backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Penyakit Hodgkin

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 20/06/2022

Definisi

Apa itu Penyakit Hodgkin?

Penyakit Hodgkin adalah penyakit limfoma, sejenis kanser darah yang berasal dari sistem limfa. Sistem limfa membantu sistem imun menyingkirkan sisa buangan badan dan melawan jangkitan. Penyakit Hodgkin juga dipanggil limfoma Hodgkin. Penyakit Hodgkin berasal dari sel darah putih yang membantu melindungi anda daripada kuman dan jangkitan. Sel darah putih ini dipanggil limfosit (lymphocyte). Pada pesakit limfoma Hodgkin, sel-sel ini tumbuh secara luar biasa dan merebak ke luar sistem limfa. Apabila penyakit itu semakin berkembang, ia menjadikan tubuh lebih sukar untuk melawan jangkitan.

Terdapat empat tahap umum penyakit Hodgkin:

  • Tahap I (peringkat awal) bermaksud kanser ditemui di satu kawasan nodus (kelenjar) limfa sahaja.
  • Tahap II (penyakit lanjutan setempat) bermaksud kanser ditemui di dua kawasan nodus limfa di satu sisi diafragma – iaitu otot di bawah paru-paru anda. Ia juga mungkin bermaksud bahawa kanser ditemui di satu kawasan nodus limfa serta di dalam satu organ yang berdekatan.
  • Tahap III (penyakit lanjutan/teruk) bermaksud kanser ditemui di kawasan nodus limfa yang terdapat di atas dan di bawah diafragma anda. Ia juga mungkin bermaksud bahawa kanser ditemui di satu kawasan nodus limfa dan dalam satu organ pada sisi yang bertentangan dengan diafragma anda.
  • Tahap IV (penyakit yang meluas) bermaksud kanser turut ditemui di luar nodus limfa dan telah merebak ke bahagian lain badan anda, seperti sum-sum tulang, hati, atau paru-paru.

Apakah kebarangkalian Penyakit Hodgkin?

Penyakit Hodgkin boleh berlaku pada mana-mana lapisan umur, tetapi ia biasanya menjejaskan orang berusia antara 15 hingga 40 tahun, dan orang yang berusia lebih dari 55 tahun.

Walau bagaimanapun, ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Penyakit Hodgkin?

Tanda dan simptom bagi penyakit Hodgkin termasuklah:

  • Nodus limfa yang bengkak namun tidak menyakitkan di leher, ketiak atau pangkal paha
  • Keletihan berterusan
  • Demam dan menggigil
  • Berpeluh pada waktu malam
  • Kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan – sebanyak 10 peratus atau lebih daripada berat badan anda
  • Hilang selera makan
  • Gatal-gatal
  • Peningkatan kepekaan terhadap kesan alkohol atau kesakitan pada nodus limfa anda setelah minum alkohol

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Penyakit Hodgkin?

Sebenarnya apa yang menjadi punca bagi penyakit Hodgkin masih belum jelas. Doktor mengetahui bahawa kebanyakan penyakit Hodgkin berlaku apabila sel yang melawan jangkitan yang dipanggil sel B menghasilkan mutasi dalam DNAnya. Mutasi ini mengakibatkan supaya sel-sel itu terbahagi dan membiak dengan cepat dan terus hidup, walhal sel yang sihat pula akan mati. Mutasi itu akan menyebabkan sejumlah besar sel-sel B yang besar dan tidak normal terkumpul dalam sistem limfa, di mana mereka mendominasi sel-sel yang sihat dan menyebabkan tanda-tanda dan simptom bagi penyakit Hodgkin timbul.

Terdapat pelbagai jenis penyakit Hodgkin yang wujud. Jenis ini ditetapkan berdasarkan jenis sel yang terlibat dalam penyakit anda dan tingkah laku mereka. Jenisnya juga akan menentukan pilihan rawatan yang sesuai untuk anda.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Penyakit Hodgkin?

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko terhadap penyakit Hodgkin termasuklah:

  • Umur: Penyakit Hodgkin paling kerap didiagnosis pada orang berusia antara 15 hingga 30 tahun, dan juga pada usia lebih tua dari 55 tahun.
  • Sejarah keluarga terhadap limfoma: Memiliki ahli keluarga rapat yang mempunyai penyakit limfoma Hodgkin atau penyakit limfoma bukan Hodgkin meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit Hodgkin.
  • Jantina: Lelaki lebih cenderung untuk mempunyai penyakit Hodgkin.
  • Melalui jangkitan Epstein-Barr: Orang yang mengalami penyakit yang disebabkan oleh virus Epstein-Barr, seperti mononukleosis berjangkit, lebih cenderung untuk mendapat penyakit Hodgkin daripada orang yang tidak mempunyai jangkitan Epstein-Barr.
  • Sistem imun yang lemah: Mempunyai sistem imun yang terjejas, seperti daripada HIV / AIDS, ataupun daripada ubat-ubatan untuk merencatkan tindak balas imun selepas menjalani pembedahan pemindahan organ, boleh meningkatkan risiko penyakit Hodgkin.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Penyakit Hodgkin didiagnosis?

Untuk mendiagnosis penyakit Hodgkin, doktor anda akan melakukan pemeriksaan fizikal dan bertanyakan tentang sejarah perubatan anda. Doktor anda juga akan mengarahkan ujian tertentu dilaksanakan untuk membuat diagnosis yang betul. Antara ujian yang boleh dilakukan:

  • Ujian pengimejan, seperti X-ray atau imbasan CT
  • Biopsi nodus limfa, yang melibatkan pengambilan sebahagian kecil daripada tisu nodus limfa untuk menguji kehadiran sel-sel yang tidak normal
  • Ujian darah, seperti kiraan darah lengkap (CBC), untuk mengukur tahap sel darah merah, sel darah putih, dan platelet
  • Immunophenotyping untuk menentukan jenis sel limfoma yang ada
  • Ujian fungsi paru-paru untuk menentukan sejauh mana paru-paru anda berfungsi
  • Ekokardiogram untuk menentukan sejauh mana jantung anda berfungsi
  • Biopsi sumsum tulang, yang melibatkan pengambilan dan pemeriksaan sebahagian kecil daripada sumsum di dalam tulang anda untuk melihat jenis kanser yang telah merebak

Apabila diagnosis penyakit Hodgkin telah dibuat, kanser tersebut akan ditetapkan tahapnya. Penetapan tahap menggambarkan sejauh mana peringkat dan keparahan penyakit. Ia akan membantu doktor menentukan pilihan rawatan dan bacaan seterusnya bagi keadaan anda.

Bagaimana pesakit Penyakit Hodgkin dirawat?

Rawatan untuk penyakit Hodgkin biasanya bergantung kepada tahap penyakit. Pilihan rawatan utama adalah kemoterapi dan penyinaran (radiasi). Terapi penyinaran menggunakan sinaran yang bertenaga tinggi untuk memusnahkan sel-sel kanser. Kemoterapi melibatkan penggunaan ubat-ubatan yang boleh membunuh sel kanser. Ubat kemoterapi boleh diberi secara lisan atau disuntik melalui saluran darah, bergantung kepada jenis ubat tertentu.

Terapi penyinaran semata-mata mungkin mencukupi untuk merawat tahap awal penyakit Hodgkin nodular pradominan limfosit. Sekiranya anda mempunyai jenis penyakit Hodgkin yang ini, anda hanya memerlukan terapi penyinaran kerana ia cenderung untuk tersebar dengan lebih perlahan berbanding penyakit Hodgkin yang klasik. Dalam penyakit peringkat lanjut, ubat terapi yang disasarkan boleh ditambah kepada rejimen kemoterapi anda.

Pemindahan sel stem juga boleh digunakan jika tiada tindak balas terhadap kemoterapi atau terapi penyinaran. Pemindahan sel stem akan membekalkan sel yang sihat, dipanggil sebagai sel stem ke dalam badan anda untuk menggantikan sel-sel kanser dalam sumsum tulang anda.

Selepas rawatan, doktor anda akan mengarahkan supaya lawatan susulan dibuat secara teratur. Pastikan anda menyimpan semua maklumat temu janji perubatan anda dan patuhi arahan doktor anda.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Penyakit Hodgkin?

Tidak ada cara yang diketahui untuk mencegah penyakit Hodgkin. Walau bagaimanapun, anda mungkin boleh mengurangkan risiko penyakit dengan mengelakkan faktor risiko yang diketahui seperti HIV.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 20/06/2022

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan