Apa itu Purpura Henoch-Schonlein?

Oleh

enEnglish

Definisi

Apa itu Purpura Henoch-Schonlein?

Purpura Henoch-Schonlein (HSP) adalah penyakit autoimun yang menyebabkan keradangan dan pendarahan dalam saluran darah kecil pada kulit, sendi, usus dan buah pinggang.

Keradangan ini, yang dipanggil vaskulitis, boleh menyebabkan saluran darah organ anda kebocoran, yang akan mengakibatkan beberapa simptom.

Apakah kebarangkalian Purpura Henoch-Schonlein?

Purpura Henoch–Schonlein sering berlaku dalam kanak-kanak antara usia 2 hingga 11 tahun, tetapi ia boleh berlaku tanpa mengira usia. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Purpura Henoch-Schonlein?

Simptom umum purpura Henoch-Schonlein ialah:

  • Ruam (purpura): bintik-bintik simetri berwarna merah-ungu, biasanya terdapat pada bahagian belakang, punggung, tangan, dan atas paha dalam anak kecil atau di pergelangan kaki dan bahagian bawah kaki pada kanak-kanak dan orang dewasa yang lebih tua. Ini adalah tanda purpura Henoch-Schonlein yang paling klasik dan universal
  • Sendi bengkak dan sakit (artritis): pesakit dengan HSP sering mengalami radang sendi (sakit dan bengkak) – terutamanya di lutut dan pergelangan kaki. Kesakitan sendi kadangkala mendahului kemunculan ruam tersebut dengan satu atau dua hari sebelumnya tetapi ia akan hilang dan tidak menyebabkan masalah kronik.
  • Gejala gastrousus: sakit perut, loya, muntah atau najis berdarah berkemungkinan berlaku sebelum ruam muncul.
  • Penglibatan buah pinggang: sedikit darah dan protein boleh didapati dalam air kencing kerana buah pinggang terjejas.

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Dalam sesetengah kes, purpura Henoch–Schonlein menyebabkan masalah serius pada usus atau buah pinggang. Temui doktor anda secepat mungkin jika anda atau anak anda mengalami ruam yang bercirikan purpura Henoch–Schonlein.

Punca

Apakah Punca Purpura Henoch-Schonlein?

Dalam purpura Henoch-Schonlein, berlaku keradangan pada sebahagian pembuluh darah kecil yang boleh menyebabkan pendarahan pada kulit, sendi, abdomen dan buah pinggang. Sebab awal keradangan ini tidak dapat dipastikan, berkemungkinan besar disebabkan oleh tindak balas sistem imun yang tidak normal di mana sistem imun tubuh menyerang sel dan organ tubuh sendiri. Hampir 30 hingga 50 peratus kes HSP dialami selepas jangkitan saluran atas pernafasan, seperti selesema, dengan permulaan simptom kira-kira 10 hari. Pencetus HSP termasuklah cacar air, jangkitan streps pada tekak, measles dan hepatitis. Pencetus lain mungkin termasuk ubat-ubatan tertentu, makanan, gigitan serangga atau pendedahan kepada cuaca sejuk.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Purpura Henoch-Schonlein?

Terdapat banyak faktor risiko untuk purpura Henoch-Schonlein, seperti:

  • Usia: penyakit kebiasaannya dialami kanak-kanak dan remaja dengan majoriti kes berlaku dalam kanak-kanak berusia antara 2 hingga 6 tahun.
  • Jantina: purpura Henoch-Schonlein lebih sering berlaku dalam kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.
  • Bangsa: kanak-kanak kulit putih dan berbangsa Asia lebih cenderung mendapat  purpura Henoch-Schonlein berbanding anak kulit hitam.
  • Waktu: purpura Henoch-Schonlein berlaku terutamanya dalam musim luruh, musim sejuk dan musim bunga dan jarang berlaku pada musim panas.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Purpura Henoch-Schonlein didiagnosis?

HSP mudah didiagnosis apabila terdapat semua simptom yang klasik.

Ujian makmal

Walaupun tiada ujian khusus yang dapat mengesahkan purpura Henoch-Schonlein, ujian-ujian tertentu dapat membantu menolak kemungkinan penyakit lain dan memudahkan diagnosis Henoch-Schonlein. Ini termasuklah:

  • Ujian darah: pesakit dengan purpura Henoch-Schonlein sering mempunyai kadar antibodi tertentu yang tidak normal.
  • Ujian air kencing: dilakukan untuk meneliti fungsi buah pinggang.

Biopsi

Jika simptom tidak jelas, doktor anda mungkin akan melakukan biopsi kulit atau buah pinggang.

Ujian pengimejan

Doktor anda mungkin menyarankan ultrabunyi untuk menolak kemungkinan sakit abdomen dan untuk meneliti kemungkinan komplikasi lain, seperti usus tersumbat.

Bagaimana pesakit Purpura Henoch-Schonlein dirawat?

HSP akan reda sendiri selepas sebulan walaupun tanpa rawatan. Beberapa rawatan paliatif yang mungkin disarankan oleh doktor adalah:

Ubat-ubatan

Penggunaan kortikosteroid yang kuat, seperti prednisone, untuk merawat simptom gastrousus atau penyakit ginjal yang teruk dianggap agak kontroversi kerana kesan sampingannya yang serius dan manfaatnya  yang tidak jelas.

Ubat anti-keradangan bukan steroid (NSAIDs) boleh digunakan untuk melegakan kesakitan dan bengkak sendi.

Ubat tahan sakit juga boleh membantu menghadapi rasa sakit. Antibiotik boleh diambil jika terdapat sebarang jangkitan.

Pembedahan

Jika bahagian usus telah terlipat pada diri sendiri atau terkoyak, pembedahan diperlukan untuk membaikinya.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Purpura Henoch-Schonlein?

Kanak-kanak dan orang dewasa dengan purpura Henoch–Schonlein ringan perlu dipastikan berada dalam keadaan selesa sepanjang waktu mereka mempunyai simptom. Rehat yang mencukupi, pengambilan air dan ubat tahan sakit juga boleh membantu.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu April 4, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 4, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda