backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Sakit Kepala Kronik

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 07/11/2019

Definisi

Apa itu Sakit Kepala Kronik?

Kebanyakan orang mengalami sakit kepala dari masa ke semasa. Tetapi jika anda mengalami sakit kepala pada hari yang lebih banyak dari biasa, anda mungkin mengalami sakit kepala harian yang kronik.

Sifat tidak henti-henti bagi sakit kepala harian yang kronik menjadikannya di antara keadaan sakit kepala yang paling melumpuhkan. Rawatan awal yang agresif dan pengurusan jangka masa panjang yang mantap dapat mengurangkan kesakitan dan mengakibatkan kurang sakit kepala.

Apakah kebarangkalian Sakit Kepala Kronik?

Sakit kepala kronik adalah sangat biasa. Ia biasanya menjejaskan lebih banyak wanita berbanding lelaki. Sakit kepala kronik boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Sakit Kepala Kronik?

Secara definisi, sakit kepala harian kronik berlaku dalam tempoh 15 hari atau lebih dalam sebulan, sekurang-kurangnya selama tiga bulan. Penyakit kepala harian kronik yang sebenar (primary) tidak disebabkan oleh keadaan lain.

Terdapat sakit jenis kepala harian kronik yang sekejap dan yang bertahan lama. Bagi yang tahan lama, ia berlangsung selama lebih dari empat jam. Antaranya:

  • Migrain kronik.
  • Sakit kepala jenis tegang kronik.
  • Sakit kepala berterusan harian baru.
  • Hemicrania continua.

Migrain kronik

Jenis ini biasanya berlaku pada orang yang mempunyai sejarah episod migrain. Pada tempoh lapan hari atau lebih sebulan, selama sekurang-kurangnya tiga bulan, migrain cenderung untuk mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Mempengaruhi satu sisi atau kedua-dua belah kepala anda.
  • Mempunyai rasa berdenyut-denyut.
  • Menyebabkan kesakitan yang sederhana hingga berat.
  • Bertambah parah dengan aktiviti fizikal rutin.

Dan ia menyebabkan sekurang-kurangnya salah satu daripada yang berikut:

  • Mual, muntah atau kedua-duanya.
  • Sensitiviti kepada cahaya dan bunyi.

Sakit kepala jenis tegang kronik

Sakit kepala ini cenderung mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Mempengaruhi kedua-dua belah kepala anda.
  • Menyebabkan kesakitan yang ringan hingga sederhana.
  • Menyebabkan sakit yang dirasakan sebagai menekan atau mengetatkan, tetapi tidak berdenyut.
  • Tidak bertambah teruk dengan aktiviti fizikal rutin.
  • Sesetengah orang mungkin mempunyai kesakitan pada tengkorak.

Sakit kepala berterusan harian baru

Sakit kepala ini datang secara tiba-tiba, biasanya dialami oleh  orang tanpa sejarah sakit kepala. Mereka menjadi malar dalam tempoh tiga hari selepas sakit kepala pertama. Mereka mempunyai sekurang-kurangnya dua ciri berikut:

  • Biasanya mempengaruhi kedua-dua belah kepala anda.
  • Menyebabkan kesakitan yang dirasakan seperti menekan atau mengetatkan, tetapi tidak berdenyut.
  • Menyebabkan kesakitan yang ringan hingga sederhana.
  • Tidak bertambah teruk dengan aktiviti fizikal rutin

Hemicrania continua

Sakit kepala ini:

  • Hanya menjejaskan satu bahagian kepala anda.
  • Berlaku setiap hari dan berterusan tanpa sebarang tempoh kelegaan.
  • Menyebabkan kesakitan yang sederhana dengan renjatan rasa sakit yang teruk.
  • Memberi respons kepada ubat pelega sakit preskripsi indomethacin (Indocin).
  • Kadangkala menjadi sangat teruk dengan perkembangan simptom seperti migrain.

Di samping itu, sakit kepala hemicrania continua dikaitkan dengan sekurang-kurangnya salah satu daripada berikut:

  • Mata berair atau kemerahan mata pada bahagian yang terjejas.
  • Hidung berair atau tersumbat.
  • Kelopak mata layu atau pupil mengecil.
  • Rasa kegelisahan.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda harus menghubungi doktor anda jika ada yang berikut:

  • Anda biasanya mengalami sakit kepala dua kali atau lebih dalam seminggu.
  • Anda mengambil ubat pelega sakit untuk sakit kepala anda dalam kebanyakan hari.
  • Anda memerlukan lebih daripada dos ubat tahan sakit belian kaunter yang disyorkan untuk melegakan sakit kepala anda.
  • Perubahan pola sakit kepala anda atau ia menjadi lebih teruk.
  • Sakit kepala anda melumpuhkan.

Dapatkan rawatan perubatan segera jika sakit kepala anda:

  • Datang secara mendadak dan teruk.
  • Disertai dengan demam, kekakuan leher, kekeliruan, sawan, penglihatan berganda, kelemahan, kebas atau kesukaran bercakap.
  • Terjadi selepas kecederaan kepala.
  • Menjadi lebih teruk walaupun selepas berehat dan mengambil ubat tahan sakit.

Punca

Apakah punca Sakit Kepala Kronik?

Penyebab sakit kepala harian kronik masih tidak dapat difahami dengan baik. Sakit kepala harian kronik yang sebenar (primary) tidak mempunyai punca asas yang boleh dikenal pasti.

Keadaan yang boleh menyebabkan sakit kepala harian kronik bukan primary termasuklah:

  • Keradangan atau masalah lain dengan saluran darah di dalam dan di sekitar otak, termasuklah strok.
  • Jangkitan, seperti meningitis.
  • Tekanan intrakranial sama ada terlalu tinggi atau terlalu rendah.
  • Barah otak.
  • Kecederaan otak akibat trauma.

Ubat sakit kepala yang berlebihan: Jenis sakit kepala ini biasanya timbul pada orang yang mengalami gangguan sakit kepala secara episod, biasanya migrain atau ketegangan otot, kemudiannya mengambil ubat tahan sakit yang terlalu banyak. Sekiranya anda mengambil ubat tahan sakit – bahkan analgesik belian kaunter – lebih daripada dua hari seminggu (atau sembilan hari sebulan), anda berisiko untuk mengalami sakit kepala lantunan (rebound).

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Sakit Kepala Kronik?

Terdapat banyak faktor risiko bagi sakit kepala kronik, seperti:

  • Kaum wanita.
  • Kebimbangan / keresahan.
  • Kemurungan.
  • Gangguan tidur.
  • Obesiti.
  • Berdengkur.
  • Pengambilan kafein berlebihan.
  • Pengambilan ubat sakit kepala berlebihan.
  • Keadaan sakit kronik yang lain.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Sakit Kepala Kronik didiagnosis?

Doktor mungkin akan memeriksa anda untuk tanda-tanda penyakit, jangkitan atau masalah neurologi. Dia juga akan bertanya mengenai sejarah keadaan sakit kepala anda.

Jika punca sakit kepala anda tidak menentu, doktor anda boleh melaksanakan ujian pengimbasan, seperti imbasan CT atau MRI, untuk mencari punca masalah perubatan ini.

Bagaimana pesakit Sakit Kepala Kronik dirawat?

Rawatan terhadap punca sering kali dapat menghentikan sakit kepala yang kerap. Apabila tiada punca yang dapat dikesan, rawatan akan memberi tumpuan untuk mencegah kesakitan.

Strategi pencegahan adalah berbeza-beza, bergantung kepada jenis sakit kepala yang anda alami dan sama ada penggunaan ubat berlebihan menyumbang kepada keadaan ini. Sekiranya anda mengambil ubat penahan sakit lebih daripada tiga hari seminggu, langkah pertama adalah untuk menghentikan pengambilan ubat ini dengan panduan doktor anda.

Apabila anda sudah bersedia untuk memulakan terapi pencegahan, doktor anda mungkin akan mencadangkan:

  • Antidepresan trisiklik – seperti nortriptyline (Pamelor) – boleh digunakan untuk merawat sakit kepala kronik. Ubat-ubatan ini juga dapat membantu merawat kemurungan, kegelisahan dan gangguan tidur yang sering datang bersama sakit kepala harian kronik.
  • Lain-lain antidepresan, seperti perencat reaksi serotonin selektif (SSRI) fluoxetine (Prozac, Sarafem, dan lain-lain), boleh membantu merawat kemurungan dan kebimbangan, tetapi didapati tidak lebih berkesan daripada plasebo untuk sakit kepala.
  • Penyekat beta. Ubat-ubatan ini, yang biasa digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi, juga merupakan tunjang bagi mencegah episod migrain. Beberapa penyekat beta termasuklah atenolol (Tenormin), metoprolol (Lopressor, Toprol-XL) dan propranolol (Inderal, Innopran XL).
  • Ubat anti-sawan. Beberapa ubat anti-sawan seolah-olah menghalang migrain dan boleh digunakan untuk mencegah sakit kepala harian kronik juga. Antara pilihan termasuklah topiramate (Topamax, Qudexy XR, yang lain), sodium divalproex (Depakote) dan gabapentin (Neurontin, Gralise).
  • Ubat anti-radang bukan steroid preskripsi – seperti sodium naproxen (Anaprox, Naprelan) – boleh membantu, terutamanya jika anda menarik diri daripada penyingkiran kesakitan yang lain. Ia juga boleh digunakan secara berkala apabila sakit kepala lebih teruk.
  • Toksin Botulinum. Suntikan OnabotulinumtoxinA (Botox) memberikan kelegaan bagi sesetengah orang dan mungkin menjadi pilihan untuk mereka yang tidak boleh bertoleransi dengan baik pada ubat harian.

Malangnya, sesetengah sakit kepala harian kronik kekal tahan terhadap semua ubat.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Sakit Kepala Kronik?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani sakit kepala kronik:

  • Akupunktur: teknik purba ini menggunakan jarum halus yang dimasukkan ke dalam beberapa kawasan kulit anda pada titik yang ditentukan. Walaupun hasilnya tidak jelas, beberapa kajian menunjukkan bahawa akupunktur membantu mengurangkan kekerapan dan intensiti sakit kepala kronik.
  • Anda mungkin dapat mengawal sakit kepala dengan menjadi lebih peka terhadap perubahan tindak balas badan yang tertentu, seperti ketegangan otot, denyutan jantung dan suhu kulit.
  • Urutan boleh mengurangkan tekanan, melegakan kesakitan dan menggalakkan pengenduran otot. Walaupun nilainya sebagai rawatan sakit kepala belum dapat ditentukan, urutan mungkin sangat membantu jika anda mempunyai otot yang tegang di belakang kepala, leher dan bahu anda.
  • Herba, vitamin dan mineral. Sesetengah bukti wujud bahawa herba feverfew (daun sedar) dan butterbur boleh menghalang migrain atau mengurangkan keterukannya. Dos riboflavin (vitamin B-2) yang tinggi juga boleh mengurangkan sakit kepala migrain.
  • Suplemen Coenzyme Q10 boleh membantu sesetengah individu. Dan suplemen magnesium sulfat oral boleh mengurangkan frekuensi sakit kepala pada sesetengah orang, walaupun kajian tidak semuanya bersetuju. Rujuk doktor anda untuk mengetahui jika rawatan ini sesuai untuk anda. Jangan gunakan riboflavin (vitamin B-2), feverfew atau butterbur jika anda hamil.
  • Rangsangan elektrik saraf oksipital (occipital). Elektrod berkuasa bateri kecil dipasang secara pembedahan pada bahagian saraf oksipital, yang berada di pangkal leher anda. Elektrod ini akan menghantar denyutan tenaga berterusan kepada saraf untuk meringankan kesakitan. Pendekatan ini lebih dianggap sebagai pemeriksaan.

Sebelum mencuba terapi alternatif atau tambahan, sila bincangkan tentang risiko dan manfaat terapi tersebut dengan doktor anda.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 07/11/2019

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan