Apa itu Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa?

Penyakit jantung kongenital (kecacatan jantung kongenital) merupakan satu atau lebih abnormaliti pada struktur jantung anda sejak daripada lahir lagi. Ini merupakan cacat kelahiran yang paling biasa berlaku yang mana boleh mengubah aliran darah yang melalui jantung anda. Kecacatan boleh jadi biasa, di mana tidak menyebabkan sebarang masalah, sehingga yang rumit, di mana boleh menyebabkan komplikasi yang membawa maut.

Kelebihan dalam diagnosis dan rawatan bermakna kebanyakan bayi dahulunya meninggal dunia akibat penyakit jantung kongenital kini boleh hidup dengan baik sehingga dewasa. Walau bagaimanapun, tanda dan simptom keadaan ini boleh berlaku kemudian ketika alam dewasa, bahkan dapat dilihat pada individu yang telah menjalani rawatan ketika kanak-kanak.

Jika anda mempunyai penyakit jantung kongenital, anda mungkin memerlukan penjagaan sepanjang hayat anda. Rujuk dengan doktor anda bagi mengetahui kekerapan anda untuk berjumpa dengan doktor apabila sudah dewasa.

Apakah kebarangkalian Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa?

Simptom-simptom biasa untuk penyakit jantung kongenital bagi orang dewasa ialah:

  • Ritma jantung yang abnormal (aritma).
  • Kulit, bibir dan kuku jari sedikit kebiruan (sianosis).
  • Sesak nafas.
  • Cepat letih selepas melakukan aktiviti fizikal.
  • Bengkak pada tisu atau organ badan (edema).

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom di atas atau mempunyai sebarang soalan, sila rujuk doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak dengan cara yang berbeza. Berbincang dengan doktor mengenai apa yang terbaik untuk situasi anda.

Punca

Apakah punca Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa?

Penyakit jantung kongenital disebabkan oleh sesuatu perkara yang mengganggu pembentukan jantung.

Kebanyakan kes dianggap berlaku apabila terdapat sesuatu perkara yang mengganggu pembentukan jantung ketika minggu kelima kehamilan. Hal ini berlaku apabila jantung sedang membentuk daripada struktur ringkas seperti tiub kepada bentuk yang lebih menyerupai jantung.

Walaupun terdapat perkara yang diketahui boleh meningkatkan risiko penyakit jantung kongenital, namun tiada punca yang jelas dapat dikenal pasti dalam kebanyakkan kes.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa?

Terdapat banyak faktor risiko bagi penyakit jantung kongenital, seperti:

  • Campak German (rubela). Ibu anda mengalami jangkitan rubela ketika hamil boleh mengganggu pembentukan jantung anda.
  • Ibu anda menghidapi diabetes jenis 1 atau 2 mungkin telah mengganggu pembentukan jantung anda. Diabetes gestasi secara umumnya tidak meningkatkan risiko pembentukan kecacatan jantung.
  • Mengambil ubat tertentu ketika hamil boleh menyebabkan kecacatan jantung kongenital atau kecacatan sejak lahir yang lain. Ubat-ubat ini termasuk isotretinoin (Amnesteem, Claravis, lain-lain), digunakan untuk merawat jerawat; dan litium, digunakan untuk merawat gangguan bipolar. Mengambil alkohol ketika hamil juga menyumbang kepada risiko kecacatan jantung.
  • Penyakit jantung kongenital dilihat dapat diwarisi dalam keluarga dan dikaitkan dengan pelbagai sindrom genetik. Contohnya, kanak-kanak yang mengalami Sindrom Down sering mempunyai kecacatan jantung. Ujian genetik dapat mengesan Sindrom Down dan gangguan yang lain ketika perkembangan bayi.
  • Ibu yang merokok ketika hamil akan meningkatkan risiko untuk mempunyai anak yang mengalami kecacatan jantung kongenital.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa didiagnosis?

Bagi mengetahui sama ada anda mempunyai penyakit jantung kongenital atau jika kecacatan jantung kongenital ini telah menyebabkan masalah kesihatan yang sedang dialami, doktor anda akan mengambil sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk mendengar jantung anda menggunakan stetoskop.

Doktor anda kemudiannya akan melakukan ujian, termasuklah:

  • Elektrokardiogram (ECG). Alat ini menyukat rentak dan jumlah aktiviti elektrik jantung anda bagi menentukan sama ada aktiviti elektrik tersebut normal. ECG boleh menunjukkan jika ada bahagian jantung yang membesar.
  • X-ray dada. Gambar-gambar ini boleh membantu doktor untuk menilai jantung dan paru-paru anda dengan lebih lanjut lagi.
  • Gelombang bunyi (ultrasound) menghasilkan gambaran jantung yang sedang bergerak di mana membolehkan doktor untuk mengenal pasti abnormaliti jantung.
  • Ekokardiogram Transesofageal. Sejenis ultrasound istimewa yang boleh menghasilkan gambaran jantung yang memberikan lebih banyak informasi berbanding ekokardiogram biasa. Semasa anda sedang disedatif, doktor anda akan memasukkan alat yang mempunyai prob ultrasound kecil dihujungnya ke dalam tiub yang bersambung antara kerongkong dan perut anda (esofagus).
  • Oximeter nadi. Sensor kecil yang disambungkan ke jari anda boleh menganggarkan jumlah oksigen di dalam darah anda.
  • Ujian stress senaman. Setelah sadap ECG disambungkan pada dada anda, anda akan diminta untuk bersenam di atas pengisar injakan atau basikal pegun supaya doktor dapat melihat paras keadaan dan aktiviti elektrik jantung, kadar degupan jantung serta tekanan darah anda semasa bersenam. Jika anda tidak boleh bersenam, doktor anda akan memberi ubat untuk meningkatkan kadar degupan jantung anda. Ujian stress juga melibatkan ekokardiogram dan sensor istimewa untuk melihat penggunaan oksigen anda.
  • Pengimbas jantung CT atau MRI. Bagi pengimbas jantung CT, anda akan berbaring di atas meja di dalam mesin yang berbentuk donut. Tiub X-ray di dalam mesin tersebut akan berpusing di sekeliling badan anda dan mengumpul gambaran jantung dan paru-paru anda. MRI jantung menggunakan lapangan magnetik dan gelombang radio untuk membentuk gambaran jantung anda. Anda perlu berbaring di atas meja di dalam mesin yang seperti tiub panjang.
  • Pengkateteran jantung. Doktor anda akan menjalankan ujian ini untuk memeriksa aliran darah dan tekanan darah di dalam jantung anda. Anda akan diberi ubat tidur sebelum kateter dimasukkan ke dalam arteri, bermula dari pelipat, tengkuk atau lengan anda. Kateter ini kemudiannya akan dimasukkan sehingga ke jantung anda berpandukan mesin X-ray. Pewarna akan disuntik melalui kateter, dan mesin X-ray akan menghasilkan gambaran jantung dan saluran darah anda. Tekanan di dalam kamar jantung juga boleh disukat menerusi prosedur ini.

Bagaimana pesakit Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa dirawat?

Bergantung kepada keterukan penyakit jantung kongenital anda, rawatan akan difokuskan untuk membetulkan kecacatan jantung kongenital atau menangani komplikasi akibat kecacatan ini. Rawatan mungkin termasuk:

  • Menunggu secara berjaga-jaga. Kecacatan jantung yang minor hanya memerlukan pemeriksaan berkala dengan doktor anda bagi memastikan keadaan anda tidak bertambah teruk. Tanya doktor anda mengenai kekerapan untuk berjumpa dengannya.
  • Kecacatan jantung kongenital yang sederhana boleh dirawat menggunakan ubat yang membantu jantung untuk berfungsi dengan lebih baik. Anda juga mungkin memerlukan ubat untuk mencegah darah beku atau bagi mengawal degupan jantung yang tidak sekata.
  • Peranti jantung boleh implan. Peranti yang boleh membantu mengawal kadar degupan jantung anda (perentak jantung) atau membetulkan degupan jantung tidak sekata yang boleh mengancam nyawa (defibrilator kardioverter boleh implan, atau ICD) boleh bantu merawat beberapa komplikasi yang berkaitan dengan kecacatan jantung kongenital.
  • Prosedur khusus yang menggunakan kateter. Sesetengah kecacatan jantung kongenital boleh dibaiki menggunakan teknik pengkateteran, yang mana membolehkan jantung dibaiki tanpa perlu membuka dada dan jantung melalui pembedahan. Untuk prosedur ini, doktor akan memasukkan tiub nipis (kateter) ke dalam vena kaki dan dibawa ke jantung berpandukan gambaran daripada X-ray. Setelah kateter berada di posisi yang betul, doktor akan memasukkan alat kecil melalui kateter ini bagi membaiki kecacatan tersebut,
  • Pembedahan buka jantung. Jika prosedur kateter tidak dapat membetulkan kecacatan jantung anda, doktor akan mengesyorkan pembedahan buka jantung.
  • Pemindahan jantung. Sekiranya kecacatan jantung yang serius tidak boleh dibaiki, pemindahan jantung mungkin akan menjadi pilihan.

Keperluan penjagaan susulan

Kebanyakan orang dewasa yang mempunyai penyakit jantung kongenital percaya bahawa mereka tidak mempunyai keadaan tersebut lagi atau rawatan yang dilakukan ketika kanak-kanak telah menyembuhkan mereka. Ini mungkin tidak benar, bergantung kepada jenis kecacatan yang dialami.

Jika anda mempunyai penyakit jantung kongenital, bahkan jika anda telah menjalani pembedahan sewaktu kanak-kanak, anda berisiko untuk mengalami komplikasi. Oleh itu, penting untuk anda mempunyai penjagaan susulan seumur hidup, terutamanya jika anda telah menjalani pembedahan pembetulan jantung.

Penjagaan susulan ini boleh jadi seringkas pemeriksaan berkala bersama doktor anda, atau melibatkan saringan berkala bagi mengesan sebarang komplikasi. Penting untuk berbincang mengenai rancangan penjagaan bersama doktor anda dan pastikan anda mengikut semua saranan doktor.

Lebih baik lagi, ahli kardiologi yang telah dilatih untuk merawat orang dewasa yang mempunyai kecacatan jantung kongenital akan menguruskan penjagaan anda.

Penyakit jantung kongenital dan kehamilan

Kehamilan boleh berjaya dilakukan walaupun anda mempunyai penyakit jantung kongenital terutamanya jika kecacatan anda adalah sederhana. Walau bagaimanapun, sesetengah wanita yang mempunyai kecacatan jantung kongenital yang kompleks dinasihatkan supaya tidak hamil.

Sebelum anda hamil, berbincang dengan doktor anda mengenai risiko yang boleh berlaku serta penjagaan khusus yang mungkin diperlukan ketika anda hamil.

Kedua-dua lelaki dan wanita yang mempunyai penyakit jantung kongenital berisiko tinggi untuk mewarisi beberapa bentuk penyakit jantung kongenital kepada anak mereka. Doktor anda mungkin akan menyarankan supaya anda menjalani kaunseling genetik jika anda merancang untuk hamil.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Penyakit Jantung Kongenital bagi Orang Dewasa?

Oleh sebab hanya sedikit sahaja punca penyakit jantung kongenital yang diketahui, tiada cara terbaik untuk mengelakkan daripada mempunyai bayi yang menghidapi keadaan yang sama.

Walau bagaimanapun, jika anda hamil, nasihat berikut boleh membantu mengurangkan risiko:

  • Pastikan anda telah divaksin dengan rubela dan flu.
  • Elakkan meminum alkohol atau mengambil ubat.
  • Ambil 400 mikrogram makanan tambahan folik asid setiap hari semasa trimester pertama (12 minggu pertama) kehamilan anda – ini dapat merendahkan risiko melahirkan anak yang mempunyai penyakit jantung kongenital serta beberapa jenis kecacatan sejak lahir yang lain.
  • Periksa dengan GP atau ahli farmasi anda sebelum mengambil mana-mana ubat ketika kehamilan, termasuk ramuan herba dan ubat yang boleh diperolehi tanpa prekripsi.
  • Elakkan bersentuhan dengan individu yang diketahui mengalami jangkitan.
  • Jika anda menghidapi diabetes, pastikan ianya terkawal.
  • Elakkan daripada terdedah kepada pelarut organik, seperti yang digunakan dalam cucian kering, penipis cat dan penghilang pengilat kuku.

Jika anda mempunyai penyakit jantung kongenital dan hamil, pakar jantung kongenital anda biasanya akan melakukan ekokardiogram (pengimbas jantung) untuk bayi anda sekurang-kurangnya ketika 20 minggu kehamilan. Ini dapat memeriksa sama ada bayi anda mempunyai sebarang bukti penyakit jantung kongenital. Pengimbas ini akan ditambah dalam rutin pengimbas ultrasound antenatal anda.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Jun 5, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.