backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Tanya Doktor
Simpan
Senarai kandungan

Leukemia Mieloid Kronik

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/09/2019

Definisi

Apa itu Leukemia Mieloid Kronik?

Leukemia ialah kanser sel darah putih. Dalam leukemia, sumsum tulang (tisu lembut di tengah-tengah tulang) menghasilkan terlalu banyak sel darah putih. Sel darah terbentuk dan berkembang di dalam sumsum dan kemudian bergerak ke dalam aliran darah. Leukemia boleh menjejaskan sel darah putih, sel darah merah dan platelet.

Jenis leukemia bergantung kepada jenis sel darah yang menjadi kanser. Terdapat empat jenis leukemia:

  • Leukemia limfositik kronik; (Chronic Lymphocytic Leukemia)
  • Leukemia mieloid kronik; (Chronic Myelogenous Leukemia)
  • Leukemia limfositik akut (Acute Lymphocytic Leukemia)
  • Leukemia mielogenus Akut (Acute Myelogenous Leukemia)

Istilah “kronik’ bermakna bahawa leukemia mieloid kronik cenderung untuk berkembang lebih perlahan daripada bentuk akut. CML menyebabkan sumsum tulang menghasilkan terlalu banyak sel darah putih yang tidak normal.. Sel-sel ini tidak berfungsi dengan baik, tidak boleh melawan jangkitan dan tidak akan mati. Selain itu, sel-sel kanser boleh menjejaskan sel-sel sihat, merosakkan keupayaan mereka untuk melaksanakan fungsi dengan baik.

Leukemia mieloid berlaku terhadap sel yang biasanya menghasilkan beberapa jenis sel darah putih seperti neutrofil, basophil, eosinofil dan monosit.

Apakah kebarangkalian Leukemia Mieloid Kronik?

CML berlaku kepada sesiapa pun tanpa mengira usia, namun kebiasaannya terhadap mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun. Penyakit ini jarang ditemui dalam kanak-kanak. Kira-kira 20% daripada kes leukemia dewasa adalah leukemia mieloid kronik. CML tidak boleh dicegah dan biasanya tidak diwarisi daripada ibu bapa kepada anak.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Leukemia Mieloid Kronik?

CML kadangkala tidak menyebabkan sebarang simptom tetapi simptom yang mungkin berlaku ialah:

  • keletihan melampau;
  • anemia;
  • sesak nafas
  • penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan;
  • jangkitan yang kerap dan lambat sembuh;
  • Hilang selera makan;
  • Gusi bengkak atau lebam;
  • Berpeluh;
  • Kulit pucat;
  • Demam;
  • Pendarahan;
  • Sakit tulang.

Anemia (kiraan sel darah merah rendah) dan trombocitopenia (kiraan platelet rendah) berlaku kemudian. Pesakit CML tahap teruk mungkin mengalami sakit kepala yang teruk atau sesak nafas (bilangan mieoblast tersekat dalam paru-paru dan otak tinggi).

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu menghubungi doktor jika anda mempunyai sebarang simptom berikut:

  • Rasa sangat letih.
  • Penurunan berat badan tanpa sebab yang diketahui.
  • Berpeluh malam.
  • Demam.
  • Kesakitan atau rasa penuh bawah tulang rusuk sebelah kiri.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau anda mempunyai sebarang soalan, sila hubungi doktor anda.

Punca

Apakah Punca Leukemia Mieloid Kronik?

Puncanya tidak diketahui, tetapi benzena dan dos radiasi yang tinggi mungkin mempunyai kaitan. Sel-sel CML juga mengandungi keabnormalan kromosom (kromosom Philadelphia, yang ditemui dalam lebih daripada 95% pesakit CML). “kromosom Philadelphia’ adalah keadaan di mana sebahagian daripada DNA dari satu kromosom bergerak ke kromosom lain. Keabnormalan ini menyebabkan sumsum tulang menghasilkan enzim yang dipanggil tyrosine kinase, yang menyebabkan pengeluaran sel-sel darah putih berlebihan.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Leukemia Mieloid Kronik?

Terdapat banyak faktor risiko leukemia mieloid kronik, seperti:

  • Pendedahan kepada radiasi, termasuk kilang radiasi, radiasi dalam peperangan atau rawatan radiasi untuk kanser lain.
  • Mereka yang lebih berusia mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap leukemia.
  • Jantian. CML cenderung melibatkan lelaki berbanding perempuan.

CML tidak diwarisi dalam keluarga.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Leukemia Mieloid Kronik didiagnosis?

Diagnosis dilakukan berdasarkan ujian darah dan sumsum tulang yang menunjukkan kiraan sel darah putih yang tinggi, kiraan platelet yang tinggi, dan kromosom Philadelphia dalam sel sumsum. Untuk biopsi sumsum tulang, jarum berongga yang panjang dimasukkan ke dalam tulang untuk mengeluarkan sampel sumsum untuk diteliti dengan mikroskop.

Bagaimana pesakit Leukemia Mieloid Kronik dirawat?

Pakar hematologi (pakar dalam penyakit darah) atau pakar onkologi (pakar kanser) bertanggungjawab terhadap pesakit CML. Rawatan biasa terdiri daripada ubat-ubatan atau pemindahan sumsum tulang (penggantian sumsum berpenyakit).

Rawatan ubat terbaik adalah imatinib (Gleevec). Dalam pemindahan sumsum, sumsum tulang tidak normal digantikan dengan sumsum sihat atau dirawat dengan ubat-ubatan. Penderma sumsum biasanya ialah saudara terdekat (abang, kakak) atau sukarelawan dengan sumsum yang padan. Terdapat banyak kesan sampingan pemindahan atau komplikasi termasuklah keguguran rambut dan sakit mulut, jangkitan, dan penyakit cantuman lawan perumah (graft versus host disease) yang mengancam nyawa.

Bergantung kepada keadaan anda, doktor juga boleh mencadangkan kemoterapi atau terapi biologi untuk merawat CML. Rawatan ini biasanya diberikan sebagai tablet diambil melalui mulut, yang boleh mengurangkan pertumbuhan sel-sel leukemia.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Leukemia Mieloid Kronik?

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani leukemia mieloid kronik:

  • Kekalkan gaya hidup yang aktif, tetapi bersenam dengan berhati-hati.
  • Tanya doktor anda tentang had diet.
  • Dapatkan suntikan flu pada waktu yang sesuai.
  • Berus gigi dengan berus gigi yang lembut. Cukur hanya dengan pisau cukur elektrik jika anda mempunyai CML yang agresif.
  • Maklumkan doktor anda jika anda mengalami simptom baru atau keletihan yang tidak dapat dijelaskan, penurunan berat badan, sakit di bahagian kiri abdomen, pendarahan, demam, sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba, atau sesak nafas.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 13/09/2019

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan