Apa itu Sindrom Hiperosmolar Diabetes?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Definisi

Apa itu Sindrom Hiperosmolar Diabetes?

Sindrom hiperosmolar diabetes adalah suatu keadaan serius yang disebabkan oleh paras gula dalam darah yang sangat tinggi. Disebabkan gula dalam darah berlebihan, badan akan bertindak dengan menyingkirkannya ke dalam air kencing anda. Sindrom hiperosmolar diabetes yang tidak dirawat boleh menyebabkan penyahhidratan yang mengancam nyawa. Maka, rawatan segera adalah penting.

Apakah kebarangkalian Sindrom Hiperosmolar Diabetes?

Keadaan ini selalunya berlaku pada pesakit diabetes jenis 2. Sindrom ini lazimnya dicetuskan oleh penyakit atau jangkitan. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Sindrom Hiperosmolar Diabetes?

Tanda-tanda umum bagi sindrom hiperosmolar diabetes adalah:

  • Paras gula dalam darah mencecah 600 miligram per desiliter (mg / dL) atau 33.3 milimol per liter (mmol / L) atau lebih tinggi
  • Dahaga yang berlebihan
  • Mulut kering
  • Sering ke tandas
  • Kulit panas dan kering
  • Demam
  • Mengantuk dan kekeliruan
  • Halusinasi
  • Kehilangan penglihatan
  • Sawan
  • Koma

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu berjumpa doktor jika anda mengalami simptom yang berikut:

  • Paras gula anda berterusan meninggi daripada jangkauan sasaran yang dicadangkan oleh doktor anda
  • Anda mempunyai tanda-tanda sindrom hiperosmolar diabetes, seperti:
    • Dahaga yang berlebihan
    • Kekerapan kencing
    • Kulit panas dan kering
    • Mulut kering
    • Demam

Dapatkan rawatan kecemasan jika:

  • Paras gula anda adalah 400 mg / dL (22.2 mmol / L) atau lebih tinggi dan tidak bertambah baik, walaupun anda mengikuti arahan doktor dalam rawatan. Jangan tunggu sehingga gula anda terlalu tinggi dan boleh menyebabkan sindrom hiperosmolar diabetes
  • Anda mempunyai kekeliruan mental, perubahan penglihatan atau tanda-tanda penyahhidratan lain

Punca

Apakah punca Sindrom Hiperosmolar Diabetes?

Sindrom hiperosmolar diabetes boleh dicetuskan oleh:

  • Penyakit atau jangkitan kuman
  • Tidak mengikuti pelan rawatan diabetes atau mempunyai pelan rawatan yang tidak mencukupi
  • Ubat-ubatan tertentu, seperti pil air (diuretik)

Kadangkala diabetes yang tidak didiagnosis juga boleh mengakibatkan sindrom hiperosmolar diabetes.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Sindrom Hiperosmolar Diabetes?

Terdapat banyak faktor risiko bagi sindrom hiperosmolar diabetes, antaranya:

  • Situasi seperti jangkitan kuman, serangan jantung, strok, atau pembedahan
  • Kegagalan jantung
  • Rasa haus yang melampau
  • Akses kepada air yang terhad (terutama pada penghidap demensia atau yang terlantar atas katil terlalu lama )
  • Umur yang lebih tua
  • Fungsi buah pinggang yang teruk
  • Diabetes yang tidak terkawal, tidak mengikuti pelan rawatan seperti yang diarahkan
  • Menghentikan suntikan insulin atau ubat lain yang menurunkan paras gula dalam darah

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Sindrom Hiperosmolar Diabetes didiagnosis?

Kakitangan kesihatan akan memeriksa anda dan bertanyakan tentang simptom dan riwayat perubatan anda. Pemeriksaan ini mungkin menunjukkan bahawa anda mempunyai:

  • Penyahhidratan yang melampau
  • Demam panas lebih tinggi daripada 38°C
  • Kadar denyutan jantung yang meningkat
  • Tekanan sistolik jantung yang rendah

Antara ujian yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Osmolariti darah (kepekatan)
  • Kadar nitrogen urea darah dan kreatinin
  • Kadar natrium darah
  • Ujian zat keton
  • Gula dalam darah

Penilaian untuk punca-punca sindrom ini mungkin meliputi:

  • Ujian kultur darah
  • X-ray dada
  • Elektrokardiogram (EKG)
  • Analisis urin

Bagaimana pesakit Sindrom Hiperosmolar Diabetes dirawat?

Rawatan kecemasan boleh merawat sindrom hiperosmolar diabetes dalam masa beberapa jam. Rawatan biasanya merangkumi:

  • Cecair intravena untuk penghidratan
  • Insulin intravena untuk mengurangkan paras gula
  • Kalium intravena, dan kadangkala penggantian natrium fosfat untuk membantu sel anda berfungsi dengan betul

Sekiranya anda mempunyai jangkitan kuman, atau keadaan kesihatan yang lain sebagai punca, seperti kegagalan jantung kongestif atau penyakit buah pinggang, keadaan ini akan turut dirawat pada masa yang sama

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Sindrom Hiperosmolar Diabetes?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani sindrom hiperosmolar diabetes:

  • Ketahui gejala-gejala gula tinggi dalam darah . Berhati-hati dengan simptom amaran gula tinggi dalam darah, serta situasi yang membuat anda berisiko untuk mengalami sindrom hiperosmolar, seperti apa-apa penyakit atau jangkitan kuman
  • Pantau paras gula darah anda. Pemantauan yang berterusan akan membantu anda kekal berada dalam julat sasaran anda dan memaklumkan anda jika mencecah tahap yang berbahaya. Rujuk doktor anda tentang berapa kekerapan untuk mengambil bacaan gula. Pemantauan juga perlu lebih kerap dibuat apabila anda sakit
  • Apabila anda sakit, minumlah banyak air. Minum segelas air tanpa kafein, dan bukan alkohol setiap jam sehinggalah anda boleh berjumpa doktor anda
  • Ikuti pelan pengurusan diabetes anda. Makan makanan yang berkhasiat, ambil ubat-ubatan seperti yang diarahkan dan bersenamlah secara teratur
  • Didiklah orang yang tersayang, sahabat dan rakan sekerja. Ajarkan mereka cara-cara mengenali tanda-tanda awal dan simptom paras gula darah yang tinggi, dan seseorang harus memanggil bantuan kecemasan sekiranya anda pengsan
  • Pakai gelang atau kalung ID perubatan. Sekiranya anda tidak sedar, ID tersebut boleh memberikan maklumat yang berharga kepada sahabat, rakan sekerja dan orang lain – termasuklah kakitangan kecemasan
  • Sentiasa cakna terhadap pengambilan vaksin terkini. Dapatkan suntikan influenza tahunan dan minta daripada doktor jika anda memerlukan vaksin pneumococcal, yang melindungi anda daripada radang paru-paru

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 27, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Ogos 28, 2018

Rujukan