Kleptomania

Oleh

enEnglish

Definisi

Apakah itu kleptomania?

Kleptomania merupakan suatu penyakit mental serius yang boleh menyebabkan tekanan jiwa terhadap anda dan orang yang disayangi sekiranya tidak dirawat. Kleptomania ialah gangguan di mana anda merasakan anda terpaksa untuk mencuri meskipun anda sebenarnya tidak memerlukan barang-barang tersebut. Golongan yang mempunyai penyakit ini selalunya akan mencuri barang-barang tidak bernilai.

Berapakah kebarangkalian kleptomania?

Kleptomania adalah jarang sekali untuk berlaku tetapi ia lebih cenderung untuk berlaku kepada golongan wanita berbanding lelaki. Sila berbincang dengan doktor anda untuk keterangan lanjut.

Simptom

Apakah itu simptom-simptom kleptomania?

Simptom-simptom yang biasa berlaku kepada kleptomania adalah:

  • Kegagalan untuk menahan dorongan untuk mencuri barang yang tidak diperlukan
  • Berasa tertekan, gelisah atau terangsang yang menyebabkan pencurian
  • Berasa nikmat, lega atau puas ketika mencuri
  • Berasa bersalah yang teramat, menyesal, benci dengan diri sendiri, malu atau takut sekiranya ditangkap selepas mencuri
  • Perasaan untuk mencuri kembali dan mengulangi perbuatan tersebut dan ia menjadi kitaran kleptomania
  • Individu yang menghidap kleptomania selalunya menunjukkan ciri-ciri atau perwatakan seperti:
    • Individu yang mempunyai kleptomania mencuri kerana dorongan melampau yang tidak dapat ditahan. Mereka tidak mencuri disebabkan oleh faedah kepada diri sendiri ataupun dicabar
    • Dorongan yang berlaku selalunya berlaku secara spontan, tidak dirancang dan tidak dibantu oleh pihak lain
    • Barang yang dicuri selalunya tidak bernilai dan mampu dibeli oleh individu tersebut. Malah selepas barang itu dicuri, ia tidak digunakan oleh individu tersebut
    • Dorongan untuk mencuri mungkin timbul dan hilang atau mungkin berlaku dengan perasaan yang kuat atau lemah mengikut masa tertentu

Bilakah saya harus berjumpa dengan doktor saya?

Sekiranya anda mempunyai ciri-ciri yang dinyatakan di atas, anda harus mendapatkan nasihat perubatan. Rawatan akan membantu anda mengawal penyakit kleptomania.

Ramai dalam kalangan masyarakat yang mempunyai kleptomania tidak ingin dirawat kerana mereka takut sekiranya mereka akan ditangkap oleh pihak berkuasa. Walaupun begitu, pegawai perubatan mental selalunya tidak akan melaporkan kecurian itu kepada pihak berkuasa.

Sebaiknya adalah untuk berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan yang terbaik.

Punca

Apakah yang menyebabkan kleptomania?

Sebab-sebab berlakunya kleptomania masih tidak diketahui. Sebagaimana penyakit mental yang lain, beberapa teori merasakan bahawa terdapat perubahan di bahagian otak yang mungkin menyebabkan kleptomania. Kleptomania sering bermula ketika di umur remaja ataupun di peringkat awal dewasa tetapi terdapat kes-kes tertentu yang bermula di umur lewat dewasa.

Faktor risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya terhadap kleptomania?

Terdapat banyak risiko terjadinya kleptomania, seperti:

  • Keturunan keluarga. Mempunyai ahli keluarga yang terdekat, seperti ibubapa atau adik beradik, yang mempunyai sakit mental atau penyalahgunaan bahan ataupun masalah alkohol mungkin akan meningkatkan risiko terhadap kleptomania
  • Perempuan. Kira-kira dua pertiga penghidap kleptomania adalah daripada kalangan wanita
  • Mempunyai masalah mental yang lain seperti kecelaruan bipolar, kecelaruan keresahan, kecelaruan pemakanan, penyalahgunaan bahan atau kecelaruan personaliti
  • Kecederaan di bahagian kepala ataupun otak

Diagnosis dan rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimanakah kleptomania didiagnosis?

Penyakit ini didiagnosis melalui pemeriksaan fizikal dan psikologi. Pemeriksaan fizikal dijalankan untuk memastikan sama ada terdapat penyakit lain yang mengakibatkan kleptomania. Pemeriksaan psikologi termasuklah memeriksa kepada perwatakan yang menunjukkan kleptomania. Ciri-ciri yang dinyatakan di dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders DSM-5, yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association, untuk mendiagnosis penyakit mental. DSM-5 menyatakan kriteria untuk kleptomania adalah:

  • Anda mempunyai kegagalan untuk menghalang dorongan untuk mencuri barangan yang tidak diperlukan atau tidak bernilai dan perkara ini berulang
  • Anda merasakan tertekan sebelum melakukan pencurian
  • Anda berasa nikmat, lega atau puas semasa mencuri
  • Kecurian dilakukan bukan untuk membalas dendam atau melepaskan kemarahan dan ia tidak dilakukan semasa halusinasi atau dilusi
  • Kecurian tidak berkaitan dengan kecelaruan tingkah laku, manik episod yang disebabkan oleh kecelaruan bipolar atau kecelaruan personaliti anti-sosial

Bagaimanakah kleptomania dirawat?

Rawatan kleptomania terdiri daripada ubat-ubatan dan psikoterapi. Ia bergantung kepada tahap penyakit anda. Masih tiada rawatan standard bagi kleptomania, dan para pengkaji masih mencuba untuk mencari rawatan yang terbaik. Anda mungkin menjalani beberapa jenis rawatan untuk mencari rawatan yang paling berkesan.

Sehingga kini, tiada ubat yang disahkan oleh FDA bagi kleptomania. Sesetengah doktor mungkin akan mengesyorkan ubat antidepresan, terutama sekali Selective Serotonin Reuptake Inhibitor (SSRI) untuk merawat kleptomania. Rawatan terapi termasuklah:

  • Covert sensitization, di mana anda akan membayangkan anda sedang mencuri dan kemudiannya terpaksa menanggung akibatnya seperti ditangkap
  • Aversion therapy, di mana anda akan menjalani teknik yang sedikit menyakitkan, seperti menahan nafas sehingga anda berasa tidak selesa bilamana anda mempunyai dorongan untuk mencuri
  • Systematic desensitization, di mana anda berlatih teknik merenggangkan dan membayangkan anda sedang cuba mengawal dorongan untuk mencuri

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup ataupun rawatan sampingan yang boleh membantu saya menangani kleptomania?

Berikut merupakan perubahan gaya hidup dan rawatan sempingan yang boleh membantu menangani kleptomania:

  • Meneruskan rawatan sedia ada. Mengambil ubat seperti yang dinasihatkan dan menghadiri sesi terapi
  • Mempelajari dengan sendiri. Ketahui tentang kleptomania maka anda akan mengetahui lebih mendalam berkenaan faktor risiko, rawatan dan situasi yang boleh mencetuskan
  • Mengetahui apakah faktor yang boleh mendorong. Ketahui situasi, idea dan perasaan yang boleh mendorong anda maka anda boleh mengawal dorongan tersebut
  • Mendapatkan rawatan kepada penyalahgunaan bahan atau penyakit mental yang lain
  • Menjalani kehidupan yang sihat. Carilah cara-cara untuk menyalurkan dorongan untuk mencuri secara sihat seperti bersenam dan melakukan aktiviti rekreasi
  • Belajar untuk menenangkan jiwa dan mengawal stres. Cubalah teknik mengurangkan stres seperti meditasi, yoga ataupun tai chi
  • Tetapkan fokus anda terhadap matlamat yang ingin dicapai

Oleh kerana punca-punca kleptomania yang masih tidak diketahui, maka tiada kepastian tentang cara-cara untuk menghalang kleptomania. Dapatkan rawatan secepat mungkin untuk menghalang penyakit ini daripada menjadi lebih teruk dan mengakibatkan kesudahan yang tidak diingini.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Julai 24, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Julai 24, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut