Apa itu Patah Tulang Pinggul?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Patah Tulang Pinggul?

Patah tulang pinggul ialah keretakan atau patahnya bahagian atas tulang femur (paha). Tahap keretakan tersebut bergantung kepada daya yang menyebabkan keretakan tersebut. Patah tulang pinggul adalah kecederaan yang serius yang boleh membawa perubahan besar kepada kehidupan seseorang terutamanya bagi mereka yang tua.

Patah tulang pinggul akan mengurangkan keupayaan menjalankan aktiviti fizikal dan mengubah hidup anda dengan ketara. Kira-kira separuh daripada mereka yang mengalami patah tulang pinggul tidak dapat menjalani hidup berdikari.

Apakah kebarangkalian Patah Tulang Pinggul?

Patah tulang pinggul berlaku kepada kira-kira 341,000 orang di Amerika Syarikat setiap tahun. Kadar patah tulang pinggul meningkat dengan usia, dua kali ganda setiap 5-6 tahun selepas usia 60 tahun.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Patah Tulang Pinggul?

Tanda-tanda dan simptom patah tulang pinggul termasuklah:

  • Ketidakupayaan untuk bergerak serta-merta selepas jatuh;
  • Kesakitan yang teruk di pinggul atau pangkal paha anda;
  • Ketidakupayaan untuk meletakkan berat badan pada sisi peha yang cedera;
  • Kekejangan, lebam dan bengkak pada dan sekitar kawasan pinggul anda;
  • Panjang kaki yang tidak sama rata, biasanya bahagian yang cedera lebih pendek daripada sisi lain;
  • Kaki pada sisi peha yang cedera dalam posisi ke luar.

Simptom ini adalah yang paling biasa berlaku selepas jatuh tetapi jika anda mempunyai tulang yang sangat nipis kerana osteoporosis atau masalah lain, patah tulang pinggul boleh berlaku tanpa peristiwa jatuh.

Jika patah tulang pinggul menyebabkan anda tidak dapat bergerak untuk tempoh masa yang lama, komplikasi yang akan berlaku ialah:

  • Darah beku pada kaki atau paru-paru anda;
  • Ulser (bedsores);
  • Jangkitan saluran kencing;
  • Pneumonia;
  • Isi otot makin berkurangan, meningkatkan lagi risiko jatuh dan kecederaan.

Selain itu, mereka yang pernah mengalami patah tulang pinggul berkemungkinan mengalaminya lagi kerana mempunyai risiko tulang lemah dan kejadian jatuh lagi.

Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan, sila rujuk doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda atau simptom yang disenaraikan di atas, sila pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin. Panggil ambulans dan cuba untuk memastikan anda selesa sementara menunggu. Selain itu, jika anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda.

Punca

Apakah Punca Patah Tulang Pinggul?

Patah tulang pinggul berlaku disebabkan impak yang kuat kepada pinggul anda, seperti kemalangan kereta atau jatuh. Patah tulang pinggul boleh berlaku kepada semua orang tanpa mengira usia. Dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua, memandangkan tulang mereka lemah akibat penuaan, patah tulang pinggul boleh berlaku kerana terjatuh daripada keadaan berdiri. Manakala pada mereka yang memiliki tulang yang sangat lemah, patah tulang pinggul boleh berlaku hanya dengan berdiri dan berpusing.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Patah Tulang Pinggul?

Terdapat banyak faktor lain yang meningkatkan risiko tulang pinggul patah termasuklah:

  • Perempuan;
  • Peningkatan umur meningkatkan risiko mengalami patah tulang pinggul;
  • Sejarah kesihatan keluarga, jika anda kurus atau tinggi atau mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalaminya, anda lebih berisiko mengalami patah tulang pinggul;
  • Tidak mendapat kalsium dan vitamin D yang mencukupi;
  • Tidak aktif. Senaman seperti berjalan, membantu mengekalkan tulang yang kuat;
  • Merokok;
  • Keadaan perubatan yang menyebabkan pening atau masalah dengan kestabilan badan, atau keadaan seperti artritis yang boleh mengganggu pergerakan;
  • Mengambil ubat-ubatan tertentu, seperti ubat-ubatan steroid jangka panjang digunakan untuk merawat asma atau COPD.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Patah Tulang Pinggul didiagnosis?

Doktor anda akan memeriksa keadaan fizikal pinggul anda terlebih dahulu. Kemudian, ujian pengimejan akan digunakan untuk memeriksa keadaan tulang anda. Anda mungkin akan menjalani ujian seperti:

  • MRI, yang memberikan imej tulang dan tisu lembut dengan lebih baik.
  • Imbasan CT, cara lain untuk mendapatkan imej yang lebih terperinci.
  • Imbasan tulang, yang melibatkan suntikan pewarna sebelum imej diambil. Ia boleh menunjukkan patah jenis hairline, di mana tulang anda retak tetapi masih berada di tempatnya.

Bagaimana pesakit Patah Tulang Pinggul dirawat?

Rawatan yang paling berkesan untuk patah tulang pinggul adalah pembedahan. Pembedahan yang dilakukan dalam masa 24 jam selepas diagnosis boleh membantu memendekkan waktu  anda di hospital dan mengurangkan kesakitan dan komplikasi. Jika anda mempunyai masalah perubatan lain, pembedahan akan ditangguhkan 1 hingga 2 hari supaya masalah perubatan yang lain boleh dirawat terlebih dahulu.

Setelah penilaian yang teliti, doktor akan membantu anda memilih rawatan yang sesuai. Jenis pembedahan yang perlu anda jalani bergantung kepada tempat dan keterukan keadaan. Pembedahan yang mungkin anda jalani termasuklah:

  • Pembedahan membaiki tulang pinggul: Pembedahan ini biasanya dipilih jika tulang boleh diletakkan kembali dengan betul.
  • Pembedahan mengganti tulang pinggul: Penggantian tulang pinggul dilakukan apabila tulang tersebut tidak boleh diletakkan kembali dengan betul.

Patah tulang pinggul mungkin mengambil masa untuk disembuhkan. Anda harus mengelakkan melakukan aktiviti sepanjang tempoh rawatan. Jadi untuk sementara waktu, anda mungkin perlu berada dalam rumah jagaan atau pusat pemulihan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Patah Tulang Pinggul?

Doktor akan menggalakkan anda mengambil bahagian dalam program pemulihan seperti terapi fizikal dan terapi pekerjaan.

Walaupun tulang semua orang menjadi lebih lemah apabila semakin tua, mengamalkan gaya hidup yang sihat semasa muda boleh membantu mengurangkan risiko patah tulang pinggul di kemudian hari. Untuk mengelakkan jatuh dan mengekalkan tulang yang sihat:

  • Dapatkan kalsium dan vitamin D yang mencukupi Lelaki dan wanita yang berumur 50 tahun ke atas perlu mengambil 1,200 miligram kalsium sehari, dan 600 unit antarabangsa (International Unit) vitamin D sehari.
  • Senaman untuk menguatkan tulang dan meningkatkan keseimbangan. Mengamalkan senaman secara teratur dapat membantu anda meningkatkan kekuatan dan keseimbangan anda lantas mengurangkan risiko jatuh.
  • Elakkan merokok atau minum berlebihan. Tembakau dan penggunaan alkohol boleh mengurangkan kepadatan tulang. Minum terlalu banyak alkohol juga boleh menjejaskan keseimbangan anda dan membuat anda lebih cenderung untuk jatuh.
  • Pastikan rumah anda selamat daripada risiko. Elak penggunaan permaidani, pastikan wayar elektrik tidak berselirat, dan alihkan perabot dan sebarang perkara yang boleh menyebabkan anda tersandung. Pastikan setiap bilik dan laluan adalah terang.
  • Lakukan pemeriksaan mata. Jalani pemeriksaan mata setiap tahun, atau lebih kerap lagi jika anda mempunyai diabetes atau penyakit mata.
  • Perhatikan kesan sampingan ubat anda. Rasa lemah dan pening, yang merupakan kesan sampingan bagi banyak ubat boleh meningkatkan risiko jatuh. Bincanglah dengan doktor anda tentang kesan sampingan ubat anda.
  • Berdiri perlahan-lahan. Bangun terlalu cepat boleh menyebabkan tekanan darah turun dan membuatkan anda berasa goyah.
  • Menggunakan tongkat atau walker. Jika anda berasa tidak stabil apabila berjalan, tanya doktor atau ahli terapi pekerjaan sama ada alat-alat ini boleh membantu.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mac 28, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.