backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Sakit Gigi

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 13/09/2019

Definisi

Apa itu Sakit Gigi?

Sakit gigi adalah rasa sakit di dalam, di sekitar gigi dan rahang, di mana kerosakan gigi lazimnya menjadi punca utama. Sakit gigi boleh berlaku dalam banyak cara, ia boleh datang dan pergi dengan cepat atau mungkin bertahan selama beberapa hari. Tahap kesakitan boleh jadi antara ringan hingga teruk. Ia mungkin dirasakan sebagai “ketajaman’ dan boleh mula secara tiba-tiba; ia juga boleh menjadi lebih buruk pada waktu malam, terutamanya apabila anda berbaring.

Apakah kebarangkalian Sakit Gigi?

Masalah kesihatan ini adalah biasa. Ia boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh ditangani dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Sakit Gigi?

Tanda-tanda dan simptom sakit gigi adalah:

  • Kesakitan yang berdenyut atau berterusan. Atau kesakitan yang hanya dirasakan apabila diletakkan tekanan terhadap gigi.
  • Kawasan bengkak di sekitar gigi;
  • Demam atau sakit kepala;
  • Lelehan yang kotor dari bahagian gigi yang dijangkiti.

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda harus menghubungi doktor anda jika mempunyai yang berikut:

  • Sakit yang berterusan melebihi satu atau dua hari;
  • Anda mempunyai demam;
  • Kesakitan yang sangat teruk dan tidak boleh ditanggung
  • Anda mengalami bengkak, kesakitan apabila menggigit, gusi merah atau lelehan yang kotor;
  • Anda mengalami kesukaran bernafas atau menelan;
  • Anda mempunyai sakit telinga, atau sakit ketika membuka mulut.

Punca

Apakah punca Sakit Gigi?

Dalam kebanyakan kanak-kanak dan orang dewasa, penyebab sakit gigi yang paling biasa adalah kerosakan gigi. Kandungan gula dan kanji dalam makanan anda adalah faktor persekitaran yang baik bagi bakteria yang hidup di mulut anda untuk berkembang dengan baik, mengakibatkan pembentukan plak melekit yang melekat pada permukaan gigi anda. Ia seterusnya menghasilkan rongga gigi selepas menipiskan dan menebuk salutan yang keras dan putih di luar gigi anda. Anda mungkin menyedari kerosakan pada mulanya dengan rasa sakit apabila anda makan sesuatu yang manis, sangat sejuk atau sangat panas.

Perkara-perkara lain yang menyebabkan sakit gigi boleh melibatkan:

  • pengumpulan makanan dan puing-puing di antara gigi anda;
  • jangkitan pada akar gigi atau dalam gusi;
  • trauma kepada gigi, termasuk kecederaan atau geseran gigi;
  • gigi atau akar gigi patah secara tiba-tiba;
  • pemecahan dalam gigi yang berlaku dari masa ke masa;
  • pertumbuhan gigi keluar melalui gusi;
  • jangkitan sinus yang mungkin dirasakan sebagai sakit di gigi;
  • gigi bernanah;
  • pergerakan berulang, seperti mengunyah gula-gula getah atau menggeserkan gigi.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Sakit Gigi?

Terdapat banyak faktor risiko untuk sakit gigi, seperti:

  • gangguan pemakanan seperti anoreksia dan / atau bulimia;
  • pengambilan makanan manis;
  • mulut kering;
  • tabiat kebersihan mulut yang kurang baik;
  • kurang flos gigi;
  • pedih ulu hati – paras asid perut yang tinggi boleh mengikis enamel pada gigi;
  • merokok, mengunyah tembakau;
  • beberapa ubat-ubatan dan rawatan kanser.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Sakit Gigi didiagnosis?

Pemeriksaan fizikal akan dijalankan dan sejarah perubatan akan dieksploitasi bagi membantu diagnosis terhadap sakit gigi. Anda boleh ditanya tentang rasa sakit tersebut, seperti waktu ia bermula, keparahan, lokasi, pencetus kesakitan, serta apa yang membuatkannya lebih parah dan lebih baik. Doktor gigi anda akan memeriksa mulut, gigi, gusi, rahang, lidah, tekak, sinus, telinga, hidung dan leher. Dalam sesetengah kes, X-ray serta ujian-ujian lain mungkin diperlukan, bergantung kepada apa yang doktor anda syak menyebabkan sakit gigi anda.

Bagaimana pesakit Sakit Gigi dirawat?

Apabila doktor gigi anda telah menentukan punca sakit gigi, mereka boleh memilih rawatan yang sesuai. Jika gigi berlubang adalah puncanya, doktor gigi anda boleh menampal lubang atau mungkin mencabut gigi tersebut. Jika keadaan anda disebabkan oleh jangkitan pada saraf gigi, apa yang anda perlukan adalah perawatan saluran akar. Antibiotik mungkin diperlukan jika anda mengalami demam atau bengkak pada rahang. Jika penyebabnya adalah tampalan yang longgar atau patah, doktor anda akan membuang tampalan tersebut, mengeluarkan sebarang kerosakan dan meletakkan tampalan baru.

Apabila anda mengalami kesakitan dan keradangan bersama-sama dengan sakit gigi, doktor gigi anda boleh mencadangkan anda menjalani fototerapi dengan laser sejuk, biasanya dibuat bersama dengan rawatan lain. Ubatan penghilang kesakitan belian kaunter dan NSAID juga boleh membantu dalam keadaan ini.

Sekiranya rawatan-rawatan tersebut tidak berfungsi ataupun gigi yang rosak tersebut tersekat di antara gigi lain dan rahang anda, gigi anda mungkin perlu dicabut.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Sakit Gigi?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda mengatasi sakit gigi:

  • Bilas mulut anda dengan air suam;
  • Gunakan flos gigi untuk menyingkirkan apa-apa zarah makanan atau plak yang tersangkut di antara gigi anda;
  • Sapukan minyak bunga cengkih pada sekeping kapas dan sapukan secara langsung ke gigi dan gusi yang sakit untuk menghilangkan rasa sakit di kawasan itu;
  • Letakkan jaram sejuk ke bahagian luar pipi anda jika trauma adalah sebabnya;
  • Hadkan pengambilan makanan dan minuman manis;
  • Gunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida untuk memberus gigi anda sekurang-kurangnya dua kali sehari.
  • Berhenti merokok.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 13/09/2019

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan