Apa itu Patah Hidung?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apa itu Patah Hidung?

Hidung yang patah, juga dikenali sebagai keretakan hidung, adalah pemecahan atau keretakan pada tulang di hidung anda – selalunya tulang di bahagian atas batang hidung anda.

Penyebab biasa hidung patah termasuklah sukan sentuhan, pergaduhan fizikal, terjatuh dan kemalangan kenderaan bermotor yang melibatkan trauma pada muka. Hidung yang patah dapat menyebabkan rasa sakit, bersama dengan pembengkakan dan lebam di sekitar hidung dan di bawah mata anda. Hidung anda mungkin kelihatan bengkok, dan anda mungkin akan menghadapi masalah bernafas.

Rawatan untuk hidung patah mungkin melibatkan prosedur untuk menyusun semula hidung anda. Pembedahan selalunya tidak diperlukan untuk hidung patah.

Apakah kebarangkalian Patah Hidung?

Hidung patah adalah kecederaan yang lazim. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Patah Hidung?

Tanda-tanda umum bagi hidung patah adalah:

  • Sakit atau pedih, terutamanya apabila hidung anda disentuh
  • Bengkak hidung dan kawasan sekitarnya
  • Pendarahan dari hidung anda
  • Lebam di sekitar hidung atau mata anda
  • Hidung yang bengkok atau senget
  • Kesukaran bernafas melalui hidung anda
  • Lelehan lendir dari hidung anda
  • Rasa bahawa satu atau kedua-dua saluran hidung anda tersumbat

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda harus menghubungi doktor anda jika ada yang berikut:

  • Kecederaan kepala atau leher, yang mungkin ditandakan dengan sakit kepala yang teruk, sakit leher, muntah atau ketidaksedaran
  • Kesukaran bernafas
  • Pendarahan yang tidak berhenti
  • Perubahan ketara dalam bentuk hidung anda yang tidak berkaitan dengan pembengkakan, seperti rupa yang bengkok atau senget
  • Lelehan berair yang jernih mengalir dari hidung anda

Punca

Apakah punca Patah Hidung?

Impak yang tiba-tiba ke hidung anda adalah punca yang paling biasa bagi hidung patah. Hidung patah juga sering berlaku dengan kecederaan muka atau leher yang lain. Penyebab umum hidung patah termasuklah:

  • Terhantuk muka ke dinding
  • Jatuh tersembam ke bawah
  • Pukulan di hidung semasa sukan sentuhan
  • Kemalangan kenderaan bermotor
  • Ditumbuk atau ditendang pada hidung

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Patah Hidung?

Terdapat banyak faktor risiko bagi hidung patah, seperti:

  • Bermain sukan bersentuh, seperti bola sepak dan hoki, terutamanya tanpa topi keledar yang mempunyai topeng muka
  • Terlibat dalam pergaduhan fizikal
  • Menunggang basikal
  • Mengangkat berat, terutamanya jika tiada pengawas
  • Menunggang dalam kenderaan bermotor, terutamanya tanpa tali pinggang keledar

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Patah Hidung didiagnosis?

Doktor biasanya boleh mendiagnosis hidung patah dengan melakukan pemeriksaan fizikal. Ini termasuklah melihat dan menyentuh hidung serta muka anda. Sekiranya anda mengalami banyak kesakitan, doktor anda mungkin akan menggunakan anestetik setempat untuk melalikan hidung anda sebelum pemeriksaan fizikal.

Doktor anda mungkin akan meminta anda kembali dalam masa dua atau tiga hari sebaik sahaja bengkak telah surut untuk lebih mudah melihat kecederaan anda. Sekiranya kecederaan hidung anda teruk atau diiringi oleh kecederaan muka lain, doktor anda boleh melaksanakan pemeriksaan X-ray atau CT. Ia berupaya membantu menentukan sejauh mana kerosakan pada hidung dan muka anda.

Bagaimana pesakit Patah Hidung dirawat?

Sekiranya anda mengalami keretakan kecil yang tidak menyebabkan hidung menjadi bengkok atau berubah bentuk, anda mungkin tidak memerlukan rawatan perubatan profesional. Doktor anda boleh mengesyorkan langkah penjagaan diri yang mudah, seperti menggunakan ais di kawasan yang cedera dan mengambil ubat tahan sakit belian kaunter.

Memperbaiki anjakan dan kerosakan

Doktor anda mungkin boleh menyusun semula hidung anda secara manual, atau anda mungkin akan memerlukan pembedahan.

Penyusunan semula secara manual

Jika kerosakan telah mengalihkan tulang dan tulang rawan di hidung anda, doktor anda mungkin dapat menyusun semula secara manual. Ini perlu dilakukan dalam masa 14 hari dari masa patah berlaku, lebih awal lebih baik.

Semasa prosedur ini, doktor anda akan:

  • Memberikan ubat dengan suntikan atau semburan hidung untuk mengurangkan ketidakselesaan
  • Membuka hidung anda dengan spekulum hidung
  • Menggunakan instrumen khas untuk membantu menyusun semula tulang dan tulang rawan hidung anda

Doktor anda juga akan mengampu/menyokong hidung anda menggunakan sumbatan di hidung anda dan balutan di luar. Kadang-kadang, sokongan dalaman juga diperlukan untuk masa yang singkat. Sumbatan biasanya perlu dibiarkan selama seminggu. Anda juga akan diberi preskripsi ubat untuk antibiotik bagi mencegah jangkitan bakteria yang biasanya berada di hidung anda.

Pembedahan

Kerosakan yang teruk, banyak, atau yang tidak dirawat selama lebih dari 14 hari mungkin tidak sesuai untuk penyusunan semula secara manual. Dalam kes-kes ini, pembedahan untuk menyusun semula tulang dan membentuk semula hidung anda mungkin diperlukan.

Sekiranya kepatahan telah merosakkan septum hidung anda, menyebabkan halangan atau kesukaran bernafas, pembedahan pembentukan semula boleh dicadangkan. Pembedahan biasanya dilakukan pada klinik pesakit luar.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Patah Hidung?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani hidung patah:

  • Bertindak dengan cepat. Apabila kepatahan pertama berlaku, sila bernafas melalui mulut anda dan bersandar ke hadapan untuk mengurangkan jumlah darah yang mengalir ke dalam kerongkong anda.
  • Gunakan ais. Letakkan pek ais atau jaram sejuk segera selepas kecederaan, dan kemudian sekurang-kurangnya empat kali sehari untuk 24 hingga 48 jam pertama, bagi mengurangkan bengkak. Letakkan ais atau jaram sejuk selama 10 hingga 15 minit pada satu masa. Balutkan ais dalam kain untuk mengelakkan luka beku. Cuba untuk tidak menggunakan terlalu banyak tekanan, yang boleh menyebabkan kesakitan atau kerosakan tambahan pada hidung anda.
  • Melegakan kesakitan. Ambil ubat pelega kesakitan belian kaunter, seperti acetaminophen (Tylenol, dan lain-lain), ibuprofen (Advil, Motrin IB, dan lain-lain) atau natrium naproxen (Aleve, dan lain-lain), seperti yang diperlukan.
  • Tinggikan kepala anda. Meninggikan kepala anda – terutamanya apabila tidur – supaya tidak memburukkan lagi bengkak dan rasa berdenyut-denyut.
  • Hadkan aktiviti anda. Untuk dua minggu pertama selepas rawatan, jangan terlibat dalam sebarang sukan. Elakkan sukan sentuhan selama sekurang-kurangnya enam minggu selepas kecederaan anda.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 27, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019