Apa itu Keratitis?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Keratitis?

Keratitis ialah  keradangan kornea yang boleh menjejaskan penglihatan. Kornea ialah tisu lutsinar berbentuk kubah di hadapan mata yang meliputi pupil dan iris. Kornea bertindak sebagai jendela di hadapan mata yang membengkokkan sinar cahaya melalui bentuk melengkungnya.

Apakah kebarangkalian Keratitis?

Keratitis adalah masalah kesihatan yang biasa berlaku. Ia lebih cenderung dialami orang lelaki berbanding perempuan (65-71% daripada pesakit adalah lelaki) dan boleh berlaku tanpa mengira usia. Keadaan ini dapat ditangani dengan mengurangkan faktor risikonya. Hubungi doktor anda untuk maklumat lanjut. Walaupun boleh dirawat, keadaan ini adalah punca utama kebutaan kornea.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Keratitis?

Simptom paling utama keratitis ialah rasa sakit. Rasa sakit tersebut boleh jadi sederhana atau teruk, bergantung kepada punca dan tahap keradangan. Jika kornea mengalami keratitis menyeluruh, kornea yang kebiasaannya lutsinar mungkin kelihatan mempunyai bahagian putih atau kelabu.

Tanda dan simptom utama keratitis ialah:

  • Kemerahan mata;
  • Sakit mata;
  • Air mata berlebihan atau keluar cecair lain dari mata;
  • Kesukaran membuka kelopak mata kerana kesakitan atau kerengsaan;
  • Penglihatan kabur;
  • Masalah penglihatan;
  • Sensitif kepada cahaya (fotofobia).

Terdapat tanda atau simptom yang tidak tersenarai di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan tentang sebarang simptom, sila hubungi doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh badan setiap orang memberi tindak balas secara berbeza. Adalah lebih baik untuk berbincang dengan doktor anda tentang rawatan terbaik mengenai situasi anda. Kelewatan dalam diagnosis dan rawatan keratitis boleh membawa kepada komplikasi serius, termasuk kehilangan penglihatan.

Punca

Apakah Punca Keratitis?

Kecederaan adalah salah satu punca keratitis. Jika objek keras jatuh pada mata dan menyebabkan calar atau menembusi kornea, anda mungkin akan mengalami keratitis tanpa sebarang jangkitan. Apabila permukaan kornea rosak, bakteria atau kulat boleh menjangkiti kornea tersebut menyebabkan keratitis berjangkit.

Mereka yang memakai kanta lekap lebih berisiko tinggi mengalami keratitis. Penggunaan kanta lekap tercemar menyumbang kepada sebilangan besar kes keratitis. Apabila kanta lekap tercemar, bakteria, kulat atau parasit boleh mendiami permukaannya dan merebak ke sarungnya. Jika anda tidak menjaga kebersihan dengan baik, bakteria daripada kanta lekap boleh sampai ke mata dan menyebabkan keratitis.

Air yang tercemar juga boleh menyebabkan keratitis. Sesetengah bahan kimia dalam air boleh menyebabkan tisu permukaan kornea yang halus menjadi rengsa dan lemah, yang membawa kepada keratitis kimia. Keadaan ini biasanya bersifat sementara dan berlaku hanya beberapa minit untuk jam. Keratitis disebabkan bahan kimia ini hanya berlaku sekejap dan boleh dirawat dengan membersihkan mata anda. Air yang dicemari bakteria, kulat dan parasit juga boleh masuk ke dalam mata sewaktu berenang dan menyebabkan keratitis.

Satu lagi punca keratitis ialah virus, seperti virus herpes dan virus yang menyebabkan chlamydia.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Keratitis?

Terdapat banyak faktor risiko untuk keratitis, seperti:

  • Pemakaian kanta lekap;
  • Imuniti rendah;
  • Cuaca panas;
  • Penggunaan ubat titis kortikosteroid;
  • Pernah mengalami kecederaan mata.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Keratitis didiagnosis?

Berdasarkan sejarah kesihatan dan simptom-simptom anda, doktor akan menjalankan beberapa ujian untuk mendiagnosis keadaan anda.

Perkara pertama yang dilakukan ialah pemeriksaan mata untuk  membantu doktor memeriksa mata anda. Tujuan pemeriksaan ini adalah untuk memeriksa keupayaan anda melihat dengan menggunakan carta mata.

Ujian lain yang mungkin anda lalui ialah pemeriksaan mata menggunakan lampu pen untuk melihat tindak balas pupil, saiz dan faktor-faktor lain. Jika kornea anda didapati mempunyai kawasan kelabu dan tidak lutsinar, doktor akan memeriksa jika terdapat ketidakrataan pada permukaan kornea atau ulser kornea.

Dalam sesetengah kes, pemeriksaan lampu slit perlu dilakukan. Dalam pemeriksaan ini, mata anda akan diperiksa dengan alat khas yang dipanggil lampu slit, yang mempunyai sumber cahaya yang cerah dan keupayaan magnifikasi. Dengan bantuan cahaya, doktor boleh melihat dengan jelas struktur mata untuk mengesan keadaan dan tahap keratitis, serta kesan yang mungkin berlaku pada struktur-sktruktur mata yang lain.

Sampel air mata atau beberapa sel daripada kornea anda juga mungkin diambil untuk analisis makmal untuk mengenal pasti punca keratitis dan menentukan pelan rawatan yang sesuai untuk keadaan anda.

Bagaimana pesakit Keratitis dirawat?

Jika anda disahkan menghidap keratitis bukan berjangkit, rawatan yang bersesuaian bergantung kepada punca keadaan anda. Rawatan mungkin tidak diperlukan jika puncanya ialah calar atau pemakaian kanta lekap pada waktu yang lama. Sekiranya anda menghadapi kornea terkoyak dan kesakitan yang ketara, anda akan diberikan ubat preskripsi untuk mata dan memakai penutup mata sehingga keadaan bertambah baik.

Jika anda didiagnosis dengan keratitis berjangkit, rawatan akan diberikan berdasarkan punca jangkitan. Jika anda mengalami bakteria keratitis ringan, rawatan ubat titis anti-bakteria mencukupi manakala ubat antibiotik secara oral diperlukan jika keratitis anda di tahap sederhana atau teruk. Jika anda mengalami keratitis kulat, anda perlu menggunakan ubat titis antikulat dan ubat antikulat secara oral. Ubat titis antiviral dan ubat antiviral  secara oral pula mungkin berkesan jika anda mempunyai keratitis virus. Jika keratitis anda disebabkan oleh parasit Acanthamoeba, ia adalah lebih sukar untuk dirawat. Ubat titis antibiotik mungkin membantu, tetapi beberapa jangkitan Acanthamoeba tidak dapat dirawat dengan ubat.

Pemindahan kornea disyorkan jika ubat tidak dapat membantu keadaan anda, atau jika keratitis menyebabkan kerosakan kekal pada kornea yang ketara hingga menjejaskan penglihatan anda.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Keratitis?

Perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan berikut mungkin dapat membantu anda menangani keratitis:

  • Jangan menggunakan ubat titis kortikosteroid tanpa preskripsi oleh doktor pakar;
  • Anda perlu menghentikan penggunaan kanta lekap;
  • Ikut arahan penjagaan kebersihan kanta lekap anda;
  • Gunakan produk steril yang dibuat khusus untuk penjagaan kanta lekap.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 3, 2018 | Kali terakhir kemaskini: April 3, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut