Apa itu Kutil?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu kutil?

Kutil (akrokordon) adalah ketumbuhan kecil berwarna daging atau keperangan yang melunjur keluar daripada kulit dan kelihatan seperti ketuat. Hal ini sering terjadi dan tidak berbahaya. Ia terdiri dalam pelbagai saiz daripada beberapa millimeter sehingga mencapai selebar 5 cm.

Apakah kebarangkalian kutil?

Kewujudan kutil ini sangat biasa berlaku. Ia boleh terjadi kepada pesakit tanpa mengira peringkat umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor-faktor risikonya. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom kutil?

Kutil adalah ketumbuhan kulit tidak berbahaya. Ia kelihatan seperti belon kecil yang tergantung pada kulit. Bilangannya tidak tetap daripada bilangan satu sehingga mencecah ratusan. Walaupun beberapa kutil akan gugur secara spontan, namun kebanyakannya akan terus kekal.

Kutil merupakan tisu berwarna seperti daging atau gelap yang melunjur keluar daripada permukaan kulit yang membentuk tangkai kecil dan halus (pedunkulat). Sesetengah orang memanggil ketumbuhan ini dengan panggilan “cebisan kulit.”

Pada mulanya, kutil ini bersaiz kecil seperti benjolan kepala pin yang rata. Selain itu, kebanyakan daripada kutil-kutil ini biasanya bersaiz kecil (diameter 2 mm-5 mm) lebih kurang saiz satu pertiga hingga separuh saiz pemadam pensil. Manakala beberapa kutil yang lain boleh membesar seperti saiz sebiji anggur (diameter 1 cm) atau sebiji buah tin (diameter 5 cm).

Kutil boleh terjadi pada mana-mana bahagian tubuh badan yang diselaputi kulit. Namun begitu, terdapat dua kawasan yang sering ditumbuhi kutil iaitu, kawasan leher dan ketiak. Kutil juga boleh ditemui pada bahagian dada, belakang badan, bawah buah dada mahupun kawasan pangkal paha. Ia juga boleh tumbuh pada bahagian kelopak mata atau di bawah pelipat punggung.

Selain daripada rupa kulit terjejas, kutil ini secara umumnya tidak menyebabkan kesakitan fizikal atau ketidakselesaan. Ketumbuhan kulit kecil ini biasanya akan menimbulkan simptom apabila ia diganggu berulangkali (sebagai contoh, kesan daripada geseran kolar mahupun di pangkal paha). Penyingkiran kutil sering dilakukan kerana ia mengganggu dari sudut penampilan diri dan ini merupakan tujuan utama kutil dibuang. Dalam hal yang lain, sesetengah kutil perlu dibuang kerana ia merengsakan dan menjadi merah akibat pendarahan atau kehitaman kesan daripada lilitan mahupun tisu kulit telah mati (nekrosis). Kadang-kadang, ia terkoyak kesan geseran daripada pakaian, barang kemas, haiwan peliharaan atau tali pinggang keselamatan yang mengakibatkan kesakitan atau ketidakselesaan. Keseluruhannya, kutil ini merupakan ketumbuhan tidak berbahaya yang tiada potensi bertukar menjadi barah (malignan).

Selain itu, ketumbuhan kecil ini berkemungkinan akan gugur secara spontan tanpa menimbulkan rasa sakit mahupun ketidakselesaan. Hal ini boleh berlaku selepas kutil ini terlilit pada pangkal tangkainya, seterusnya mengganggu perjalanan darahnya.

Terdapat beberapa simptom lagi yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan terhadap sesuatu simptom, sila merujuk dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Kutil ini tidak berbahaya dan biasanya tidak menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan. Walaubagaimanapun, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk membuang kutil tersebut jika ia menjejaskan penampilan anda dan seterusnya memberi kesan terhadap keyakinan diri, atau apabila ia tercarik daripada pakaian mahupun barang kemas serta berdarah.

Punca

Apa yang mengakibatkan kutil?

Kutil ini merupakan suatu kebiasaan dan secara umumnya berlaku selepas pertengahan umur. Ia dikatakan berpunca daripada kumpulan kolagen dan salur darah yang terperangkap dalam kulit yang sedikit tebal.

Ia dipercayai kesan daripada kulit yang sentiasa bergeseran. Disebabkan hal itulah mereka sering ditemui pada bahagian garisan kulit dan pelipat.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya mendapat kutil?

Terdapat banyak faktor risiko bagi kutil, antaranya:

  • Orang pertengahan umur, kelazimannya meningkat sehingga umur 60 tahun;
  • Penghidap kencing manis;
  • Wanita mengandung berkemungkinan tinggi akan mendapat kutil, kesan daripada perubahan paras hormon mereka;
  • Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan;
  • Kanak-kanak yang mempunyai banyak lipatan dan geselan kulit;
  • Kanak-kanak, khususnya di bahagian bawah lengan dan leher.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti bagi sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana kutil didiagnosis?

Terdapat sesetengah struktur hampir menyerupai kutil tetapi hakikatnya tidak. Kadang-kadang, aksesori tragus dan digit boleh terkeliru dengan kutil ini. Pemeriksaan patologi disertai dengan biopsi tisu membantu dalam membezakan antara mereka, perkara ini dilakukan jika terdapat sebarang persoalan berhubung dengan diagnosis.

Bagaimana kutil dirawat?

Perlu diingatkan bahawa kutil ini biasanya tidak perlu dirawat. Membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang rawatan sentiasa menjadi pilihan yang munasabah jika ketumbuhan itu tidak mengganggu. Jika kutil itu mula mengganggu kualiti hidup anda, pelbagai kaedah dengan menggunakan alat-alat di rumah dan perubatan boleh didapati:

  • Mengikat kutil pada pangkal kecilnya dengan seutas flos gigi atau tali.
  • Membekukan kutil dengan cecair nitrogen.
  • Membakar kutil menggunakan kauteri elektrik atau Hyfrecator.
  • Membuang kutil dengan gunting diiringi dengan anestesia ataupun tidak.
  • Terdapat beberapa cara yang efektif dari sudut perubatan dalam menyingkirkan kutil, termasuklah membuangnya dengan gunting, membekukannya (menggunakan cecair nitrogen), dan membakarnya (menggunakan kauteri elektrik perubatan di pejabat doktor).

Kebiasaannya, kutil bersaiz kecil boleh disingkirkan dengan mudah tanpa menggunakan anestesia, sementara kutil bersaiz besar mungkin memerlukan sedikit anestesia setempat (suntikan lidocaine) sebelum proses penyingkiran bermula. Penggunaan krim anestesia topikal (krim Betacaine atau krim LMX 5%) sebelum prosedur lebih baik digunakan pada bahagian yang mempunyai banyak kutil.

Pakar dermatologi (doktor pakar kulit), doktor keluarga dan doktor perubatan dalaman ialah para doktor yang sering merawat kutil ini. Kadang-kadang, doktor pakar mata (pakar oftalmologi) diperlukan bagi menyingkirkan kutil yang sangat hampir dengan pinggir kelopak mata.

Jangan cuba untuk menyingkirkan kutil bersaiz besar secara bersendirian kerana pendarahan yang banyak mungkin berlaku.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh digunakan ke atas kutil?

Terdapat juga rawatan di rumah dan rawatan diri, termasuklah mengikat tangkai kutil bersaiz kecil dengan seurat benang atau flos gigi. Kaedah ini membenarkan kutil untuk gugur dalam masa beberapa hari.

  • Kelebihan penyingkiran kutil dengan menggunakan gunting adalah ia dapat dibuang dengan cepat dan keputusan segera dapat dicapai. Kelemahan yang mungkin berlaku jika menggunakan apa jua jenis gunting atau prosedur pembedahan kecil semasa proses penyingkiran adalah pendarahan kecil.
  • Risiko yang mungkin berlaku jika membeku dan membakar kutil termasuklah penyahwarnaan kulit buat sementara waktu, keperluan rawatan yang berulang dan kegagalan kutil untuk gugur.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu April 6, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 6, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda