Apa itu Sindrom Behcet?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Sindrom Behcet?

Sindrom Behcet merupakan penyakit yang melibatkan vaskulitis, iaitu melibatkan keradangan pembuluh darah. Penyakit ini akan menimbulkan masalah di kebanyakan bahagian anggota tubuh badan. Walaupun punca penyakit masih belum diketahui, penyakit ini telah dikenal pasti sebagai penyakit keradangan multisistemik melibatkan kepelbagaian manifestasi klinikal. Apa yang merumitkan, manifestasi klinikal berbeza di antara kawasan geografi dan semua manifestasi cenderung untuk terjadi dalam keadaan yang berkelompok.

Apakah kebarangkalian Sindrom Behcet?

Sindrom Behcet merupakan keadaan yang jarang berlaku di Amerika Syarikat, tetapi biasa terjadi di kawasan Timur Tengah dan Asia. Penyakit ini akan memberi kesan terutama kepada orang yang berumur 20-an dan 30-an. Diagnosis Behcet boleh mengambil masa yang lama, kerana simptom-simptom yang ditunjukkan boleh datang dan pergi, malah mengambil masa berbulan bahkan bertahun-tahun untuk mempunyai kesemua simptom.

Sila berbincang dengan doktor anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Sindrom Behcet?

Simptom penyakit Behcet adalah berbeza antara setiap individu. Simptom-simptom ini boleh hilang dan berulang kembali dengan sendirinya. Simptom-simptom yang ditunjukkan boleh menjadi kurang teruk dari semasa ke semasa. Bergantung kepada bahagian tubuh badan anda yang terlibat, tanda-tanda dan gejala akan berlaku mengikutnya. Beberapa kawasan yang biasa dijangkiti penyakit Behcet seperti:

Mulut

Luka pada mulut yang menyakitkan yang kelihatan sama seperti kudis kanker merupakan simptom penyakit Behcet yang paling biasa terjadi. Mereka bermula dengan luka yang bulat dan membengkak serta bertukar menjadi ulser yang menyakitkan pada waktu yang singkat. Luka tersebut kebiasaannya sembuh dalam satu hingga tiga minggu walaupun mereka akan terjadi lagi sekali.

Kulit

Masalah kulit mungkin berbeza-beza. Sesetengah individu mungkin mengalami luka seperti jerawat di badan mereka. Selain itu mungkin juga akan mengalami nodul yang sakit dan kemerahan pada kulit mereka, terutama pada bahagian kaki.

Genital

Individu yang mengalami penyakit Behcet mungkin akan menghadapi luka pada alat kelamin mereka. Luka yang terbuka serta kemerahan biasanya berlaku pada skrotum atau vulva. Kebiasaannya luka tersebut sakit dan akan meninggalkan parut.

Mata

Penyakit Behcet akan menyebabkan keradangan pada mata – keadaan yang dipanggil sebagai uveitis. Uveitis akan menyebabkan kemerahan, kesakitan serta pandangan yang kabur satu atau kedua-dua belah mata. Bagi individu yang mempunyai penyakit Behcet, kondisi ini sentiasa datang dan pergi.

Sendi

Sendi yang bengkak dan sakit selalu melibatkan lutut bagi orang yang mempunyai penyakit Behcet. Pergelangan kaki, siku serta pinggang juga akan terlibat. Tanda-tanda serta gejala akan berlarutan selama satu hingga tiga minggu dan akan hilang secara sendirinya.

Sistem vaskular

Keradangan pada salur darah (arteri dan vena) boleh berlaku dalam penyakit Behcet, menyebabkan kemerahan, kesakitan, dan bengkak pada lengan atau kaki apabila terjadinya salur darah yang tersumbat. Keradangan pada arteri besar akan menjerumus kepada komplikasi, seperti aneurisme dan penyempitan atau penyumbatan salur darah.

Sistem penghadaman

Penyakit Behcet boleh menyebabkan tanda-tanda dan gejala yang berlainan pada sistem penghadaman, termasuk sakit perut, cirit-birit dan pendarahan.

Otak

Penyakit Behcet akan menyebabkan keradangan pada otak dan sistem saraf yang akan menyebabkan sakit kepala, demam, hilang keseimbangan atau strok.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mengalami mana-mana tanda dan simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai apa-apa persoalan, sila berunding dengan doktor anda. Setiap tubuh manusia bertindak dengan berbeza. Oleh itu, berbincang dengan doktor anda adalah perkara yang terbaik untuk menentukan apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca Sindrom Behcet?

Sebenarnya, sehingga kini tiada siapa pun yang tahu punca sebenar penyakit Behcet. Tetapi penyakit ini kelihatan seperti gangguan autoimun, yang bermaksud sistem imun badan akan menyerang sebahagian sel-sel yang sihat. Mungkin juga faktor genetik dan alam sekitar memainkan peranannya. Beberapa gen telah dijumpai serta dikaitkan dengan penyakit ini. Sesetengah penyelidik percaya bahawa virus atau bakteria boleh mengakibat penyakit Behcet ini terjadi pada individu yang mempunyai gen-gen yang tertentu yang membuatkan mereka mudah terdedah kepada penyakit Behcet.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Sindrom Behcet?

Terdapat banyak faktor risikonya seperti:

Umur

Penyakit Behcet selalunya akan terjadi pada lelaki dan perempuan yang berumur 20-an dan 30-an, walaupun kanak-kanak serta golongan yang lebih dewasa juga boleh menghadapi penyakit ini.

Tempat tinggal anda

Individu dari negara-negara seperti Timur tengah dan timur jauh, termasuk Turki, Iran, Jepun dan China, lebih cenderung untuk mengalami penyakit Behcet.

Jantina

Penyakit Behcet boleh berlaku pada lelaki dan perempuan akan tetapi biasanya penyakit ini akan berlaku dengan lebih teruk pada lelaki.

Genetik

Mempunyai gen yang tertentu yang berkaitan akan meningkatkan risiko menghadapi penyakit ini.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Sindrom Behcet didiagnosis?

Seperti yang diketahui tiada satu ujian pun yang dapat mendiagnosis secara tepat sama ada anda mengalami penyakit Behcet ataupun tidak. Namun, doktor anda akan merujuk kepada tanda – tanda serta simptom untuk mendiagnosis penyakit Behcet. Doktor anda akan melaksanakan ujian darah dan ujian makmal yang lain untuk mengenal pasti penyakit lain. Doktor anda juga akan menggunakan faktor-faktor lain untuk diagnosis keadaan anda. Kriteria klasifikasi mengandungi:

Luka mulut

Kerana hampir semua orang yang mengalami penyakit Behcet akan mempunyai luka pada mulut, tanda ini secara umumnya diperlukan untuk diagnosis. Kriteria diagnosis memerlukan luka pada mulut telah berulang sekurang-kurangnya tiga kali dalam 12 bulan.

Di samping itu, untuk mendapatkan diagnosis penyakit Behcet, anda mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua tanda tambahan, seperti:

Luka genital

Luka yang berlaku berulang kali memberi idea tentang penyakit Behcet.

Masalah mata

Seorang pakar mata boleh mengenal pasti tanda – tanda keradangan pada mata anda.

Luka kulit

Kemerahan serta luka seperti jerawat mungkin disebabkan oleh penyakit Behcet.

Ujian pathergy yang positif

Dalam ujian pathergy, doktor anda akan mencucuk jarum yang steril ke dalam kulit anda dan akan meneliti kawasan tersebut untuk satu atau dua hari kemudian. Jika pathergy positif, satu gelembung merah akan terbentuk di bawah kulit anda di tempat cucukan jarum tersebut. Ini menunjukkan bahawa sistem imun anda bertindak secara melebih-lebih terhadap kecederaan yang ringan.

Bagaimana pesakit Sindrom Behcet dirawat?

Doktor anda akan bertindak mengawal sebarang tanda-tanda serta gejala yang anda alami yang semakin meningkat dengan ubatan seperti:

Krim kulit, jel serta salap

Ubat kortikostreoid yang topikal akan disapukan keatas kulit serta alat kelamin yang luka untuk mengurangkan keradangan dan kesakitan.

Pencuci mulut

Pencuci mulut yang khas yang mengandungi kortikosteroid dan juga ajen-ajen lain untuk mengurangkan kesakitan mulut akan melegakan ketidakselesaan anda.

Penitis mata

Penitis mata yang mengandungi kortikosteroid atau anti keradangan yang lain boleh melegakan kesakitan serta kemerahan mata anda sekiranya kerandangan tersebut hanya keradangan yang ringan.

Dalam kes penyakit Behcet yang lebih teruk memerlukan rawatan untuk mengawal kerosakan disebabkan oleh penyakit tersebut ketika mereka aktif. Sekiranya anda mengalami penyakit Behcet yang sederhana ke teruk, doktor anda akan memberikan:

Kortikostreoid untuk mengawal keradangan

Beberapa kesan sampingan kortikosteroid termasuk penambahan berat badan, tekanan darah tinggi serta penipisan tulang (osteoporosis)

Ubatan yang melemahkan sistem imun anda

Dengan menghentikan sistem imun anda daripada menyerang tisu-tisu yang sihat, ubat imunosupresif akan mengurangkan keradangan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Sindrom Behcet?

Malangnya tiada langkah pencegahan untuk sindrom Behcet.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 25, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 28, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.