Apa itu Okulomikosis?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Okulomikosis?

Okulomikosis adalah sejenis jangkitan kulat pada mata. Jangkitan mata boleh disebabkan oleh pelbagai jenis bahan rengsa, termasuk bakteria, virus, amoeba, dan kulat. Jangkitan mata yang disebabkan oleh kulat sangat jarang berlaku, tetapi boleh menjadi sangat serius. Hal ini kerana, jangkitan kulat boleh menjejaskan bahagian mata yang berlainan.


Terdapat dua jenis okulomikosis yang utama:

  • Keratitis: Ini adalah jangkitan lapisan hadapan yang jernih (kornea).
  • Endophthalmitis: Ini adalah jangkitan di bahagian dalam mata (vitreous dan / atau aqueous humor). Terdapat dua jenis endophthalmitis: eksogen dan endogen. Endophthalmitis eksogen berlaku selepas spora kulat memasuki mata dari sumber luar. Endophthalmitis endogen terjadi apabila berlaku jangkitan dalam darah (contohnya, candidemia) yang merebak ke satu atau kedua-dua belah mata.

Apakah kebarangkalian Okulomikosis?

Keadaan ini boleh berlaku di semua peringkat umur, tetapi ia dianggap lebih kerap pada usia lebih dari 50 tahun.


Walau bagaimanapun, ia boleh dielakkan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Okulomikosis?

Bagi orang yang telah terdedah kepada jangkitan kulat pada mata, gejala jangkitan kulat boleh muncul pada bila-bila masa dari beberapa hari hingga beberapa minggu selepas kulat memasuki mata. Simptom ini adalah sama dengan simptom jangkitan mata yang lain (seperti yang disebabkan oleh bakteria) iaitu:

  • Sakit mata
  • Mata merah
  • Penglihatan yang kabur
  • Silau terhadap cahaya
  • Air mata keluar berlebihan
  • Tahi mata berlebihan

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis dan rawatan awal boleh mengelakkan keadaan ini daripada menjadi lebih buruk dan mencegah keadaan kecemasan lain, jadi sila berhubung dengan doktor anda secepat mungkin untuk mencegah keadaan dari menjadi lebih serius.


Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas, atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Oleh itu, adalah yang terbaik untuk berbincang dengan doktor apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah Punca Okulomikosis?

Terdapat banyak jenis kulat boleh menyebabkan jangkitan mata. Antara jenis-jenis yang biasa ditemui adalah:

  • Fusarium: Kulat yang hidup di alam sekitar, terutamanya dalam tanah dan tumbuh-tumbuhan.
  • Aspergillus: Kulat biasa yang hidup dalam persekitaran dalaman dan luaran
  • Candida: Sejenis ragi yang biasanya hidup di atas permukaan kulit manusia dan di lapisan pelindung dalam badan yang dipanggil membran mukus.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Okulomikosis?

Anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk penyakit ini jika anda mengalami keadaan seperti berikut:

  • Kecederaan mata, terutamanya disebabkan oleh bahan tumbuhan (contohnya, duri atau dahan pokok)
  • Pembedahan mata (contoh paling biasa, pembedahan katarak)
  • Penyakit mata kronik yang melibatkan lapisan permukaan mata
  • Memakai kanta sentuh
  • Terdedah kepada produk perubatan yang tercemar yang bersentuhan dengan mata
  • Jangkitan kulat dalam darah (seperti candidemia)

Selain faktor risiko yang disenaraikan di atas, orang yang menghidap diabetes, mempunyai sistem imun yang lemah, atau menggunakan kortikosteroid adalah lebih cenderung untuk mendapat jangkitan kulat pada mata berbanding mereka yang tiada kondisi tersebut.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut./strong>

Bagaimana pesakit Okulomikosis didiagnosis?

Sekiranya doktor anda mengesyaki bahawa anda mengalami penyakit ini, pemeriksaan fizikal akan dilakukan dan beberapa ujian juga akan disyorkan kepada anda. Untuk mendiagnosis jangkitan kulat pada mata, doktor mata anda akan memeriksa mata anda dan mungkin mengambil sedikit sampel tisu atau cecair dari mata anda. Sampel akan dihantar ke makmal untuk diperiksa di bawah mikroskop atau dikultur. Reaksi rantai polimerase (PCR) dan mikroskopi confocal juga digunakan sebagai kaedah diagnosis yang lebih terkini dan lebih cepat. Walau bagaimanapun, pengkulturan adalah kaedah yang standard untuk diagnosis muktamad jangkitan kulat pada mata.

Bagaimana pesakit Okulomikosis dirawat?

Pilihan rawatan untuk okulomikosis akan dicadangkan oleh doktor anda bergantung kepada faktor-faktor berikut:

  • Jenis kulat,
  • Keterukan jangkitan, dan
  • Bahagian mata yang terjejas.

Bentuk rawatan yang boleh diberi untuk jangkitan okulomikosis termasuklah:

  • Ubat titik mata antikulat
  • Ubat antifungal diberikan dalam bentuk pil atau melalui intravena
  • Ubat antikulat disuntik terus ke dalam mata
  • Pembedahan mata

Semua jenis jangkitan kulat pada mata mesti dirawat dengan preskripsi ubat antikulat, biasanya selama beberapa minggu hingga beberapa bulan. Natamycin adalah ubat antikulat topikal (bermakna ia diberikan dalam bentuk ubat titik mata) yang berfungsi dengan baik untuk jangkitan kulat yang melibatkan lapisan luar mata, terutama yang disebabkan oleh kulat seperti Aspergillus dan Fusarium. Walau bagaimanapun, jangkitan yang lebih mendalam dan lebih teruk mungkin memerlukan rawatan dengan ubat antikulat seperti amphotericin B, fluconazole, atau voriconazole. Ubat-ubatan ini boleh diberikan melalui mulut, intravena, atau disuntik terus ke dalam mata. Pesakit yang jangkitannya tidak sembuh selepas menggunakan ubat antikulat memerlukan pembedahan, termasuk pemindahan kornea, penyingkiran gel vitreous dari bahagian dalam mata (vitrectomy), atau dalam kes-kes yang teruk, pembuangan mata (enucleation).

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Okulomikosis?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi okulomikosis:

 

  • Kaca mata pelindung disyorkan untuk orang yang berisiko mendapat kecederaan mata yang melibatkan bahan tumbuhan, seperti pekerja bidang pertanian.
  • Orang yang memakai kanta sentuh harus mengikuti amalan penjagaan kanta sentuh yang betul.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: April 6, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 6, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.