Apa itu Korioretinopati Serum Sentral?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Definisi

Apa itu Korioretinopati Serum Sentral?

Korioretinopati Serum Sentral (CSCR) adalah keadaan apabila cecair terkumpul di bawah retina. Ini boleh mengganggu penglihatan. Kebocoran cecair ini berasal dari lapisan tisu di bawah retina, yang dipanggil choroid. Terdapat satu lagi lapisan sel yang dikenali sebagai Epitelium Pigmen Retina (RPE). Apabila RPE tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya, maka cecair akan terkumpul di bawah RPE. Akibatnya, penanggalan yang kecil terhasil di bawah retina, menyebabkan penglihatan menjadi herot.

Apakah kebarangkalian Korioretinopati Serum Sentral?

Lelaki lebih cenderung untuk mengalami CSCR berbanding wanita, terutamanya dalam usia antara 30-an hingga 50-an.

Walau bagaimanapun, ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Korioretinopati Serum Sentral?

Jika anda mempunyai CSCR, penglihatan pusat anda mungkin diputarbelitkan. Sebagai tambahan kepada penglihatan pusat yang terganggu, penglihatan anda juga mungkin akan kelihatan kabur atau gelap. Anda boleh mempunyai titik buta dalam penglihatan pusat anda. Adalah ketara bahawa anda juga mungkin akan melihat garis lurus menjadi herot di mata yang terjejas, ataupun objek mungkin kelihatan lebih kecil atau lebih jauh daripada yang sebenarnya. Apabila anda melihat objek putih, ia mungkin akan kelihatan berwarna perang atau berwarna kusam.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Diagnosis awal dan rawatan boleh menghentikan keadaan ini daripada memburuk dan mencegah masalah kecemasan perubatan lain, jadi berbincanglah dengan doktor anda secepat mungkin untuk mencegah keadaan yang serius ini.

Punca

Apakah punca Korioretinopati Serum Sentral?

Penyebab sebenar bagi CSCR adalah tidak diketahui. Walau bagaimanapun, penggunaan Kortikosteroid dalam apa jua bentuk (lisan, topikal, dihirup, atau disuntik) didapati boleh menjejaskan atau memburukkan serangan CSCR. Ini benar-benar berlaku walaupun penggunaan steroid tersebut jauh dari mata, seperti suntikan ke dalam lutut. Orang yang mempunyai sejarah CSCR harus mengelakkan penggunaan steroid jika boleh.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Korioretinopati Serum Sentral?

Penyakit ini biasanya memberi kesan kepada lelaki muda. Mungkin terdapat kecenderungan etnik, dengan insiden yang lebih tinggi dalam kalangan orang kulit putih, Hispanik, dan mungkin orang Asia, serta insiden yang sangat rendah pada orang Afrika Amerika. Bentuk CSCR yang lebih teruk berlaku lebih kerap pada individu dari Asia Selatan dan berketurunan Latin.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Korioretinopati Serum Sentral
didiagnosis?

Jika doktor anda mengesyaki bahawa anda mempunyai CSCR, dia akan melebarkan (mengembangkan) pupil mata anda dengan ubat titis untuk memeriksa retina anda. Untuk mengenal pasti bahawa anda mempunyai CSCR atau tidak, doktor anda akan mengambil gambar khas mata anda dengan menggunakan Fluorescein Angiography dan Optical CoherenceTomography (OCT).

Semasa Fluorescein Angiography, pewarna fluoresein akan disuntik ke dalam vena di lengan anda. Pewarna ini akan mengalir ke seluruh badan, termasuk mata anda. Gambar-gambar diambil dari mata anda apabila pewarna ini melalui saluran darah retina. Kawasan yang tidak normal akan diserlahkan oleh pewarna ini, dan menunjukkan kepada doktor anda sama ada anda mempunyai CSCR atau tidak.

Pengimbasan OCT pula adalah teknik pengimejan yang mencipta gambar keratan rentas retina, yang membantu mengukur ketebalan retina dan mengesan pembengkakan retina.

Bagaimana pesakit Korioretinopati Serum Sentral
dirawat?

Kebanyakan kes CSCR secara semula jadinya pulih dalam masa satu atau dua bulan tanpa sebarang rawatan. Pada masa ini, doktor akan memantau mata anda untuk melihat sama ada cecair itu diserap semula atau tidak. Sekiranya anda mengalami kehilangan penglihatan yang teruk, atau kebocoran padanya teruk / tidak hilang, anda mungkin akan dibantu dengan rawatan laser atau terapi fotodinamik untuk menampal kebocoran dan memulihkan penglihatan.

Kebanyakan orang dengan CSCR dapat melihat semula dengan baik walaupun tanpa rawatan. Adapun begitu, penglihatan mungkin tidaklah sebaik sebelum keadaan ini mula-mula muncul. Kira-kira separuh daripada pesakit yang mempunyai CSCR akan mengalaminya semula. Adalah penting untuk menjalani pemeriksaan susulan secara teratur dan menyeluruh dengan doktor anda kerana pengumpulan cecair dalam jangka masa yang panjang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan kekal.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Korioretinopati Serum Sentral?

Diet seimbang yang memberikan anda kadar nutrien harian yang disyorkan tidaklah akan meningkatkan risiko anda untuk CSCR. Walau bagaimanapun, pengambilan makanan atau tumbuh-tumbuhan tertentu boleh memberi kesan kepada risiko anda terhadap CSCR, terutamanya jika anda juga mempunyai masalah gangguan darah yang mendasar atau jika anda mengambil ubat antigumpal (Anticoagulants), jadi anda harus berbincang dengan doktor anda untuk mempunyai diet yang betul.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 25, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 28, 2018

Rujukan