Apa itu Patah Tulang Pangkal Lengan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Patah Tulang Pangkal Lengan?

Humerus adalah sejenis tulang yang menghubungkan antara sendi bahu dan sendi siku.

Dalam keadaan yang sihat, kebanyakan keretakan humerus berlaku disebabkan oleh pukulan langsung ke pangkal lengan. Ini selalunya disebabkan oleh kemalangan kenderaan bermotor atau kejatuhan dari tempat tinggi. Ada kalanya humerus boleh patah kerana pemusingan pangkal lengan yang teruk, terjatuh pada lengan yang terentang keluar, atau pengecutan otot pangkal lengan yang ekstrem.

Jika keretakan tulang berlaku kerana pengecutan otot yang melampau, garis patah akan didapati melingkar di sekeliling tulang. Ini kadang-kadang dipanggil “keretakan pilin” (spiral fracture) atau “keretakan pembaling bola” (ball thrower’s fracture). Kecederaan jenis ini agak jarang berlaku.

Sekiranya humerus patah disebabkan oleh perlanggaran atau kejatuhan berimpak kecil, ini mungkin bermakna tulang tersebut telah lemah akibat penyakit, seperti osteoporosis atau kanser. Ini dipanggil keretakan patologi. Keretakan yang berkaitan dengan kanser tulang pangkal lengan lebih cenderung berlaku pada orang tua. Keretakan yang berkaitan dengan trauma pada humerus pula lebih cenderung memberi kesan kepada orang muda.

Apakah kebarangkalian Patah Tulang Pangkal Lengan?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Patah Tulang Pangkal Lengan?

Sekiranya anda terjatuh atau terhentak pada pangkal lengan anda, anda mungkin boleh merasai atau mendengar bunyi berderak ataupun bunyi retak.

Simptom utama adalah rasa sakit, yang akan menjadi lebih parah jika anda cuba menggerakkan lengan anda. Pangkal lengan yang patah (keretakan humerus) boleh menjadi sangat menyakitkan, sehingga anda mungkin merasa tidak selesa, pening atau pengsan.

Simptom lain dari pangkal lengan yang patah adalah:

  • Anda tidak dapat menggunakan lengan anda.
  • Siku atau pangkal lengan mungkin bengkak.
  • Siku atau pangkal lengan anda mungkin lebam.
  • Jika ia patah dengan sangat teruk, lengan anda mungkin mempunyai bentuk yang berbeza.
  • Anda mungkin akan perasan rasa kesemutan atau kebas.
  • Mungkin pendarahan berlaku jika tulang yang patah (atau impak kejatuhan anda) telah merosakkan permukaan kulit.

Sekiranya bahu anda telah terkehel pada waktu yang sama dengan patah tulang pangkal lengan anda, bahu anda akan kelihatan cacat dan bukan pada tempatnya. Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Hubungi doktor anda jika lengan anda sakit dengan teruk selepas berlakunya kecederaan. Doktor boleh menentukan sama ada tulang anda patah atau tidak.

Anda juga harus berjumpa profesional penjagaan kesihatan selepas sebarang kecederaan yang menyebabkan rasa kebas atau kelemahan di tangan mahupun pergelangan tangan. Ini adalah penting walaupun kecederaan itu sendiri tampak ringan dan kecil.

Punca

Apakah punca Patah Tulang Pangkal Lengan?

Jika pangkal lengan anda patah, biasanya ia berlaku selepas terjatuh pada siku atau bahu anda, ataupun selepas pukulan dengan sesuatu yang keras, seperti dilanggar oleh sebuah kereta. Terjatuh pada siku atau bahu anda mungkin boleh menyebabkan pangkal lengan patah (keretakan humerus). Pangkal lengan anda juga boleh patah dengan terjatuh pada tangan apabila lengan anda sedang lurus, terutamanya jika terjatuh pada arah sebelah yang cedera.

Sekiranya anda adalah warga tua, anda mungkin telah mengalami keadaan ‘penipisan’ tulang (osteoporosis). Ini menjadikannya lebih berkemungkinan untuk pangkal lengan anda patah walaupun berikutan kejatuhan atau kemalangan yang kecil. Kadangkala pangkal lengan anda juga boleh patah akibat mengalami sejenis kanser yang menjejaskan tulang, dan telah membuatnya menjadi rapuh sehingga ia mudah retak. Ini dipanggil keretakan patologi.

Pada kanak-kanak yang masih kecil, tulang pangkal lengan mereka terutamanya pada batangnya boleh patah akibat penderaan, dengan memukul atau melempar mereka dengan kuat.

Orang muda yang mengalami pematahan pada bahagian atas pangkal lengan mereka (keretakan proksimal) lebih cenderung untuk mengalami bahu terkehel berbanding orang tua. Ini kerana jumlah daya kekuatan yang diperlukan untuk mematahkan lengan orang muda adalah besar, menyebabkan kerosakan lain juga lebih cenderung berlaku.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Patah Tulang Pangkal Lengan?

Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Patah Tulang Pangkal Lengan didiagnosis?

Doktor akan meneliti tanda-tanda dan simptom anda. Beliau boleh bertanyakan berkenaan:

  • Bagaimana dan bila kecederaan anda berlaku
  • Sejarah perubatan anda, terutamanya sebarang sejarah kecederaan sebelumnya pada lengan anda, termasuk bahu, siku dan pergelangan tangan anda
  • Anggaran tarikh imunisasi tetanus terakhir anda, jika kecederaan anda membuat koyakan pada kulit

Doktor anda akan membandingkan lengan yang tercedera dengan lengan anda yang elok anda. Dia akan memeriksa tanda-tanda:

  • Bengkak
  • Kecacatan
  • Luka geseran
  • Lebam
  • Pergerakan yang terhad

Doktor anda akan menekan dengan perlahan-lahan dan merasakan sepanjang lengan anda untuk mengenal pasti kawasan kecederaan.

Doktor anda juga akan merasakan nadi anda, memeriksa deria sentuhan dan menguji keupayaan anda untuk menggerakkan lengan dan tangan anda. Ini akan membantu menentukan sama ada terdapat serpihan tulang patah yang tajam telah merosakkan mana-mana saluran darah atau saraf dalam tangan anda.

Doktor akan mengarahkan pemeriksaan x-ray bagi tulang yang cedera. Kadang-kadang x-ray tambahan pada sendi di atas dan di bawah kawasan patah akan turut dilaksanakan. X-ray akan mengesahkan lokasi dan tahap keterukan keretakan anda.

Bagaimana pesakit Patah Tulang Pangkal Lengan dirawat?

Kebanyakan keretakan humerus boleh dirawat tanpa pembedahan. Lengan boleh sembuh dengan baik selepas ia dihalang pergerakannya dengan kas plaster, penyangga khas atau pendakap berfungsi.

Pembedahan mungkin diperlukan untuk pematahan yang lebih teruk, atau mana-mana pematahan terbuka dengan tulang yang terdedah keluar. Humerus akan dibaiki dengan plat dan skru, atau rod logam. Sekiranya anda mengalami fraktur terbuka, anda akan diberikan antibiotik secara intravena (ke dalam vena). Antibiotik akan membantu mencegah jangkitan pada tulang yang terdedah atau tisu yang berdekatan.

Apabila humerus yang patah mula sembuh, anda akan memerlukan terapi fizikal. Terapi fizikal membantu mengembalikan kekuatan normal ke otot lengan anda. Ia juga mengembalikan pelbagai gerakan normal pada sendi siku dan bahu anda. Kursus terapi fizikal untuk keretakan humerus biasanya mengambil masa beberapa bulan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Patah Tulang Pangkal Lengan?

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Mei 31, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 31, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.