Apa itu Kardiomiopati Terdilat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Kardiomiopati Terdilat?

Kardiomiopati terdilat (dilated cardiomyopathy – DCM) adalah penyakit otot jantung, biasanya bermula di dalam ruang pam utama jantung (ventrikel kiri). Ventrikel akan meregang dan menipis (mengembang) serta tidak boleh mengepam darah sebagaimana jantung yang sihat. Istilah “kardiomipoati” adalah istilah umum yang merujuk kepada perubahan pada otot jantung itu sendiri.

Apakah kebarangkalian Kardiomiopati Terdilat?

Keadaan ini memberi kesan kepada orang-orang dari semua peringkat umur, termasuk bayi dan kanak-kanak, tetapi yang paling biasa adalah pada lelaki berumur antara 20 hingga 50 tahun. Sila berbincang dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Kardiomiopati Terdilat?

Tanda-tanda umum bagi kardiomiopati terdilat adalah:

  • Simptom kegagalan jantung (sesak nafas dan keletihan)
  • Pembengkakan kaki yang lebih rendah
  • Keletihan (rasa terlalu letih)
  • Kenaikan berat badan
  • Pengsan (disebabkan oleh keadaan seperti rentak jantung tidak teratur, tindak balas luar biasa saluran darah semasa senaman, atau tiada sebab yang diketahui)
  • Degupan jantung yang kuat (debaran di dada akibat rentak jantung yang tidak normal)
  • Pening kepala
  • Darah beku boleh terbentuk dalam ventrikel kiri yang terdilat (membesar) akibat daripada darah yang terkumpul. Sekiranya darah beku pecah, ia boleh menyumbat arteri dan mengganggu aliran darah ke otak, menyebabkan strok. Darah beku juga boleh menghalang aliran darah ke organ di bahagian perut atau kaki
  • Kesakitan atau tekanan di dada
  • Kematian secara tiba-tiba

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Jika anda mempunyai sebarang tanda atau simptom yang disenaraikan di atas atau mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor anda. Tubuh setiap orang bertindak secara berbeza. Adalah dinasihatkan untuk anda membincangkan dengan doktor tentang apa yang terbaik untuk keadaan anda.

Punca

Apakah punca Kardiomiopati Terdilat?

Penyebab kardiomiopati terdilat selalunya tidak dapat ditentukan. Walau bagaimanapun, pelbagai faktor boleh menyebabkan ventrikel kiri melebar dan menjadi lemah, termasuklah:

  • Diabetes
  • Obesiti
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi)
  • Penyalahgunaan alkohol
  • Ubat-ubatan kanser tertentu
  • Penggunaan dan penyalahgunaan dadah
  • Jangkitan, termasuk yang disebabkan oleh bakteria, virus, kulat dan parasit
  • Pendedahan kepada toksin, seperti plumbum, raksa (merkuri) dan kobalt
  • Aritmia
  • Komplikasi kehamilan peringkat akhir

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Kardiomiopati Terdilat?

Terdapat banyak faktor risiko bagi kardiomiopati terdilat, seperti:

  • Kerosakan pada otot jantung akibat serangan jantung
  • Sejarah keluarga kardiomiopati terdilat
  • Keradangan otot jantung akibat gangguan sistem imun, seperti lupus
  • Gangguan neuromuskular, seperti distrofi otot

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Kardiomiopati Terdilat didiagnosis?

DCM didiagnosis berdasarkan sejarah perubatan (simptom dan sejarah keluarga), ujian fizikal, ujian darah, elektrokardiogram (ECG atau EKG), x-ray dada, ekokardiogram, ujian tekanan senaman, pengkateteran jantung, imbasan CT dan MRI.

Satu lagi ujian yang jarang dilakukan untuk menentukan penyebab kardiomiopati adalah biopsi miokardium atau biopsi jantung, di mana sampel tisu diambil dari jantung dan diperiksa di bawah mikroskop untuk menentukan punca simptom.

Sekiranya anda mempunyai ahli keluarga dengan kardiomiopati terdilat, sila rujuk doktor anda jika anda perlu menjalani saringan untuk keadaan tersebut. Ujian genetik juga boleh dijalankan untuk mengenal pasti gen yang tidak normal.

Bagaimana pesakit Kardiomiopati Terdilat dirawat?

Jika anda mempunyai kardiomiopati terdilat, doktor anda mungkin akan mengesyorkan rawatan untuk punca sebenarnya, jika diketahui. Rawatan juga mungkin dicadangkan untuk memperbaiki aliran darah dan mencegah kerosakan pada jantung anda.

Ubat-ubatan

Doktor biasanya merawat kardiomiopati terdilat dengan kombinasi ubat-ubatan. Anda mungkin memerlukan kombinasi dua atau lebih daripada ubatan ini, bergantung kepada simptom anda.

Ubat yang telah terbukti efektif dalam rawatan kegagalan jantung dan kardiomiopati terdilat adalah:

  • Perencat enzim penukaran angiotensin (ACE). Perencat ACE adalah sejenis ubat yang meluaskan atau melebarkan saluran darah (vasodilator) untuk menurunkan tekanan darah, meningkatkan aliran darah dan mengurangkan beban kerja jantung. Perencat ACE mampu meningkatkan fungsi jantung. Antara kesan-kesan sampingan termasuklah tekanan darah rendah, kiraan sel darah putih yang rendah, dan masalah buah pinggang atau hati
  • Penyekat reseptor angiotensin II. Ubat-ubatan ini mempunyai banyak kesan yang berfaedah seperti perencat ACE dan mungkin menjadi alternatif kepada orang yang tidak boleh bertolak ansur dengan perencat ACE. Antara kesan sampingan termasuklah cirit-birit, kekejangan otot dan pening kepala
  • Penyekat beta. Penyekat beta melambatkan kadar degupan jantung anda, mengurangkan tekanan darah dan boleh menghalang kesan buruk hormon stres, suatu bahan yang dihasilkan oleh badan anda, yang boleh memburukkan lagi kegagalan jantung dan mencetuskan rentak jantung yang tidak normal. Penyekat beta dapat mengurangkan tanda-tanda dan gejala kegagalan jantung dan meningkatkan fungsi jantung. Antara kesan sampingan termasuklah pening kepala dan tekanan darah rendah
  • Lazimnya dikenali sebagai pil air, diuretik dapat mengeluarkan lebihan cecair dan garam dari badan anda. Ubat ini juga mengurangkan cecair di dalam paru-paru anda, membuatkan anda boleh bernafas dengan lebih mudah
  • Sejenis ubat yang dikenali sebagai digitalis, boleh menguatkan kontraksi otot jantung anda. Ia juga boleh melambatkan degupan jantung. Digoksin boleh mengurangkan simptom kegagalan jantung dan meningkatkan kemampuan anda untuk menjadi aktif
  • Ubat pencair darah. Doktor anda boleh memberikan ubat ini, seperti aspirin atau warfarin, untuk membantu mengelakkan pembekuan darah. Antara kesan sampingan termasuklah lebam-lebam atau pendarahan yang berlebihan

Peranti

Antara alat-alat implan yang digunakan untuk merawat kardiomiopati terdilat termasuklah:

  • Perentak jantung biventrikular, yang menggunakan impuls elektrik untuk menyelaraskan tindakan ventrikel kiri dan kanan
  • Defibrilator kardioverter jantung boleh implan (ICD) yang memantau rentak jantung dan memberikan kejutan elektrik apabila diperlukan untuk mengawal degupan jantung yang tidak normal, termasuk yang menyebabkan jantung berhenti. Ia juga boleh berfungsi sebagai alat perentak jantung
  • Alat bantuan ventrikel kiri (LVAD), yang merupakan peranti mekanik yang dimasukkan ke dalam perut atau dada dan melekat pada jantung yang lemah untuk membantu pengepaman. Ia selalunya digunakan setelah pendekatan yang kurang invasif tidak berjaya

Pemindahan jantung

Anda mungkin menjadi calon untuk pemindahan jantung jika ubat-ubatan dan rawatan lain tidak lagi berkesan.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Kardiomiopati Terdilat?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani kardiomiopati terdilat:

  • Sila berbincang dengan doktor anda tentang aktiviti apa yang selamat dan memberi manfaat kepada anda. Secara umumnya, sukan yang kompetitif adalah tidak digalakkan kerana ia boleh meningkatkan risiko jantung terhenti dan menyebabkan kematian secara tiba-tiba
  • Berhenti merokok. Doktor anda boleh memberi nasihat tentang kaedah yang boleh membantu anda berhenti merokok
  • Jangan gunakan dadah haram atau minum alkohol secara berlebihan. Menggunakan kokain atau ubat-ubatan lain yang menyalahi undang-undang boleh menggugat jantung anda. Sebelum anda mengambil minuman beralkohol, sila dapatkan nasihat doktor anda
  • Mengekalkan berat badan yang sihat. Berat yang berlebihan menjadikan jantung anda lebih bekerja kuat. Kurangkan berat badan jika anda berlebihan berat badan ataupun obes
  • Makan makanan yang sihat. Makan bijirin, pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran. Hadkan pengambilan garam, gula tambahan, kolesterol, lemak tepu dan lemak trans. Ini adalah baik untuk jantung anda. Sila berjumpa doktor anda untuk rujukan kepada pakar diet jika anda memerlukan bantuan untuk merancang diet anda

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Ogos 28, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Ogos 28, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.