Apa itu Keratosis Aktinik (Actinic Keratosis)?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Definisi

Apa itu Keratosis Aktinik (Actinic Keratosis)?

Keratosis Aktinik, yang juga dikenali sebagai Keratosis Suria (solar keratosis), adalah tompokan yang kasar dan bersisik pada kulit anda, yang terbentuk di bahagian kulit yang terdedah kepada matahari; terutamanya di muka, tangan, lengan dan leher. Ia paling kerap dilihat dalam kalangan orang yang berkulit cerah, berambut terang, bermata cerah.

Dalam kebanyakan kes, Keratosis Aktinik adalah bukan kanser. Ia dianggap Lesi Karsinoma Sel Skuamus “in situ” yang bermaksud “lesi” ini terhad kepada satu lokasi dan tidak menyerang tisu lain.

Apakah kebarangkalian Keratosis Aktinik (Actinic Keratosis)?

Semakin hampir kawasan anda menetap dengan khatulistiwa, semakin besar kemungkinan untuk anda mempunyai Keratosis Aktinik. Kejadian ini lebih tinggi sedikit pada lelaki, kerana mereka cenderung menghabiskan lebih banyak masa di bawah sinaran matahari dan kurang menggunakan perlindungan matahari berbanding wanita.

Walau bagaimanapun, ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor risiko anda. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Keratosis Aktinik (Actinic Keratosis)?

Keratosis Aktinik bermula sebagai tompokan pada kulit yang tebal, bersisik dan berkerak, yang bersaiz biasanya kira-kira sebesar pemadam pensel yang kecil. Mungkin akan ada kegatalan atau rasa melecur / pedih di kawasan yang terjejas.

Lama kelamaan, lesi tersebut boleh sama ada hilang, membesar, kekal sama, atau berkembang menjadi karsinoma sel skuamus. Tidak ada cara untuk mengetahui lesi yang mana mungkin akan menjadi kanser.

Tanda-tanda dan simptom bagi Keratosis Aktinik termasuklah:

  • Tompok kulit yang kasar, kering atau bersisik, biasanya berdiameter kurang daripada 2.5 sentimeter.
  • Tompok yang rata atau timbul sedikit, atau benjolan pada lapisan atas kulit.
  • Dalam sesetengah kes, permukaannya menjadi keras dan membentuk ketuat.
  • Warna yang pelbagai seperti merah jambu, merah atau coklat.
  • Gatal-gatal atau rasa terbakar di kawasan yang terjejas.
  • Kerinosis Aktinik didapati terutamanya di kawasan yang terdedah kepada matahari, seperti muka, bibir, telinga, tangan, lengan, kulit kepala dan leher.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Ia boleh menjadi agak sukar untuk membezakan antara tompok  kanser dan bukan kanser. Oleh itu, anda perlu memastikan kulit anda diperiksa oleh doktor – terutamanya jika tompok atau lesi itu berterusan, tumbuh atau berdarah.

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Keratosis Aktinik (Actinic Keratosis)?

Terdapat banyak penyebab keadaan ini. Walau bagaimanapun, pendedahan jangka masa panjang kepada cahaya matahari dianggap sebagai salah satu sebab yang paling biasa untuk mendorong pembentukan Keratosis Aktinik,  ia juga disebut sebagai Keratosis Suria.

Sinaran ultraungu yang terhasil dari lampu-lampu di salun penggelapan kulit boleh menjadi lebih berbahaya berbanding cahaya matahari, menyebabkan pakar-pakar dermatologi memberikan amaran terhadap penggelapan kulit secara tidak semula jadi.

Kadangkala Keratosis Aktinik didapati mungkin berlaku disebabkan oleh pendedahan yang meluas kepada x-ray atau beberapa bahan kimia dalam perindustrian.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Keratosis Aktinik (Actinic Keratosis)?

Anda mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat keadaan ini jika anda:

  • Berumur lebih daripada 60 tahun.
  • Hidup dalam iklim yang panas terik.
  • Mempunyai warna kulit dan mata yang cerah.
  • Mudah mendapat kesan kulit terbakar akibat sinaran matahari.
  • Mempunyai sejarah kulit terbakar akibat sinaran matahari pada umur yang muda.
  • Sering terdedah kepada matahari dalam sepanjang hayat anda.
  • Dijangkiti Virus Papilloma Manusia (HPV).
  • Mempunyai sistem imun yang lemah akibat daripada kemoterapi, leukemia, AIDS atau ubat pemindahan organ.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Keratosis Aktinik (Actinic Keratosis)
didiagnosis?

Doktor anda mungkin akan dapat menentukan keadaan Keratinosis Aktinik anda hanya dengan memeriksa kulit dengan menggunakan cahaya yang terang atau kanta pembesar untuk mencari sebarang pertumbuhan, tahi lalat, atau lesi. Jika terdapat keraguan, mereka boleh melaksanakan ujian lain seperti biopsi kulit. Semasa biopsi kulit, doktor akan mengambil sampel kecil kulit anda untuk dianalisis di makmal.

Walaupun selepas rawatan untuk Keratosis Aktinik, doktor anda mungkin akan mencadangkan anda untuk memastikan kulit anda diperiksa sekurang-kurangnya sekali setahun untuk sebarang tanda-tanda kanser kulit.

Bagaimana pesakit Keratosis Aktinik (Actinic Keratosis)
dirawat?

Hampir semua Keratosis Aktinik boleh dihapuskan jika ia dirawat lebih awal sebelum menjadi kanser kulit. Pelbagai pilihan rawatan disediakan, bergantung kepada ciri-ciri pertumbuhan, umur pesakit dan tahap kesihatan. Sesetengah strategi ini akan meningkatkan sensitiviti terhadap matahari, maka bincanglah dengan doktor anda dan gunakan bahan pelindung matahari semasa tempoh rawatan. Antara rawatan yang biasa termasuklah yang berikut.

  • Membekukan pertumbuhan kulit dengan cecair nitrogen (kriopembedahan – cryosurgery) bagi memusnahkannya. Kriopembedahan (juga dikenali sebagai cryotherapy) boleh menyebabkan kesakitan ringan yang bertahan hingga ke tiga hari. Penyembuhan biasanya mengambil masa dari 7 hingga 14 hari. Parut akan terhasil sedikit ataupun mungkin tiada, dan  sesetengah orang yang berkulit gelap mungkin akan mengalami pencerahan kulit yang kekal. Prosedur ini boleh dilakukan di bilik rawatan doktor anda.
  • Mengikis dan menggunakan arus elektrik (pengkuretan – curettage dan elektrosurgeri). Kulit dilalikan, dan ketumbuhan itu dikikis menggunakan alat berbentuk sudu (curette). Selepas mengikis, elektrosurgeri boleh dilakukan untuk mengawal pendarahan dan memusnahkan sel yang tidak normal. Pengkuretan adalah rawatan yang cepat, tetapi ia boleh menyebabkan parut. Kadang-kadang parut yang tebal, atau keloid akan terbentuk selepas rawatan curettage. Keloid boleh menjadi gatal atau membesar dari masa ke masa tetapi ia tidak memerlukan rawatan perubatan.
  • Mencukur ketumbuhan dengan pisau pembedahan (pemotongan mencukur). Ini dilakukan untuk mengeluarkan ketumbuhan dan memeriksa sel-sel sama ada karsinoma sel basal atau skuamus. Penyembuhan biasanya mengambil masa dari 7 hingga ke 14 hari. Mungkin akan terdapat beberapa parut dan perubahan dalam warna (pigmen) kulit anda.
  • Mengupas kulit dengan bahan kimia (pengelupasan kimia). Ini dilakukan supaya kulit baru dapat tumbuh dan menggantikan kulit yang rosak.
  • Menumbuhkan semula lapisan kulit dengan laser (pelapisan laser). Pancaran yang kuat dari laser (seperti karbon dioksida atau laser CO2) digunakan untuk memusnahkan lapisan atas kulit. Apabila kawasan yang dirawat menjadi sembuh, lapisan kulit baru akan tumbuh untuk menggantikan kulit yang rosak.
  • Merawat kulit dengan ubat-ubatan yang diletakkan pada kulit, seperti fluorouracil (5-FU), imiquimod (Aldara), ingenol mebutate (Picato), dan diclofenac (Solaraze).
  • Menggunakan ubat dan cahaya untuk membunuh sel (terapi fotodinamik, atau PDT). PDT menggunakan ubat, seperti asid aminolevulinic (ALA), yang diletakkan pada kulit dan kemudiannya diaktifkan dengan cahaya. Cahaya akan menyebabkan ubat ini untuk memusnahkan keratinosis aktinik.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Keratosis Aktinik (Actinic Keratosis)?

Cara terbaik untuk mencegah Keratosis Aktinik adalah untuk melindungi diri anda dari matahari. Inilah beberapa tabiat yang selamat terhadap matahari yang benar-benar berfungsi:

  • Dapatkan tempat berteduh, terutamanya antara pukul 10 pagi dan 4 petang.
  • Elak menggelapkan kulit dan jangan gunakan kaedah penggelapan kulit UV.
  • Tutup kulit dengan pakaian, termasuk topi yang besar dan kaca mata hitam kalis UV.
  • Gunakan bahan pelindung matahari spektrum luas (UVA / UVB), dengan SPF 15 atau lebih tinggi setiap hari. Untuk aktiviti luar yang lama, gunakan bahan pelindung matahari spektrum luas (UVA / UVB), dengan SPF 30 atau lebih tinggi.
  • Sapukan 1 auns (2 sudu besar) bahan pelindung matahari ke seluruh badan anda 30 minit sebelum keluar rumah. Sapu semula setiap dua jam, selepas berenang atau selepas berpeluh dengan banyak.
  • Jauhkan bayi yang baru lahir dari matahari. Bahan pelindung matahari harus digunakan pada bayi yang berusia lebih dari enam bulan.
  • Periksa kulit anda secara menyeluruh setiap bulan.
  • Jumpa doktor anda setiap tahun untuk pemeriksaan kulit profesional.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Mei 25, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 28, 2018