Nasofaringitis

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Definisi

Apakah itu Nasofaringitis?

Nasofaringitis biasanya dikenali sebagai demam selesema. Doktor menggunakan istilah Nasofaringitis secara khusus untuk merujuk kepada pembengkakan saluran hidung dan bahagian belakang tekak. Doktor anda juga mungkin merujuknya sebagai jangkitan pernafasan atas atau rinitis.

Virus atau bakteria boleh menyebabkan nasofaringitis. Ia boleh merebak melalui titisan udara kecil yang tersebar apabila seseorang dijangkiti virus:

  • Bersin
  • Batuk
  • Menghembus hidung
  • Bercakap

Anda juga boleh dijangkiti virus atau bakteria dengan menyentuh objek yang tercemar dengan virus, seperti tombol pintu, mainan, atau telefon, dan kemudian menyentuh mata, hidung, atau mulut anda. Virus atau bakteria boleh tersebar dengan cepat dalam mana-mana tetapan berkumpulan, seperti pejabat, bilik darjah, atau pusat jagaan harian.

Adakah Nasofaringitis biasa berlaku?

Nasofaringitis sangat biasa berlaku. Ia biasanya menjejaskan lebih banyak wanita daripada lelaki. Ia boleh menjejaskan pesakit tanpa mengira usia. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom nasofaringitis?

Simptom biasanya akan muncul dalam tempoh satu hingga tiga hari selepas dijangkiti dan mungkin dialami selama satu minggu hingga 10 hari, atau lebih lama. Simptom-simptom umum nasofaringitis termasuk:

  • Hidung berair atau sesak
  • Bersin
  • Batuk
  • Sakit tekak atau gatal tekak
  • Mata berair atau gatal
  • Sakit kepala
  • Keletihan
  • Sakit badan
  • Demam sejuk
  • Titisan post nasal

Gejala-gejala ini mungkin mengganggu atau menyakitkan, tetapi biasanya tidak menyebabkan kerosakan kekal.

Mungkin terdapat beberapa gejala yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang gejala, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bilakah saya perlu berjumpa dengan doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau gejala yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Langkah yang terbaik untuk membincangkan dengan doktor anda apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah yang menyebabkan nasofaringitis?

Rhinovirus adalah virus penyebab demam selesema yang paling biasa. Virus ini sangat mudah berjangkit. Lebih daripada 100 jenis virus lain boleh menyebabkan selesema.

Faktor-faktor risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya untuk nasofaringitis?

Bayi dan kanak-kanak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami selesema. Kanak-kanak sekolah terutamanya berisiko kerana virus ini sangat mudah berjangkit. Anda berisiko untuk dijangkiti selesema jika berhubung rapat dengan seseorang yang sedang menghidap selesema. Mana-mana aktiviti / keadaan berkumpulan di mana satu atau lebih orang menghidap selesema juga boleh meningkatkan risiko anda. Ini termasuk:

  • Pejabat anda
  • Gim anda
  • Acara sukan
  • Parti / majlis keraian
  • Sebuah kereta api atau bas yang sesak

Orang yang mempunyai sistem imun yang lemah lebih berisiko untuk menghidap nasofaringitis viral. Jika anda mempunyai sistem imun yang lemah, cuci tangan anda dengan kerap dan elakkan daripada menggosok mata anda setelah menyentuh tombol pintu atau permukaan lain yang mungkin tercemar.

Diagnosis & rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SENTIASA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimanakah nasofaringitis didiagnosis?

Untuk mendiagnosis demam selsema anda, doktor akan bertanyakan soalan berkenaan simptom-simptom anda dan melakukan pemeriksaan fizikal. Doktor anda mungkin melihat hidung, tekak, dan telinga anda serta mengambil sampel untuk menguji kemungkinan jangkitan bakteria atau influenza. Doktor anda juga boleh merasa nodus limfa anda untuk melihat jika ia bengkak dan mendengar bunyi paru-paru anda semasa anda bernafas untuk menentukan jika ia dipenuhi dengan bendalir.

Jika nasofaringitis anda berulang, doktor anda mungkin merujuk anda ke pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk ujian lanjut.

Bagaimanakah nasofaringitis dirawat?

Nasofaringitis virus tidak dapat dirawat dengan antibiotik. Sebaliknya, doktor anda akan memberi tumpuan kepada merawat simptom anda. Simptom-simptom anda sepatutnya beransur baik dalam masa beberapa hari dengan berehat dan minum banyak cecair. Doktor anda mungkin mencadangkan ubat-ubatan tanpa preskripsi untuk melegakan kesakitan dan membantu mengurangkan simptom.

Ubat-ubatan tanpa preskripsi berikut boleh digunakan untuk merawat orang dewasa:

  • Dekongestan seperti pseudoephedrine (sudafed)
  • Dekongestan digabungkan dengan ubat antihistamin (benadryl d, claritin d)
  • Ubat antiradang nonsteroidal seperti aspirin atau ibuprofen (advil, motrin)
  • Pencair mukus, seperti guaifenesin (mucinex)
  • Lozenge untuk melegakan sakit tekak
  • Ubat penahan batuk untuk batuk yang teruk, seperti dextromethorphan (robitussin, zicam, delsym) atau codeine
  • Suplemen zink, yang perlu diambil pada tanda pertama simptom
  • Semburan hidung, seperti fluticasone propionate (flonase)
  • Ubat antiviral jika anda mempunyai jangkitan influenza.

Rawatan bagi kanak-kanak

Sesetengah rawatan yang sesuai untuk orang dewasa tidak boleh digunakan pada kanak-kanak. Sekiranya anak anda mengalami demam selsema, doktor anda mungkin mencadangkan mana-mana yang berikut:

  • Sapuan wap, seperti Vicks Vaporub
  • Semburan hidung bergaram
  • Sirap zink sulfat

Rujuk pakar pediatrik anak anda untuk mengetahui dos.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah beberapa perubahan gaya hidup atau rawatan sampingan yang boleh membantu saya menguruskan nasofaringitis?

Gaya hidup dan rawatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani nasofaringitis:

Remedi di rumah

  • Selain ubat-ubatan tanpa preskripsi, anda boleh mencuba beberapa remedi di rumah
  • Gunakan pelembap atau pengewap, atau bernafas dalam stim dari air panas atau semasa mandi air panas, untuk membantu mengurangkan kesesakan tekak
  • Makan sup ayam
  • Larutkan 1-2 sudu teh garam dalam air suam dan kumur-kumur. Ini boleh membantu melegakan kesakitan akibat sakit tekak
  • Minum air suam yang ditambah madu untuk membantu melegakan sakit tekak. Jangan beri madu kepada kanak-kanak di bawah umur 1 tahun
  • Jangan merokok dan elakkan menghidu asap rokok

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Ogos 20, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut