hati yang menyebabkan simptom anda, doktor anda mungkin akan mempreskripsikan ubat-ubatan jantung untuk anda ambil semasa berada di hospital, seperti penyekat laku enzim pengubah angiotensin (ACE), penyekat beta atau diuretik. Ubat-ubatan ini membantu mengurangkan beban kerja jantung anda sementara anda sembuh dan boleh membantu mencegah serangan lanjut.

Ramai pesakit pulih sepenuhnya dalam tempoh sebulan atau lebih. Rujuk doktor anda untuk mengetahui tempoh anda perlu terus mengambil ubat ini sebaik sahaja anda pulih, kerana biasanya pengambilan ubat ini boleh dihentikan dalam masa tiga hingga enam bulan.

Prosedur yang sering digunakan untuk merawat serangan jantung, seperti angioplasti belon dan penempatan sten, atau pembedahan, tidak membantu dalam merawat sindrom patah hati. Prosedur ini merawat arteri yang tersumbat, yang bukan penyebab sindrom patah hati. Tetapi, angiografi koronari boleh digunakan untuk mendiagnosis penyebab sakit dada.

Perubahan gaya hidup & remedi di rumah

Apakah beberapa perubahan gaya hidup atau remedi di rumah yang dapat membantu saya menguruskan sindrom patah hati?

Gaya hidup dan remedi di rumah yang berikut mungkin membantu anda menghadapi sindrom patah hati:

Terdapat peluang kecil untuk sindrom patah hati berlaku lagi selepas kejadian kali pertama. Tiada terapi yang terbukti untuk mencegah kejadian berulang.

Ramai doktor mencadangkan rawatan jangka panjang dengan penyekat beta atau ubat-ubatan serupa yang menyekat kesan yang berpotensi merosakkan hormon tekanan di hati. Mengenal pasti dan mengurus tekanan dalam hidup anda mungkin juga penting dalam membantu mencegah sindrom patah hati walaupun buat masa ini belum ada bukti untuk membuktikannya.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Ogos 7, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Ogos 7, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut