backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Patah Tulang Rusuk


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 23/08/2023

Definisi

Apa itu Patah Tulang Rusuk?

Tulang rusuk patah adalah kecederaan biasa yang berlaku apabila salah satu tulang di bahagian rusuk anda pecah atau retak. Penyebab yang paling biasa adalah trauma di dada, seperti akibat kejatuhan, kemalangan kenderaan bermotor atau kesan semasa sukan sentuhan.

Kebanyakan kerosakan pada tulang rusuk hanyalah keretakan. Walaupun masih menyakitkan, tulang rusuk yang retak tidaklah begitu berbahaya seperti tulang rusuk yang telah pecah menjadi serpihan yang berasingan. Gerigi tulang rusuk yang pecah boleh merosakkan saluran darah utama atau organ dalaman, seperti paru-paru.

Dalam kebanyakan kes, tulang rusuk patah biasanya sembuh dengan sendiri dalam masa satu atau dua bulan. Kawalan kesakitan yang mencukupi adalah penting agar anda dapat terus bernafas secara mendalam dan mengelakkan komplikasi paru-paru, seperti pneumonia.

Apakah kebarangkalian Patah Tulang Rusuk?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Patah Tulang Rusuk?

Tanda-tanda umum bagi tulang rusuk patah adalah:

  • Rasa sakit apabila batuk, ketawa dan mengambil nafas yang panjang
  • Tekanan di kawasan yang cedera akan menghasilkan kesakitan yang lebih
  • Rasa sakit semakin teruk apabila anda membengkokkan atau memusingkan badan

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Anda harus menghubungi doktor anda jika ada yang berikut:

  • Terdapat bahagian yang sangat menyakitkan di tulang rusuk anda yang muncul sejurus selepas trauma
  • Kesukaran bernafas atau kesakitan dengan pernafasan yang dalam.

Dapatkan rawatan perubatan dengan segera jika anda merasakan tekanan, kesesakan atau rasa sakit yang menekan di tengah dada anda yang berlangsung selama lebih dari beberapa minit atau rasa sakit yang menjangkaui dada dan menuju ke bahu atau lengan anda. Gejala-gejala ini boleh menandakan serangan jantung.

Punca

Apakah punca Patah Tulang Rusuk?

Tulang rusuk patah paling selalunya disebabkan oleh impak secara langsung – seperti yang berlaku akibat kemalangan kenderaan bermotor, terjatuh, penderaan kanak-kanak atau sukan sentuhan. Tulang rusuk juga boleh patah akibat trauma yang berulang dari sukan seperti golf dan mendayung, atau daripada batuk-batuk yang teruk dan berpanjangan.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Patah Tulang Rusuk?

Terdapat banyak faktor risiko bagi tulang rusuk patah, seperti:

  • Mempunyai penyakit di mana tulang anda kehilangan ketumpatannya membuatkan anda lebih mudah terdedah kepada patah tulang.
  • Penyertaan sukan. Kegiatan sukan sentuhan, seperti hoki atau bola sepak, boleh meningkatkan risiko trauma ke dada anda.
  • Lesi kanser di tulang rusuk. Lesi kanser boleh melemahkan tulang, menjadikannya lebih mudah patah dan retak.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Patah Tulang Rusuk didiagnosis?

Doktor anda akan bertanyakan soalan mengenai kecederaan anda dan melakukan ujian fizikal. Doktor juga mungkin akan:

  • Menekan dada anda untuk mengetahui di mana anda kawasan yang patah.
  • Memerhati pernafasan dan mendengar paru-paru anda untuk memastikan udara bergerak masuk dan keluar secara normal.
  • Mendengar pada jantung anda.
  • Memeriksa kepala, leher, tulang belakang dan perut anda untuk memastikan tiada kecederaan lain.

Anda mungkin perlu menjalani pemeriksaan x-ray atau pengimejan lain jika doktor anda tidak pasti tentang simptom anda. Namun tulang rusuk patah tidak selalunya muncul di x-ray. Jadi anda mungkin akan dirawat juga seolah-olah anda mempunyai tulang rusuk patah walaupun x-ray tidak menunjukkan tulang yang patah.

Bagaimana pesakit Patah Tulang Rusuk dirawat?

Kebanyakan tulang rusuk yang patah boleh dirawat di rumah dan akan sembuh dengan sendiri dari masa ke masa. Sementara anda sembuh, rawatan di rumah akan membantu anda menguruskan kesakitan. Kelegaan kesakitan dapat membantu anda berasa lebih baik dan membolehkan anda mengambil nafas dengan lebih dalam.

Tulang rusuk patah biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya 6 minggu untuk sembuh. Untuk membantu menguruskan kesakitan sementara tulang yang patah sembuh:

  • Letakkan ais di kawasan yang cedera.
  • Dapatkan lebih rehat.
  • Ambil ubat tahan sakit seperti aspirin atau ibuprofen. Doktor anda boleh memberikan ubat tahan sakit yang lebih kuat jika ubatan belian kaunter tidak memadai.

Semasa anda sembuh, adalah penting untuk anda batuk atau mengambil nafas sedalam yang anda boleh sekurang-kurangnya sekali dalam satu jam. Ini dapat membantu mencegah keradangan atau penguncupan sebahagian daripada tisu paru-paru.

Jika tulang rusuk anda telah patah, sementara bahagian leher atau belakang anda tidak tercedera, untuk berbaring pada belah yang cedera sebenarnya adalah idea yang baik. Ini mungkin kelihatan aneh pada mulanya, tetapi ia akan membenarkan anda mengambil nafas dengan lebih dalam.

Pada masa dahulu, membalut dengan ketat atau menampal pita pelekat pada kawasan tulang rusuk yang cedera adalah perkara biasa. Tetapi anda tidak sepatutnya melakukan perkara ini, walaupun ia boleh melegakan kesakitan anda. Ini kerana ia boleh menghalang anda daripada mengambil nafas panjang, lalu menyebabkan bahagian paru-paru anda mengempis atau boleh meningkatkan risiko anda terhadap radang paru-paru.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Patah Tulang Rusuk?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani tulang rusuk patah:

  • Mengambil ubat penahan sakit secara berkala, seperti paracetamol dan ibuprofen (aspirin tidak harus diberikan kepada kanak-kanak berumur bawah 16 tahun) – ikut arahan dos penggunaan pada paket
  • Meletakkan pek ais ke dada anda dengan kerap semasa beberapa hari pertama untuk mengurangkan kesakitan dan pembengkakan – beg berisi kacang pis beku dan dibungkus dengan tuala kecil juga boleh digunakan
  • Beristirahat secara berkala – berehatlah daripada kerja jika anda perlu, terutama jika kerja anda melibatkan kegiatan buruh fizikal atau jika kesakitannya teruk
  • Banyak bergerak antara tempoh rehat – berjalan-jalan dan menggerakkan bahu anda kadangkala boleh membantu pernafasan anda dan membantu membersihkan sebarang lendir dari paru-paru anda
  • Memegang bantal untuk menahan dada anda jika anda perlu batuk
  • Menjalankan senaman pernafasan – mengambil 10 nafas yang dalam dan perlahan setiap jam, membiarkan paru-paru anda mengembang sepenuhnya setiap kali, untuk membantu paru-paru anda kekal bersih dan lapang
  • Jangan memasang pembalut dengan ketat pada dada anda, kerana ini akan menghalang paru-paru anda daripada berkembang dengan baik. Cuba untuk mengelakkan diri daripada berbaring atau kaku untuk jangka masa panjang. Tidur dengan lebih tegak untuk beberapa malam pertama juga boleh membantu.
  • Elakkan meneran dan mengangkat objek berat, sehinggalah anda telah berasa sembuh dan lebih baik, kerana anda boleh mencederakan diri anda dengan lebih lanjut dan ia akan mengambil masa yang lebih lama pula untuk pulih. Sekiranya anda merokok, menghentikan tabiat ini boleh membantu pemulihan anda. Dapatkan bantuan untuk berhenti merokok jika perlu.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.


Ditulis oleh Muhammad Ikraam Abdul Latif · Disemak pada 23/08/2023

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan